PENGENALAN
Ujian psikologi merupakan satu alat penilaian yang direka untuk mengukur aspek-aspek tertentu dalam fungsi psikologi seseorang individu, seperti keperibadian, kecerdasan, emosi, tingkah laku, serta kesihatan mental. Ujian ini digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kaunseling, kerjaya, perubatan, dan penyelidikan bagi membantu memahami serta menyokong perkembangan individu.
Menurut American Psychological Association (APA), ujian psikologi ialah “a standardized measure of a sample of a person’s behavior, used to assess mental functions and behaviors”. Ujian ini dibangunkan berdasarkan prinsip psikometrik yang ketat, termasuk kesahan (validity) dan kebolehpercayaan (reliability) untuk memastikan keputusan yang diperoleh adalah tepat dan bermakna (Gregory, 2011).
Ujian psikologi menawarkan pelbagai manfaat, antaranya:
Mengenalpasti Masalah Kesihatan Mental: Membantu kaunselor atau pakar psikologi mengenal pasti isu seperti tekanan, kemurungan, kebimbangan, dan trauma.
Panduan Intervensi dan Rawatan: Memberi arah tuju dalam merancang intervensi atau sokongan yang sesuai kepada individu.
Pemahaman Kendiri: Individu dapat memahami kekuatan dan kekurangan diri dari aspek psikologi dan emosi.
Pemilihan Kerjaya: Menilai minat, nilai dan personaliti yang sesuai dengan laluan kerjaya tertentu.
Saringan Akademik dan Perkembangan Pelajar: Digunakan oleh pihak sekolah dan institusi pendidikan untuk menilai perkembangan kognitif dan emosi pelajar.
Gregory, R. J. (2011). Psychological Testing: History, Principles, and Applications (6th ed.). Boston: Pearson.
American Psychological Association (2023). Psychological Testing and Assessment. Retrieved from https://www.apa.org
Kaplan, R. M., & Saccuzzo, D. P. (2018). Psychological Testing: Principles, Applications, and Issues. Cengage Learning.