In The Light of al-Kahfi No. 31
Di dalam surah al-Kahfi terdapat beberapa kisah yang tersurat dan juga yang tersirat, untuk kita selami pelajaran dan ibrah nya. Ibrah itu dari perkataan abara ertinya menyeberang - agar dapat sampai kepada yang tersirat daripada kisah-kisah yang diceritakan. Kisah pertama ialah kisah wira daripada gua, kisah keduanya ialah polemik di antara dua pemilik kebun, kisah ketiga pula antara Nabi Musa dan juga nabi Khadir dan yang keempat al-Quran menyingkap sosok seorang wira iaitu Zulkarnain.
Dalam sebuah hadis Rasulallah saw yang dikatakan sebagai jawamiul kalim (iaitulah hadisnya pendek tapi maknanya sangat luas) diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam shahihnya menyatakan:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ
( رواه مسلم )
Artinya :
Dari Anas bin Malik radhiallahu'anhu, ia berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Syurga itu diliputi dengan hal-hal yang tidak menyenangkan, dan neraka itu diliputi hal-hal yang menyenangkan." (HR. Muslim )
Hadis ini menganjurkan supaya kita bermujahadah kerana neraka itu dipenuhi oleh orang yang tidak bermujahadah melawan nafsu, kerana nafsu itu mendorong kepada kejahatan yang dilarang oleh Allah Taala. Begitu juga untuk ke syurga, kita kena bermujahadah untuk melakukan benda yang dibenci oleh syahwat dan juga nafsu kita iaitu kebaikan. Isu mujahadatun nafs itulah yang menjadi kesukaran dan bebanan yang besar kepada kita dalam menjalani kehidupan seharian. Sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan oleh banyak peristiwa-peristiwa yang tak terlintas oleh akal kita. Siri pembunuhan yang dilakukan oleh orang yang rapat, yang patut menjadi pelindung tetapi melakukan pembunuhan. Kerana sebab-sebab tertentu bapak bunuh anak, anak bunuh bapak. Membunuh orang yang sepatutnya dia lindungi inilah yang kita namakan sebagai gejala tidak berhati perut. Apa makna gejala tidak berhati perut? Ya, hatinya sudah mati yang tinggal cuma perutnya yang dan di bawah perutnya sahaja. Bahasa Melayu daripada zaman berzaman yang kita warisi daripada leluhur datuk nenek kita dahulu dan orang Melayu dahulu mempunyai kefahaman yang mendalam tentang hati dan ini bertunjangkan Islam itu sendiri di mana semuanya terletak pada hati itu dan hati juga lah pangkal untuk kita melakukan amalan ibadah. Niat di situ, di hati, bukannya di kepala. Bahasa Melayu ialah bahasa yang sangat mengerti menggunakan hati. Bandingkan sahaja contohnya dalam English, untuk menyatakan seseorang yang gembira English kata happy, tiada “heart” nya. Tapi orang Melayu kata suka hati. Untuk menyatakan kesedihan English menyatakan sad, tak ada hati nya tetapi orang Melayu kata sedih hati, itu tidak termasuk lagi sakit hati, jantung hati, buah hati, kekasih hati, makan hati, terasa hati, geli hati dan banyak lagi yang melibatkan hati. Ini bukan berlaku sekadar linguistik fenomena atau sekadar kebetulan sahaja, tetapi ia adalah hasil pemahaman yang mendalam dan kesedaran yang jitu di kalangan leluhur kita dahulu terhadap konsep hadis tentang hati. Hati itulah yang menentukan hala tuju manusia dalam kehidupan seharian sebab itu ada pernyataan yang menyatakan bahawa sebenarnya akal dan fikiran yang waras itu bukannya di kepala tetapi di hati, di qalbu dan qalbu itu di dada. Kenapa Arab menyatakan di dada? Kerana dada dalam Bahasa Arab ialah sudur, perkataan jamak kepada sadr, dan sadr juga beerti tempat keluar semua benda, kerana itulah sudur atau sadr itu puncanya, keluar daripada alqalbu bukan daripada kepala.
Seorang ulama daripada Masjidil Aqsa pernah datang berkhutbah Jumaat di sini (masjid UIA). Dalam khutbah Jumaat berbahasa Arab itu, beliau menyatakan bahawa, “Ketahuilah bahawa kehidupan kita di dunia ini sebenarnya berada di celah-celah antara azan dan solat sahaja. Bila kita lahir ke dunia orang gembira sambut kita dengan azan dan iqamat dan bila kita meninggal dunia orang akan solatkan kita, kemudian simpan kita dan tinggalkan kita di situ.” Kehidupan ini juga sebenarnya berlegar di celah-celah huruf “syin” dan “saad” iaitu syukur dan sabar. Itulah asam garam kehidupan kita jadi kita tidak perlu rasa terlampau hilang punca dan mengelabah bila mendapat nikmat dan Rahmat, begitu juga bila kita ditimpa musibah.
In The Light of al-Kahfi No. 30
Di dalam surah al-Kahfi Allah merakamkan sebahagian daripada sifat-sifat ahli syurga. Yang pertama ialah beriman dan beramal dengan amal-amal yang soleh. Beriman dan beramal soleh merupakan dua perkara yang menjadi syarat utama untuk kita menghuni syurga Allah swt. Pada ayat yang ke 30 Allah berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh ini, Kami tidak akan mensia-siakan ganjaran bagi mereka yang mempercantikkan dan memperelokkan amalannya.” Seterusnya dalam ayat 107, Allah menjelaskan apakah anugerah besar yang dijanjikan oleh Allah swt buat mereka Mereka dijanjikan syurga Firdaus sebagai tempat kembali dan tempat tinggal yang berkekalan.
Surah al-kahfi dimulai dengan iman dan amal soleh dan diakhiri juga dengan iman dan amal soleh seperti yang dapat kita lihat pada ayat yang ke 2 dan ayat terakhir iaitu ayat yang ke 110 dari surah ini.
قَيِّمٗا لِّيُنذِرَ بَأۡسٗا شَدِيدٗا مِّن لَّدُنۡهُ وَيُبَشِّرَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرًا حَسَنٗا
(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Qur’an untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik. (Al-Kahfi : 2)
قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا
Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahwa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa". Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya". (Al-Kahfi: 110)
Syarat iman dan amal soleh yang kedua ialah banyak berdoa kepada Allah agar Allah memasukkan kita ke dalam syurga di antara doa yang Allah ajar kepada Ashabul Kahfi ialah doa meminta rahmah.
Rasulallah saw menyebutkan di dalam hadithnya bahawa kita ni masuk syurga dengan rahmat Allah lalu sahabat pun bertanya. “Adakah kamu juga masuk syurga dengan rahmat Allah ya Rasulullah dan bukannya dengan amalmu? Ya, aku juga” jawab baginda saw.
Dalam surah al Kahfi juga disebut kisah Zulkarnain, seorang maharaja yang hebat, setelah membuka banyak negara, akhirnya bertemu satu kaum yang diganggu oleh Yakjuj dan Makjuj lalu dengan ilmu Allah yang ajar kepada Zulkarnain dia membina satu benteng besar yang boleh menyekat kemaraan Yakjuj dan Makjuj. Selepas dibina benteng itu penduduk di tempat itu hendak memberi upah kepada Zulkarnain, Zulkarnain menyatakan bahawa keupayaan baginda membina tembok itu adalah dengan rahmat Allah.
Sifat amal soleh yang ketiga ialah sifat sabar sebagaimana yang disebut di dalam ayat ke 28 yang bermaksud, “Dan sabarlah diri kamu…” lalu Allah bawakan kisah Nabi Musa dengan lelaki soleh, yang disebut di dalam banyak tafsir sebagai Nabi Khidir. Dengan berkat sabar itu kita insyaAllah kita akan beroleh kejayaan, sabar di dalam kita bekerja, sabar menuntut ilmu, sabar di dalam melakukan amal ketaatan, sabar di dalam meninggalkan maksiat dan sabar di dalam menghadapi musibah. Tanpa sabar manusia payah untuk masuk syurga, tanpa sifat sabar suami isteri payah untuk menjaga keharmonian rumah tangga. Bersahabat juga memerlukan kepada sabar Jangan kita berpasangan suami isteri sehingga pasangan kita berkata kepada kita sebagaimana kata Nabi Khidir kepada Nabi Musa, inilah perpisahan kita. Sabar itu banyak kebaikannya. Indahnya kesabaran bila mana kita menghuni syurga Allah swt.
Mengungkap kisah keluarga Ammar bin Yasir dan isterinya Sumayyah. Ammar yang merupakan si anak, diseksa oleh kuffar Quraisy. Nabi dan Abu Bakar melalui kawasan itu dan berpesan kepada keluarga tersebut, “Bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya janji buat kamu di sisi Allah ialah syurga.”
Mudah-mudahan Allah mengurniakan kepada kita kesabaran, diperkukuhkan iman dan diberi kekuatan untuk sentiasa melakukan amal-amal soleh sehinggalah kita layak untuk menghuni syurga Allah swt.
IN THE LIGHT OF AL-KAHFI NO.28
Sempena 1 Zulhijjah esok, maka akan bermulalah bulan haji dan bermulalah sepuluh hari yang mana merupakan 10 hari terbaik di dalam Islam. Sempena hari yang mulia ini Allah memberikan ganjaran berganda bagi amalan-amalan soleh yang dilakukan.
Di antara amalan yang digalakkan di waktu ini ialah membaca Al-Quran. “Sebaik-baik kawan ialah buku, dan Al-Quran adalah sebaik-baik buku untuk memberi hidayah kepada manusia dan mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya.” Al-Quran menjadi peneman di alam barzakh, di mahsyar dan di dalam syurga. Al-Quran mesti ada satu sudut khas di hati kita, dan perlu ada tempat khas yang mudah dilihat di rumah kita.
Sabda Nabi SAW:
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya: Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.
Riwayat Al-Imam Malik
Allah berfirman:
لَوۡ أَنزَلۡنَا هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ عَلَىٰ جَبَلٖ لَّرَأَيۡتَهُۥ خَٰشِعٗا مُّتَصَدِّعٗا مِّنۡ خَشۡيَةِ ٱللَّهِۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَمۡثَٰلُ نَضۡرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ
Artinya: Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir. (Al-Hasyr 20)
Gunung satu makhluk yang hebat dan gagah, namun akan tunduk, dan pecah kerana takutkan Allah. Manusia tidak gagah tetapi merupakan ciptaan Allah yang terbaik kerana akal yang dimilikinya, lalu seharusnya dia berusaha memahami dan mengamalkan isi Al-Quran tersebut.
Rasulallah saw membuat perumpamaan orang yang membaca Al-Quran itu kepada empat golongan seperti berikut:
عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْأُتْرُجَّةِ رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا طَيِّبٌ وَمَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لَا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ التَّمْرَةِ لَا رِيحَ لَهَا وَطَعْمُهَا حُلْوٌ وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَثَلُ الرَّيْحَانَةِ رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي لَا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ لَيْسَ لَهَا رِيحٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ (متفق عليه)
Artinya: Diriwayatkan dari Abu Musa al-Asy’ari radiyallahu anhu ia berkata: Rasulullah saw bersabda: “Perumpamaan orang mukmin yang suka membaca al-Qur’an seperti buah utrujjah. Baunya harum dan rasanya lezat. Dan orang mukmin yang tidak suka membaca al-Qur’an seperti buah kurma, baunya tidak ada dan rasanya manis. Dan perumpamaan orang munafik yang suka membaca al-Qur’an seperti buah raihanah, baunya lumayan dan rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak suka membaca al-Qur’an seperti buah hanzholah, tidak memiliki bau dan rasanya pahit.” (HR. Muttafaq alahi).
IN THE LIGHT OF AL-KAHFI NO.27
ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٞ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
Musibah boleh menimpa semua orang tidak kira orang itu seorang yang soleh atau seorang yang jahat. Musibah yang menimpa orang yang baik ialah satu rahmah atau ujian buat mereka. Tetapi apabila musibah itu terkena kepada seorang yang jahat, maka itu adalah merupakan satu bala atau penghinaan kepada mereka, mudah-mudahan dengan musibah yang menimpa itu akan membawa mereka kembali ke pangkal jalan.
Kita hendaklah sering mendoakan kesembuhan buat saudara-saudara kita yang ditimpa musibah sakit. Doa yang dipohon tanpa diketahui oleh orang yang sakit itu, maka para malaikat akan mendoakan kempali kepada yang mendoakan.
Kenapa kita diuji? Rasulallah bersabda yang maksudnya “Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan kepadanya, maka Allah akan menimpakan musibah kepadanya.” Jadi bersabarlah dalam menghadapi setiap ujian, kerana dalam satu hadith yang lain riwayat Muslim, Rasulallah saw menyatakan bahawa, “Sesungguhnya semua urusan seorang mukmin itu adalah baik belaka. Dan hal itu tiada bagi seorang pun melainkan bagi orang mukmin sahaja. Jika dia mendapat suatu perkara yang menyenangkan, dia bersyukur, maka itu ialah kebaikan baginya. Dan jika dia mendapat suatu perkara yang menyusahkan, dia bersabar, maka itu juga ialah kebaikan bagi dirinya.”
Sesungguhnya di samping kesusahan ada kesenangan daripada Allah swt maka janganlah mengeluh bila ditimpa ujian. Ujian juga merupakan kaffarah (penghapus) dosa. Ujian juga bertujuan untuk menyedarkan orang-orang yang tersesat dan terbabas. Mungkin Allah datangkan kepadanya hidayah melalui musibah yang menimpanya. Namun demikian orang yang hatinya telah mati tetap tidak akan mendapat iktibar dari semua itu.
Sabda Rasulallah saw:
لا يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلاَّ الدُّعَاء
Maksudnya: “Tidak ditolak satu-satu ketentuan melainkan dengan doa.
(Riwayat al-Tirmizi, no. 2139)
Persoalannya, adakah satu-satu ketentuan Allah itu boleh diubah? Ya, boleh dengan doa. Qadar itu adalah ketetapan sedangkan qadha bermaksud perlaksanaan. Qadarnya ialah akan berlaku kemalangan, tetapi disebabkan doa yang dibaca dan dikabulkan Allah, maka kemalangan itu tidak terjadi. Namun sekiranya terjadi juga, maka itu adalah merupakan ujian dari Allah. Seterusnya dalam doa qunut kita membaca:
وَقِنِي بِرَحْمَتِكَ شَرَّ مَا قَضَيْتَ
Dan selamatkan aku dengan rahmat-Mu dari bahaya kejahatan yang telah Engkau tentukan
Doa ini juga menunjukkan kemungkinan Allah mengelakkan sesuatu kemalangan atau musibah yang bakal terjadi kepada kita.
Di penghujung surah Al- Baqarah, Allah mengajar kita satu doa:
رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya.
Selain itu, Nabi saw juga mengajar kita untuk membaca doa yang berikut ketika ditimpa kesusahan.
يا حي يا قيوم برحمتك أستغيث
Wahai (Dzat) yang Maha Hidup dan yang Maha memelihara! Dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan
الله ربي لا أُشْرِكُ به شيئا
Allah adalah Tuhanku, aku tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apapun.
Sekiranya kita mempunyai sebarang hajat pula, Rasulallah mengajarkan kita doa Nabi Yunus iaitu:
لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين
Maksud: Tiada Tuhan melainkan Engkau Maha Suci Engkau sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim (Al-Anbiya :87)
IN THE LIGHT OF AL-KAHFI NO.26
Ramadhan umpama madrasah (sekolah) untuk melatih kita dalam satu satu disiplin atau ibadah. Puasa adalah satu latihan. Dengan puasa akan melemahkan syahwat, dan dengan itu lebih tumpuan dapat diberikan kepada ibadah. Di bulan Ramadhan kita merasakan lebih dekat dengan Allah, dengan masjid dan dengan Al-Quran.
Apakah yang sepatutnya kita dapat setelah keluar dari madrasah Ramadhan? Tujuan latihan Ramadhan adalah untuk mendapatkan taqwa, untuk menjadi orang yang bertaqwa. Apakah pula yang dimaksudkan dengan taqwa? Taqwa bermaksud melakukan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya. Saidina Ali mengatakan bahawa taqwa itu ialah
الخوف من الجليل، والعمل بالتنزيل، والقناعة بالقليل، والاستعداد ليوم الرحيل
Maksudnya: Taqwa ialah merasa takut dan gerun kepada Allah Yang Maha Agung, beramal dengan apa yang terkandung dalam al-Quran, bersikap qana’ah dengan yang sedikit dan bersedia bagi hari keberangkatan.
Amalan di bulan Ramadhan seharusnya diteruskan di bulan-bulan yang berikutnya. Yang penting bagi sesuatu amalan itu ialah kualitinya dan dilakukan secara berterusan atau istiqamah. Orang yang beristiqamah dijanjikan keselamatan dan kejayaan di akhirat nanti.
Di dalam surah Fussilat ayat 30-32 Allah menceritakan tentang orang yang memiliki sifat istiqamah. Ciri-ciri orang yang beristiqamah ialah mengakui Allah sebagai Tuhan dan kemudiannya mereka tetap teguh dalam keimanan. Ganjaran orang yang beristiqamah ialah malaikat akan turun kepada mereka sewaktu hampirnya kematian lalu berkata kepada mereka agar jangan takut dan jangan bersedih, serta bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan untuk kamu. Kami telah menjaga kamu semasa kamu di dunia dan akan menjaga kamu di akhirat nanti. Dan di dalam syurga, kamu akan mendapat segala yang kamu minta dan inginkan. Semua itu adalah anugerah dari Allah yang Maha Pengampun dan Penyayang.
Sebahagian ulama’ berpesan agar jangan menyembah Ramadhan kerana Ramadhan itu telah berakhir tetapi sembahlah Allah kerana Allah itu yang Maha hidup dan kekal. Setelah berpuasa di bulan Ramadhan, dalam bulan Syawal ini, kita sangat dianjurkan berpuasa selama enam hari kerana ia dibaratkan seperti berpuasa selama setahun.
IN THE LIGHT OF AL-KAHFI NO.25
Majlis bacaan Al Kahfi adalah ibarat satu taman syurga, sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah saw bahawa kumpulan-kumpulan yang di dalamnya mereka memuji Allah dan mengingati kekasihnya Rasulullah saw adalah merupakan satu dari taman-taman syurga.
Majlis seperti ini memberi ketenangan dan Rasulullah juga ada berpesan agar kita mengambil peringatan yang diberikan di dalam halaqah halaqah zikir. Ibnu qayyim turut menyebut di dalam bukunya Miftah Darus Saadah bahawa Allah mengutuskan para malaikat untuk mencari di mana terdapatnya halaqah zikir dan halaqah ilmu seperti ini, lalu para malaikat ini akan mendoakan kesejahteraan, kerahmatan keberkatan kepada yang hadir di dalam majlis tersebut.
Sempena Ramadhan yang bakal menjelma, hendaklah kita perbanyakkan doa
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ؛ فَاعْفُ عَنِّي
Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan mencintai keampunan, maka kurniakanlah keampunan kepadaku (HR. al-Tirmidhī: 3513, Ḥasan Ṣaḥīḥ)
Rasulullah saw juga menggalakkan kita bersedekah di dalam bulan Ramadhan. Rasulallah saw menjadi sangat dermawan di bulan Ramadan. Sedekah bukan sahaja menginfakkan harta ke jalan Allah tetapi bacaan tasbih Subhanallah, Lailahaillallah, membuang gangguan dari atas jalan dan senyuman itu pun merupakan sedekah. Jadi tidak ada alasan untuk kita tidak bersedekah pada bulan Ramadan. Semoga Ramadhan kita kali ini penuh makna.
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ﴾
[ طه: 124]
Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta". [TaHa: 124]
IN THE LIGHT OF AL-KAHFI NO.24
إِلَيۡهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗاۖ وَعۡدَ ٱللَّهِ حَقًّاۚ إِنَّهُۥ يَبۡدَؤُاْ ٱلۡخَلۡقَ ثُمَّ يُعِيدُهُۥ لِيَجۡزِيَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ بِٱلۡقِسۡطِۚ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لَهُمۡ شَرَابٞ مِّنۡ حَمِيمٖ وَعَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكۡفُرُونَ
KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya), untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan adil; dan orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi mereka minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur.
Allah tidak mungkiri janjiNya. Yang memungkiri janjinya ialah kita manusia terutamanya orang-orang munafik, Tanda orang munafik tu ada tiga, yang pertamanya apabila dia bercakap dia bohong yang keduanya apabila dia berjanji dia memungkirinya dan yang ketiganya ialah apabila dia diberi amanah dia khianati amanah itu. Dalam masyarakat pada hari ini banyak kita lihat berlaku tiga perkara tersebut.
Bagaimana sebagai makhluk (sesuatu yg dicipta oleh Allah) kamu tergamak untuk kufur kepada Allah sedangkan kamu dulunya mati. Sebelum kamu hidup di dunia ni, kamu di peringkat yang sebelumnya iaitu mati. Kemudian Allah hidupkan kamu di atas muka bumi ini. Kemudian Dia akan mematikan kamu dan menghidupkan kembali bila berlakunya hari kiamat.
Lalu, apakah tujuan Allah menghidupkan manusia itu di atas muka bumi ini? Di dalam surah Al Mulk, Allah menyatakan bahawa Allah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji, siapakah di antara kamu itu yang lebih baik amalannya dan bukan yang lebih banyak amalannya.
Allah Maha Berkuasa untuk membalas kejahatan tetapi Dia juga Maha Pengampun. Allah juga akan membalas orang-orang beriman dan beramal soleh itu dengan keadilan dan membalas segala kebaikan sekalipun sebesar zarah yang sangat kecil.
Manakala yang banyak melakukan dosa pula hendaklah ingat kepada mafhum hadith Rasulallah saw bahawa sebaik-baik orang yang melaku kesalahan ataupun dosa itu ialah orang yang banyak bertaubat kepada Allah.
Tujuan utama Allah menciptakan jin dan manusia adalah untuk beribadah kepadaNya. Jadi semasa kita hidup ini, ambillah waktu sebanyak mungkin untuk kita beribadah kepada Allah dan dalam masa yang sama tidak lupa bahagian kita di dunia dengan berusaha mencari rezeki. Juga sentiasa lah menjadi hamba Allah yang bersyukur kerana nikmat Allah itu tidak terhitung banyaknya.
Recently Added
Tazkirah oleh: Dr. Azhar Mohamed
Rezeki yang Telah Ditetapkan oleh Allah
Dalam dunia, Allah telah menetapkan kepada kita rezeki yang banyak, ajal, kesudahannya sama ada syurga atau neraka.
Kisah seorang ulama’ bernama Al-Asma'i yang berjalan kaki dari tempatnya ke Mekah untuk menunaikan Haji. Kemudian, dia ditahan oleh seorang perompak. Perompak itu menyuruh ulama’ itu baca satu ayat al-Quran yang belum dia dengar dari Al-Quran. Lalu dibacakannya ayat tentang rezeki yang telah ditetapkan kepada manusia. Dan perompak itu tidak jadi untuk merompak. Apabila ulama’ itu sampai ke Mekah, dia berjumpa lagi dengan perompak tadi yang telah bertaubat. Katanya, kenapa perlu dia merompak jika Allah telah tetapkan rezeki untuknya?
Pengajarannya, sikap reda dan qanaah adalah satu sikap yang tinggi yang perlu ada dalam diri seseorang.
Apabila kita memandang nikmat Allah dan bandingkan dengan orang yang lagi susah dari kita, maka kita akan berpuas hati dengan nikmat tersebut.
Para wali Allah, mereka tidak akan minta kekayaan atau rezeki kerana mereka sudah tahu bahawa Allah pasti akan memberikan rezeki kepada mereka. Yang mereka minta hanyalah rahmat dan keredaan Allah.
Oleh itu, kita tidak boleh dengki dengan orang sebab masing-masing ada rezeki yang tersendiri.
Allah SWT Maha Pemurah. Semua hamba-Nya diberikan rezeki termasuklah orang-orang kafir sekalipun.
Kesimpulannya, dengki yang dibenarkan dalam Islam ada dua sahaja, iaitu:
Apabila melihat orang kaya yang menggunakan hartanya untuk kebaikan.
Apabila melihat orang yang diberikan ilmu kemudian disampaikan ilmunya itu kepada orang ramai.
Our Collection
Tazkirah oleh: Dr. Marsufah binti Jalil
Empat Ungkapan yang Ada Dalam Surah Al-Kahfi
1. Ungkapan Alhamdulillah
Ada lima surah yang dimulakan dengan perkataan alhamdulillah.
Dari sudut bahasa, apabila perkataan dimulakan dengan huruf alif dan lam, maka ia adalah kata nama.
Bermaksud pujian kepada Allah yang secara mutlak tanpa memerlukan siapa yang dipuji ataupun masa bila dipuji.
Tidak digunakan perkataan syukur kerana alhamdu lebih merangkumi semua.
Kisah sahabat mengucapkan “Hamdan kasiran mubarakan fiihi” lalu Nabi melihat 339 malaikat berlumba-lumba untuk mencatatkannya dan bawa amalan tersebut kehadapan Allah SWT.
Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda bahawa sebaik-baik zikir adalah Laailahaillallah dan sebaik-baik doa adalah Alhamdulillah
2. Ungkapan Insya-Allah
Ayat yang berkaitan diturunkan sebagai peringatan kepada Rasulullah supaya menggunakan perkataan ini apabila berjanji atau ingin buat sesuatu pada masa akan datang.
3. Ungkapan Masya-Allah
Kisah seorang yang ada kebun yang cantik yang mengatakan Masya-Allah apabila melihat kebunnya.
Sebagai satu kesedaran bahawa semua yang terjadi itu datangnya daripada Allah.
Mendamaikan dan menyenangkan hati kita dalam menghadapi kehidupan
4. Ungkapan La Haula Wala Quwwata Illa Billah
Orang Arab memanggilnya sebagai hau qala.
Rasulullah mengatakan bahawa kalimah ini adalah harta karun.
Haula bermksud pertukaran daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lain.
Kita tidak berdaya untuk mengubah sesuatu melainkan dengan izin Allah.
Cara kita menyelesaikan urusan kita kepada Allah SWT.
Bila dibaca semasa keluar dari rumah, maka akan mendapat petunjuk, dipelihara dan dicukupkan.
Tazkirah oleh: Dr. Shamsudin B. Mohd Noor
Hikmah yang Hilang
Al-Quran itu penuh dan padat dengan hikmah. Kelebihan Al-Quran juga ialah ia membuatkan kita mudah untuk menghayatinya kerana hadir dalam bentuk dialog. Apabila kita menghayati Al-Quran, kita akan terasa seolah-olah kita hidup pada zaman tersebut. Oleh itu, kita perlu membuat Refleksi 4T rahsia kehidupan (Taaruf, tafahum, taawun, takaful). Dalam kehidupan, kita tidak akan dapat lari daripada 4 perkara ini. Nilai-nilai yang hilang dari orang mukmin adalah hikmah. Antara hikmah orang Melayu yang hilang ialah:
Pantang memburukkan orang bila berbual.
Pantang bercakap lidah bercabang
Sayang tidak memilih kasih, marah tidak mencari selesa.
Bila duduk, duduk berguru.
Bila cekap, cekap bertanya.
Bila bercakap, cakap beradab.
Bila diam, diam berisi.
Bila musyawarah, mencari muafakat.
Bila menghukum, mencari adil.
Ke laut tidak akan hanyut, ke darat tidak akan sesat.
Selain itu, terdapat juga beberapa akhlak buruk yang mesti ditinggalkan antaranya:
Beriman dimulut hati berlumut.
Beriman di lidah, hati menyalah.
Tamak harta mabuk dunia.
Kemaruk puji lupa diri.
Berkawan dengan syaitan, berguru kepada nafsu.
Beraja pada selera, bersahabat kepada maksiat.
Dalam musyawarah berbantah-bantah, bila berunding tuding-menuding.
Sesama keluarga laga-melaga.
Sesama kawan makan-memakan
Sesama bangsa paksa-memaksa
Pentingnya hikmah atau nilai ini sehinggakan dalam sastera masyarakat Arab pun ada diceritakan tentang seorang lelaki yang hidup semasa zaman jahiliyah dan dia berputus asa dengan masyarakatnya yang telah hilang hikmah. Sehingga di lebih sanggup membuat keputusan untuk hidup bersama haiwan yang ganas.
Tazkirah oleh: Dr. Rahmat bin Abdullah
Tazkirah pada kali ini berkisar tentang sebuah hadis yang menceritakan seorang sahabat Nabi S.A.W yang cacat penglihatan/OKU pergi berjumpa baginda untuk memohon kepada junjungan besar agar baginda berdoa supaya dia yang buta disebabkan penyakit itu diberi kesembuhan penglihatan oleh Allah S.W.T.
Hadis ini bersumber daripada Saidina Uthman bin Hunaif R.A yang merupakan seorang sahabat dalam kalangan al-Ansar dan beliau menyertai semua peperangan dengan Nabi S.A.W kecuali peperangan Badar. Dalam hadis yang disebutkan, ada seorang lelaki yang buta berjumpa Nabi S.A.W dan berkata kepada baginda agar berdoa untuknya supaya Allah S.W.T memberi kesembuhan kepadanya.
أن رجلاً ضريرَ البصر أتى النَّبيَّ صلى الله عليه وسلم فقال: ادْعُ الله أَنْ يُعَافِيَني ، قاَلَ "إِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ لَكَ ، وَإِنْ شِئْتَ أَخَّرْتُ ذَلِكَ فَهُوَ خَيْرٌ" (وفي روايةٍ "وَإِنْ شِئْتَ صَبَرْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ") ، فَقَالَ: ادْعُهُ ، فأَمَرَهُ أَنْ يتوَضَأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءهُ، فَيُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ، وَيَدْعُوَ بِهَذَا الدُّعَاءِ "اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ، يَا مُحَمَّدُ إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلى رَبِّي في حَاجَتي هَذه فَتُقْضَى لي، اللَّهُمَّ فشفعهُ ِفيَّ (وَشَفِّعْني فِيهِ) ، قال: ففعل الرجل فبرأ.
Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki buta datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Berdoalah (Wahai Rasulullah) kepada Allah agar menyembuhkan aku.” Sabda baginda: “Jika kamu mahu, aku akan mendoakannya, jika kamu mahu, aku lewatkannya, dan itu lebih baik untukmu.” Dalam riwayat lain baginda bersabda: “Jika kamu bersabar, maka perkara itu lebih baik untuk kamu.” Lalu lelaki itu berkata: “Berdoalah kepada-Nya,” Lalu Rasulullah mengarahkan lelaki itu berwuduk dan menunaikan solat dua rakaat, dan berdoa dengan doa, “Ya Allah sesungguhnya aku memohohon kepada-Mu, dan aku bertawajjuh kepada-Mu dengan nabi-Mu Muhammad, nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada tuhanku dalam hajatku ini, agar diperkenankan untukku, Ya Allah terimalah syafaat baginda (doa baginda) untukku dan terimalah syafaatku (doaku) agar Engkau menerima syafaat baginda.” Kata ‘Uthman: “Lalu beliau melakukannya, dan dikurniakan kesembuhan.”
Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa lelaki buta itu meminta Nabi S.A.W berdoa untuknya. Namun Nabi S.A.W berkata bahawa jika dia mahu baginda berdoa, baginda boleh berdoa tetapi jika dia mahu supaya dirinya bersabar dengan ujian Allah S.W.T, maka itu lebih baik. Hal ini demikian kerana ganjaran bagi sifat bersabar itu ialah syurga. Namun, sahabat yang buta itu meminta baginda Nabi S.A.W berdoa untuk kesembuhannya. Maka, baginda ajarkan satu amalan kepadanya dengan menyuruh dia mengambil wuduk, memperelok wuduknya dengan 1. menyempurnakan basuhan; 2. mengamalkan ghurrah (الْغرَّة) dan tahjil (التَّحْجِيلُ), kemudian menunaikan solat dua rakaat (solat hajat). Sesudah itu, diajarkan satu doa kepadanya untuk diamalkan. Menurut Uthman bin Hunaif, sahabat yang buta itu pulang ke rumah lalu dia melakukan amalan-amalan yang diajarkan oleh Nabi S.A.W dan Allah S.W.T telah menyembuhkannya.
Justeru, daripada kisah yang diceritakan dalam hadis ini kita hendaklah membuat amalan hebat yang diwariskan oleh Nabi S.A.W kepada kita ini agar segala hajat yang baik dipermudah oleh Allah S.W.T
Nota tambahan:
Al-Ghurrah ialah membasuh muka ke bahagian kepala, manakala al-Tahjil pula ialah membasuh bahagian atas dua siku dan buku lali. Malah disunatkan untuk melebihkan basuhan pada kesemua anggota wuduk tersebut. Dalam erti kata lain, melebihkan basuhan daripada had basuhan yang wajib seperti melebihkan had basuhan pada bahagian muka di semua sudut muka iaitu sehingga membasuh belakang leher bersama semua bahagian permulaan kepala dan begitulah juga pada tangan dan kaki iaitu sehingga membasuh sekeliling bahagian atas dua siku dan buku lali.
Ghurrah dan tahjil ditafsirkan sebagai cahaya yang muncul pada anggota-anggota wuduk di Hari Kiamat sepertimana warna putih yang terdapat pada kuda.
Tazkirah oleh: Dr. Mohd Puzhi bin Usop
Tazkirah pada kali ini membawa perkongsian berkaitan dengan topik pujian kepada Allah S.W.T. Kita semua digalakkan untuk menyebut الحمد لله dan سبحان الله bagi memuji Allah S.W.T. Lafaz سبحان الله juga digunakan untuk membersihkan Allah S.W.T daripada sifat-sifat negatif atau tuduhan jahat yang dilemparkan oleh orang bukan Islam terhadap Allah S.W.T. Dengan bertasbih juga kita boleh memuji-Nya kerana yang berhak dipuji hanya Allah S.W.T. Kita juga disarankan untuk memuji Rasulullah S.A.W tetapi tidak boleh berlebih-lebihan kerana baginda telah berpesan:
لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ
Mafhumnya: “Jangan kamu semua berlebih-lebihan memujiku, seperti yang dilakukan oleh orang-orang Nasara (Kristian) terhadap Ibn Maryam (Nabi ‘Isa AS), sebaliknya saya hanyalah hambaNya. Maka kamu sebutlah (kepada Saya) Hamba Allah dan RasulNya.
Dalam kehidupan seharian kita, Rasulullah juga melarang kita memuji manusia secara berlebihan kerana apabila kita melakukan sedemikian, perkara tersebut ibarat kita memotong leher orang tersebut kerana manusia tidak layak menerima pujian yang berlebih-lebihan. Dalam riwayat lain juga Rasulullah bersabda:
إِذَا رَأَيْتُمُ الْمَدَّاحِينَ فَاحْثُوا فِي وُجُوهِهِمُ التُّرَابَ
Mafhumnya: “Apabila kamu melihat orang yang terlalu suka memuji, maka ambillah tanah dan lemparlah ke mukanya.”
Dalam bab pujian juga, Islam melarang kita memuji/mengampu diri sendiri seperti yang disebutkan di dalam Surah an-Najm, ayat 32:
فَلَا تُزَكُّوْٓا اَنْفُسَكُمْۗ هُوَ اَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقٰى
Terjemahan: “... maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih daripada dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.”
Perkara yang paling buruk dan bahaya dalam bab pujian ialah orang yang suka dipuji atas perbuatan orang lain. Ini merupakan sifat munafik (berpura-pura). Firman Allah S.W.T di dalam Surah ali-Imran, ayat 188:
لَا تَحۡسَبَنَّ الَّذِيۡنَ يَفۡرَحُوۡنَ بِمَاۤ اَتَوْا وَّيُحِبُّوۡنَ اَنۡ يُّحۡمَدُوۡا بِمَا لَمۡ يَفۡعَلُوۡا فَلَا تَحۡسَبَنَّهُمۡ بِمَفَازَةٍ مِّنَ الۡعَذَابِۚ وَلَهُمۡ عَذَابٌ اَ لِيۡمٌ
Terjemahan: “Jangan sekali-kali kamu mengira bahawa orang yang gembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka suka dipuji atas perbuatan yang tidak mereka lakukan, jangan sekali-kali kamu mengira bahawa mereka akan lolos daripada azab. Mereka akan mendapat azab yang pedih.”
Seterusnya, manusia suka dipuji daripada dikritik. Hakikatnya, kita perlu belajar menerima sebarang kritikan kerana apabila terdapat orang lain yang mengjritik/menegur kita, ini bermaksud orang tersebut cuba untuk memperbaiki diri kita. Seharusnya kita perlu berterima kasih kepada orang yang menegur kita, bukannya bermusuh dengan orang yang mengkritik. Kita perlu bermuhasabah dengan teguran tersebut dan ini merupakan peluang untuk kita memperbaiki diri.
Pengajarannya, kita hendaklah sentiasa terbuka dengan kritikan/teguran daripada orang lain.
Tazkirah oleh: Ustazah Nik Kamilah Nor binti Nik Abdul Ghani
Hadis Pertama: Kesabaran OKU Dijamin Syurga oleh Allah SWT
Daripada `Ata` bin Abu Rabah, katanya: “Ibnu Abbas r.a. mengatakan kepadaku: “Apakah engkau suka saya tunjukkan seorang wanita yang termasuk ahli syurga?” Saya berkata: “Baiklah”. Lalu ia berkata lagi: “Wanita berkulit hitam itu pernah datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: “Sesungguhnya saya ini telah dirasuk oleh jin dengan sebab itu saya telah membuka aurat. Saya harap tuan do`akan untuk saya agar sembuh. “Baginda bersabda: “Jika engkau suka hendak lah bersabar bagimu adalah syurga, tetapi jika kamu suka saya akan berd`oa kepada Allah agar penyakitmu disembuhkan”. Wanita itu berkata. “Saya bersabar”, lalu katanya lagi. ”Sesungguhnya dengan penyakit ini saya membuka aurat, kalau begitu minta tuan doakan agar saya tidak membuka aurat lagi”. Nabi s.a.w. berdoa untuknya”. Muttafun alaih.
Hadis ini menceritakan tentang jaminan Rasulullah terhadap orang-orang yang bersabar apabila ditimpa penyakit.
Jaminan yang diberikan adalah ganjaran syurga kepada mereka yang bersabar atas penyakitnya.
Kita sebagai orang yang tidak diuji mestilah bersifat rahmah dan cuba membantu golongan ini dengan sebaiknya.
Kita juga mestilah bersabar dengan segala ujian yang diberikan oleh Allah SWT di samping berdoa agar diberikan kesembuhan oleh Allah.
Hadis Kedua: Larangan Mengejek Orang yang Mempunyai Kekurangan Fizikal
Pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang sahabat bernama Abdullah bin Mas’ud RA. Beliau memiliki betis yang kecil. Ketika beliau mengambil ranting untuk dijadikan siwak, angin berhembus dan menyingkap betisnya yang kecil itu lalu sahabat Nabi tertawa kerana melihat betis Ibnu Mas’ud yang kecil itu.
Maka Baginda menegur perbuatan sahabat dengan bersabda yang bermaksud: “Apa yang membuat kalian ketawa?” Mereka berkata, “Wahai Nabi Allah kerana kedua-dua betisnya yang kurus.” Maka Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi zat yang jiwaku berada di tangannya sungguh kedua-dua betis itu lebih berat di timbangan daripada Gunung Uhud.”
Pengajaran daripada hadis ini:
Allah SWT tidak memandang fizikal seseorang untuk mendapat rahmatnya.
Sebagaimana OKU walaupun mempunyai kekurangan, tetapi Allah tidak memandang kekurangan itu.
OKU pun tetap boleh berjaya termasuk dalam bidang sukan.
Kecacatan fizikal tidak menghalang seseorang daripada berjaya.
Rasulullah SAW melarang kita mengejek orang kerana fizikalnya.
Tazkirah oleh: Dr. Ustazah Nurulhuda binti Othman
Kita diciptakan dengan kesempurnaan pancaindera yang merupakan nikmat kurniaan Allah S.W.T. Jika dilihat pula status OKU di dalam al-quran, tiada diskriminasi terhadap OKU dalam Islam berdasarkan Surah Annur: 61.
Ayat tersebut diturunkan ketika Nabi dan para tentera Muslimin hendak keluar berjihad dan mengamanahkan kunci rumah mereka kepada OKU. Mereka tidak yakin dengan kemampuan OKU dan risau jika mereka termakan makanan di dalam rumah tersebut. Sebelum Nabi diutuskan menjadi rasul, orang-orang Islam ini tidak akan duduk makan bersama-sama dengan OKU kerana bagi mereka, OKU tidak dapat menikmati makanan dan menyebabkan mereka tidak selesa. Justeru, Allah S.W.T menurunkan ayat 61, Surah Annur sebagai dalil yang membuktikan bahawa dalam Islam, tiada diskriminasi terhadap OKU.
Jika kita diperlihatkan dengan sirah Nabi Muhammad S.A.W, dalam kalangan para sahabat yang OKU antaranya ialah Abdullah Ibn Ummi Maktum merupakan seorang yang cacat penglihatan (buta) tetapi hatinya celik dalam mempertahankan Rasulullah S.A.W dan Islam sehingga memberi kepercayaan kepadanya untuk mewakili baginda dalam menguruskan Madinah sebanyak dua kali dan menjadi imam sebanyak 13 kali menggantikan baginda. Beliau juga merupakan antara yang terawal berhijrah dari Mekah ke Madinah dan ini menunjukkan bahawa beliau mempunyai semangat jihad yang tinggi sehinggakan kehebatannya ini disebut dalam sebuah hadis.
Seorang lagi sahabat baginda yang juga menjadi OKU kerana jihad mempertahankan Rasulullah S.A.W iaitu, Talhah bin Ubaidillah. Beliau merupakan salah seorang yang diberitakan akan masuk syurga serta mendapat gelaran al-Syahid al-Haiy (syahid yang hidup) kerana mempertahankan Nabi dalam perang Uhud sehingga menerima 79 tusukan lembing dan pedang yang menyebabkan jari tangannya terputus. Beliau juga banyak berinfak di jalan Allah pada zaman Nabi S.A.W. Namanya juga disebut di dalam sebuah hadis riwayat Sahih al-Bukhari, no. 4063 (berkaitan dengan gelaran al-Syahid al-Haiy) dan Sunan Ibn Majah, no. 122. Kedua-dua sahabat Nabi S.A.W yang OKU ini merupakan antara kisah yang boleh dijadikan pedoman pada zaman Nabi.
Pada masa kini, kita juga dapat melihat OKU yang boleh dijadikan tauladan iaitu Johan Qari peringkat Kebangsaan Tahun 2023, adik Qayyim Nizar yang merupakan OKU (penglihatan) pertama dinobatkan sebagai juara Qari. Beliau melazimi al-Quran (braille) sehingga hilang tulisannya. Kadangkala, adik Qayyim melazimi al-quran sehingga tertidur berbanding dengan kita yang celik yang kadang-kadang hendak tidur pun masih belum membaca al-quran.
Tazkirah oleh: Ustaz Wan Nordin bin Wan Abdullah
Tazkirah pada kali ini berkisar tentang ayat 60-82 daripada Surah al-Kahfi.
Ibn Abbas meriwayatkan sebuah hadis dalam Sahih al-Bukhari, bermulanya kisah pertemuan antara Nabi Musa A.S dengan Nabi Khidir A.S adalah apabila satu hari Nabi Musa A.S memberi syarahan kepada Bani Israel (Allah sebut di dalam al-quran sebagai kaum yang degil). Semasa syarahan baginda, sebahagian yang mendengar syarahan tersebut bertanya, “Siapakah yang paling alim di atas dunia ini?’ Nabi Musa menjawab “Ana”. Jawapan Nabi Musa itu bukanlah menunjukkan bahawa baginda seorang yang sombong dan angkuh, tetapi kerana statusnya sebagai Rasul Ulul Azmi yang diwahyukan oleh Allah dan baginda juga merupakan Kalimullah.
Kemudian, Allah S.W.T menegur Nabi Musa dengan menyatakan bahawa terdapat manusia yang lebih alim daripadanya yang mengetahui ilmu yang tidak baginda ketahui. Maka apabila ditegur oleh Allah, Nabi Musa berdoa kepada Allah untuk menunjukkan gerangan manusia tersebut supaya baginda dapat belajar daripadanya. Hal ini membuktikan bahawa baginda seorang yang tawaduk dan bukanlah sombong dan angkuh.
Sebagai pengajaran, walau setinggi mana pun keadaan, kedudukan atau status kita, janganlah kita sombong dan angkuh. Lebih-lebih lagi apabila kita menghadiri majlis-majlis ilmu, anggaplah ilmu yang kita dengari itu sebagai satu ilmu baharu.
Nabi musa meminta kepada Allah untuk bertemu orang alim tersebut, Allah menyatakan bahawa baginda boleh berjumpa dengan orang tersebut di majmaa’l bahrain (Ayat 60) pertemuan dua laut. Untuk mencarinya, Allah berpesan kepada Nabi Musa agar membawa ikan sebagai bekalan. Apabila hilang ikan tersebut, maka di situlah tempat baginda akan menjumpai orang alim tersebut. Maka, Nabi Musa pun memulakan musafir ilmunya dengan mengajak seorang pemuda sebagai teman musafir baginda yang dikatakan dalam riwayat merupakan Nabi Yushak bin Nun.
Mereka memulakan perjalanan yang jauh sehingga mereka berasa letih dan Nabi Musa mengajak untuk berehat di atas batu di tepi pantai dan kedua-duanya tertidur keletihan. Namun, Nabi Yushak tersedar dan mendapati bekalan ikan yang dibawa mereka hidup dan bergerak-gerak lalu jatuh daripada bekas dan masuk ke dalam laut. Apabila ikan tersebut masuk ke dalam laut, kesan laluan ikan tadi tidak bercantum semula dan membentuk seperti terowong.
Nabi Musa pun terjaga dan mengajak Nabi Yushak untuk meneruskan perjalanan yang tidak pasti jauhnya. Apabila sudah berjalan dan kepenatan, baginda Nabi Musa berasa lapar dan meminta bekalan ikan yang dibawa untuk dimakan. Apabila Nabi Musa meminta bekalan tersebut, Nabi Yushak lantas teringat akan peristiwa yang dilihatnya tadi lalu memberitahu Nabi Musa. Nabi Musa berkata “Inilah yang kita mahukan” kerana Allah S.W.T telah memaklumkan bahawa tempat hilangnya ikan itulah merupakan tempat pertemuan baginda dengan orang alim tersebut. Maka kedua-duanya pun berpatah balik ke tempat tadi. Alangkah terkejutnya mereka kerana tempat tadi yang pada awalnya kelihatan kering-kontang, tiada pokok dan tumbuhan, tiba-tiba menghijau dan di atas batu ada seorang lelaki yang sedang berehat, orang itu ialah al-khadru, Nabi Khidir A.S. Yakinlah Nabi Musa bahawa orang tersebut merupakan orang alim yang disebutkan oleh Allah S.W.T. maka, baginda pun memberi salam kepada Nabi Khidir, baginda tidak menjawab salam tersebut tetapi berkata “Di manakah letaknya ketenteraman dan kesejahteraan terhadap kaum kamu ini?”
Nabi Musa kemudiannya memperkenalkan diri dan meminta izin untuk mengikut Nabi Khidir bermusafir di samping belajar ilmu yang Allah S.W.T telah ajarkan kepadanya. Lalu, Nabi Khidir berkata bahawa Nabi Musa tidak akan dapat bersabar untuk ikut dan belajar dengannya kerana menurut Nabi Khidir, Nabi Musa tidak akan mampu untuk bersabar terhadap sesuatu perkara yang tidak difahaminya.
Itulah kita pada hari ini yang terdedah dengan pelbagai perkara melalui media sosial. Banyak komentar yang diberikan walhal kadang-kadang kita tidak memahami situasi atau perkara sebenar yang akhirnya komentar tersebut membawa kepada fitnah dan dosa. Saidina Ali berkata, “Manusia akan memusuhi apa yang tidak diketahuinya”.
Oleh itu, janganlah kita mudah menilai apabila melihat sesuatu kekurangan daripada orang lain melainkan kita benar-benar mengetahui atau memahami keadaan sebenar.
Tazkirah oleh: Ustaz Mohd. Fairuz bin Abdul Talib
Tazkirah yang disampaikan pada kali ini berkaitan dengan hadis ke-7 yang diambil daripada kumpulan “Hadis 40” berkaitan dengan Orang Kurang Upaya (OKU):
Daripada Anas R.A. bahawa Nabi Muhammad S.A.W pernah menjadikan seseorang yang bernama Ibn Ummi Maktum sebagai “khalifah” (wakil) apabila Nabi S.A.W keluar dari Madinah, sebanyak dua kali.
Nama sebenarnya ialah Abdullah, merupakan seorang yang cacat penglihatan dan Nabi S.A.W memuliakan beliau. Beliau dilantik sebagai “khalifah” atau wakil Rasulullah S.A.W Ketika baginda keluar dari Madinah untuk berjihad. Terdapat beberapa pandangan ulama berkaitan kisah ini. Ada pendapat menyatakan bahawa beliau dilantik untuk menggantikan baginda Rasulullah S.A.W dalam urusan sembahyang sahaja dengan menjadi imam dan ada sebahagian ulama’ berpendapat bahawa beliau bukan sahaja ditugaskan dalam urusan sembahyang tetapi juga urusan-urusan pentadbiran Madinah.
Bagi ulama’ yang berpandangan pelantikan Abdullah Ibn Maktum sebagai imam solat sahaja adalah kerana mereka berpendapat sekiranya beliau dilantik untuk menguruskan hal-hal berkaitan kenegaraan, maka akan mendatangkan masalah kepadanya dan umat. Hal ini disebabkan oleh beliau mempunyai kekurangan dari segi penglihatan yang mungkin akan menyukarkannya untuk menentukan sesuatu perkara dengan teliti dan tepat. Walau apa jua pendapat berkaitan tugasan beliau, hal ini tetap menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W memberi kepercayaan kepada golongan OKU. Jika individu OKU tersebut mepunyai pengalaman, ilmu dan kemahiran, tidak salah memberi mereka peluang untuk membuat tugasan yang mampu dilakukannya.
Apa yang menarik berkaitan dengan Abdullah Ibn Maktum ini ialah beliau merupakan seorang muazzin (tukang azan) Rasulullah S.A.W dalam bulan Ramadan. Justeru, terdapat dua orang tukang azan ketika bulan Ramadan iaitu Bilal bin Rabah dan Abdullah Ibn Maktum. Azan pertama sebelum fajar akan dikumandangkan oleh Bilal dan Abdullah Ibn Maktum pula akan mengalunkan azan apabila telah masuk waktu fajar sodiq.
Kisah Abdullah Ibn Maktum juga ada disebutkan oleh Allah S.W.T di dalam Surah 'Abasa. Diriwayatkan oleh Aisyah R.A, turunnya ayat ini ketika Rasulullah S.A.W sedang berdakwah kepada pembesar-pembesar Quraisy. Jadi, datanglah Abdullah Ibn Maktum dan meminta Nabi membaca satu ayat kepadanya. Memandangkan pada ketika itu baginda sedang berdakwah, baginda tidak melayani permintaan Abdullah Ibn Maktum. Maka turunlah ayat عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ (١) sebagai teguran kepada baginda Rasulullah S.A.W.
Pengajarannya, OKU juga boleh diberi amanah untuk melakukan sesuatu tetapi yang masih bersesuaian dengan kemampuannya.
Tazkirah oleh: Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim
Bersempena bulan Ramadan yang mulia dan Nuzul Quran, Ustaz Abdullah Bukhari telah menyampaikan sebuah tazkirah khas. Berikut disertakan nota mengenai tazkirah pada kali ini:
Tazkirah oleh: Ustaz Wan Najmuddin Wan Abdullah
Terdapat banyak kumpulan hadith 40 yang disusun tetapi yang terkenal ialah 40 hadith yang dikumpul oleh Imam Nawawi r.a. . Namun demikian, pada hakikatnya 40 hadith susunan Imam Nawawi tersebut mengandungi 42 hadith. Antara usaha pengumpulan hadith 40 sebelum Imam Nawawi dilakukan oleh Imam Ibnu Solah yang menyusun 26 hadith al-kulliyah (Hadith-hadith yang merangkumi semua). Manakala setelah pengumpulan hadith 40 oleh Imam Nawawi datang pula Imam Ibnu Rejab al -Hambali yang menambah lapan lagi hadith lalu menjadikannya berjumlah 50 hadith dan diberi nama Jami’ al Ulum wal Hikam. Di Malaysia pula, di zaman ini, selain Dr Ahmad Sanusi yang Menyusun 40 hadith berkaitan OKU, terdapat juga Dr Zaini Ujang dan Dr Zulkifli Yusuf yang Menyusun 40 hadith tentang alam sekitar.
Hadith ke empat dari buku 40 hadith tentang Golongan OKU yang diriwayatkan oleh Muslim ini menceritakan tentang Rasulallah saw membantu memenuhi keperluan seorang wanita yang lemah akalnya .
Sheikh Al Mubarakfuri dalam syarahnya terhadap hadith ini menyatakan bahawa lemah akal di sini bermaksud kurang pada pemikirannya, pelupa atau mempunyai aspek kekurangan akal yang lain samada disebabkan cacat ataupun telah berusia. Rasulallah saw menolong semua tanpa mengira mereka dari golongan yang sihat akal dan fizikalnya atau sebaliknya.
Menurut Imam Nawawi dalam syarahnya bagi Sahih muslim menyatakan ini menunjukkan kesungguhan Nabi Muhammad saw dalam melayani keperluan setiap muslim apatah lagi golongan yang mempunyai kekurangan dari aspek fizikalnya.
Ini merupakan panduan buat semua kaum muslimin, bahawa kita seharusnya menyantuni dan membantu orang-orang yang memerlukan tanpa mengira lelaki atau perempuan, sihat atau sakit, mempunyai kekurangan atau sempurna.
Tazkirah oleh: Dr. Fekri Abidin Hassan
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: أُنْزِلَ (عَبَسَ وَتَوَلَّى) فِي ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ الأَعْمَى، أَتَى رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَجَعَلَ يَقُولُ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرْشِدْنِي! وَعِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَجُلٌ مِنْ عُظَمَاءِ الْمُشْرِكِينَ فَجَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُعْرِضُ عَنْهُ وَيُقْبِلُ عَلَى الآخَر،ِ وَيَقُولُ: أَتَرَى بِمَا أَقُولُ بَأْسًا؟ فَيَقُوْلُ: لاَ. فَفِي هَذَا أُنْزِلَ.
Daripada Saidatina Aisyah dia berkata, “Sesungguhnya Surah ‘Abasa diturunkan kerana peristiwa yang berlaku ke atas Saidina Abdullah Ibnu Ummi Maktum, seorang pemuda buta. Ia menghadap Rasulullah SAW dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, ajarilah aku agama!’ Kebetulan saat itu Nabi sedang menjamu seorang pembesar kaum musyrik. Rasulullah pun berpaling dari Ibnu Ummi Maktum dan menghadapkan mukanya kepada pembesar musyrik itu. Karena Nabi tidak segera menjawab, Ibnu Ummi Maktum bertanya, ‘Adakah yang salah dengan ucapanku?’ Nabi menjawab, ‘Tidak.’ Berkaitan dengan kisah inilah ayat tersebut diturunkan.
Hadis ini menceritakan bagaimana Allah memberi teguran kepada Rasulullah SAW kerana perbuatannya memalingkan muka daripada seorang yang buta. Ia menunjukkan tentang hak sama rata yang perlu diberikan kepada golongan OKU termasuklah hak pendidikan. Tidak kira sama ada dia adalah golongan bangsawan atau pun bukan.
Antara bukti Rasulullah mengangkat dan melayan golongan OKU tanpa megira keadaanya adalah Abu Abdur Rahman Al-Sulami dilahirkan sebagai seorang yang buta di zaman Rasulullah SAW. Namun, beliau diberi pendidikan yang baik sehingga menjadi seorang ulama’ yang terkemuka pada zamannya.
Kita juga hendaklah mengambil pengajaran daripada hadis ini dan perlu mencontohi Rasulullah dan para sahabat dengan melayan golongan OKU secara sama rata dengan orang biasa. Sebagaimana Hadis Rasulullah yang mengatakan bahawa orang yang dekat dengan baginda di akhirat kelak adalah orang yang baik akhlaknya. Dan seorang yang tidak mengasihani orang lain tidak akan dikasihani oleh Allah SWT. Berbuat baik dan bermuamalah secara adil dengan orang lain juga merupakan salah satu tanda kita mensyukuri nikmat-nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada kita.
Tazkirah oleh: Datin Ustazah Sabariah Bakri
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يقولُ: " ابغُونِي الضُّعَفَاءَ، فَإِنَّمَا تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ بِضُعَفَائِكُم
“Daripada Saidina Abu Darda RA, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Datangkan kepadaku golongan yang lemah (termasuk kelainan upaya) ini, kerana sesungguhnya kamu diberikan rezeki dan dibantu oleh Allah melalui golongan yang lemah ini.” (Sunan Abu Daud, no: 2594 - Hadis Sahih).
Yang dimaksudkan dengan orang yang lemah ialah orang yang tidak mempunyai kekuatan, orang yang sakit, terlantar di atas katil, orang-orang tua dan sebagainya. Orang yang lemah juga termasuklah orang kelainan upaya di mana mereka mempunyai jiwa yang bersih dan suci. Apabila kita menyantuni golongan ini, Allah akan memberikan keberkatan kepada kita.
Di dalam satu peristiwa di zaman Rasulullah, baginda pernah dijemput oleh seorang sahabat yang buta untuk solat di rumahnya bersama-sama. Lalu Rasulullah memenuhi permintaan sahabat tersebut. Menunjukkan bahawa Rasulullah juga menyantuni golongan yang buta (kelainan upaya) dengan cara yang baik.
Antara cara untuk kita menyantuni golongan OKU juga adalah dengan menjemput mereka ke program-program yang kita anjurkan. Kemudian, muliakan mereka seperti menyediakan tempat yang khusus untuk mereka. Jangan kita meminggirkan mereka hanya kerana mereka lemah.
Para ibu bapa yang mempunyai anak-anak kurang upaya mestilah merasakan diri mereka bertuah dan bersyukur dengan kehadiran anak-anak tersebut kerana mereka adalah rahmat daripada Allah. Jangan sesekali kita merasa terbeban dengan kehadiran mereka. Kerana mereka lah yang boleh menjadi asbab untuk kita ke syurga Allah SWT.
Tazkirah oleh: Dr. Puzhi Usop
اَلْمَالُ وَالْبَنُوْنَ زِيْنَةُ الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا وَالْبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا (46)
Maksudnya: Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal kebajikan yang terus-menerus adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan (Surah Al-Kahfi 18:46).
Ayat tersebut menerangkan kepada kita tentang perkara-perkara berikut:
Harta dan anak-anak adalah merupakan perhiasan di dunia namun yang kekal bersama kita sehingga ke akhirat hanyalah amal-amal kita.
Sebahagian ulama’ menafsirkan perkataan amal kebajikan sebagai amal ibadah kita dan ada juga yang menafsirkannya sebagai zikir kepada Allah SWT.
Menurut Prof. Wahbah Az-Zuhaili, Allah SWT mendahulukan perkataan harta di dalam ayat ini kerana harta itu lebih merbahaya kepada kita. Antaranya hubungan anak-beranak boleh berpecah belah hanya kerana berebutkan harta.
Harta yang kekal untuk kita hanyalah harta yang kita sedekahkan kerana Allah. Kerana apabila kita bersedekah, para Malaikat akan mendoakan kita supaya Allah menggantikan harta yang telah kita sedekahkan itu.
Anak-anak juga merupakan perhiasan dunia dan sebagai ujian kepada ibu bapa. Sekiranya kita dapat mendidik anak-anak dengan baik, maka mereka akan menjadi penyebab untuk kita ke syurga.
Tazkirah oleh: Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim
وَأَمَّا ٱلْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَـٰمَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِى ٱلْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُۥ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَـٰلِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبْلُغَآ أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُۥ عَنْ أَمْرِى ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا (٨٢)
Maksudnya: Dan adapun dinding rumah itu adalah milik dua anak yatim di kota itu, yang di bawahnya tersimpan harta bagi mereka berdua, dan ayahnya seorang yang saleh. Maka Tuhanmu menghendaki agar keduanya sampai dewasa dan keduanya mengeluarkan simpanannya itu sebagai rahmat dari Tuhanmu (Surah Al-Kahfi 18:82).
Di dalam Surah Al-Kahfi Ayat 82, Allah SWT menceritakan mengenai pengembaraan Nabi Musa dan Khidir. Dimana Khidir memberi jawapan kepada persoalan Nabi Musa dalam ayat-ayat sebelumnya berkenaan dengan situasi Khidir membaiki dinding sebuah rumah yang rosak. Khidir menerangkan bahawa rumah tersebut adalah milik anak yatim dan di bawahnya ada tertanam harta peinggalan ibu bapa anak yatim tersebut. Beliau membaikinya supaya harta tersebut kekal terjaga sehingga anak yatim itu cukup umur untuk menguruskannya.
Allah SWT menegaskan di dalam ayat tersebut perkataan وَكَانَ أَبُوهُمَا صَـٰلِحًۭا yang bermaksud dan ayahnya seorang yang soleh. Di sini menunjukkan tentang kelebihan sekiranya seseorang itu bersifat soleh. Kesan kesolehan ibu bapa anak yatim itu menjadi asbab kepada terselamatnya harta anak yatim tersebut. Kerana sekiranya rumah itu roboh, berkemungkinan ada orang lain yang akan menjumpai harta tersebut dan harta tersebut mungkin tidak akan sampai kepada si anak yatim.
Ayat ini memberikan motivasi kepada kita supaya berusaha menjadi seorang yang soleh agar manfaatnya sampai kepada seluruh keturunan kita. Terdapat banyak galakan yang diberikan oleh Allah dan RasulNya agar kita berusaha menjadi seorang yang soleh antaranya ialah:
Hadis Nabi berkenaan tiga amalan yang tidak terputus walaupun seseorang itu telah mati. Bukti bahawa kesolehan seseorang boleh menjadi penyelamat kepada keturunannya.
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (HR Muslim).
Hadis Nabi berkenaan diangkat darjat seseorang kerana doa anaknya yang soleh.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: Wahai Tuhan, dari mana yang aku dapat ini? Allah berfirman: dengan istighfar anak kamu kepadamu”. [Riwayat Ahmad (10610)]
Surah Al-A’raf ayat 196. Memberitahu kita bahawa Allah akan mengatur kehidupan orang-orang soleh. Sebagaimana sirah Umar Abdul Aziz. Ketika kematiannya, beliau dipersoalkan kerana sikap amanah beliau yang amanah dengan harta sehingga beliau tidak mengambil harta orang ramai untuk ditinggalkan kepada anak-anaknya. Lalu beliau berpesan kepada anak-anaknya supaya menjadi seorang yang soleh. Kemudian diriwayatkan bahawa anak-anaknya, kehidupan mereka selepas itu ada yang mempunyai rezeki yang melimpah-ruah sehingga boleh didermakan untuk jihad di jalan Allah kerana kesolehan mereka.
إِنَّ وَلِيِّيَ اللّٰهُ الَّذِيْ نَزَّلَ الْكِتٰبَ وَهُوَ يَتَوَلَّى الصّٰلِحِيْن (196)َ
Sesungguhnya pelindungku adalah Allah yang telah menurunkan Kitab (Al-Qur'an). Dia melindungi orang-orang saleh (Surah Al-A’raf 7:196).
Kesimpulannya, apabila seseorang itu menjadi seorang yang soleh, maka Allah akan membantu memudahkan urusan dirinya dan keturunannya.
Tazkirah oleh: Ustaz Ramlee Abdullah
Tazkirah pada kali ini berkisar tentang surah al-Kahfi yang mengandungi pujian kepada Allah S.W.T atas rahmat dan nikmat yang Allah S.W.T kurniakan kepada manusia. Surah ini juga menceritakan cara rahmat Allah S.W.T itu diturunkan kepada hamba-hamba-Nya melalui empat kisah besar yang terkandung di dalamnya:
Kisah pertama ialah kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi yang meminta pertolongan kepada Allah S.W.T selepas mereka lari daripada pemerintah yang zalim. (Surah al-Kahfi:9-26) Mereka meminta supaya dirahmati, lalu Allah S.W.T menunaikan permintaan mereka melalui kisah yang disebutkan.
Pemuda-pemuda tersebut dipelihara Allah sehinggakan ketika mereka ditidurkan di dalam gua selama 309 tahun, namun tiada satu pun anasir-anasir luar yang datang mengganggu mereka. Allah merahmati mereka kerana mereka ialah pemuda yang beriman kepada tuhan mereka dan asas kepada rahmat itu ialah beriman kepada Allah S.W.T.
Kisah kedua pula berkaitan dengan perumpamaan dua orang petani yang kaya yang diberikan kurniaan kebun yang subur (Surah al-Kahfi:32-43). Satu golongan beriman dan satu golongan lagi tidak beriman.
Petani yang beriman mengatakan apa sahaja yang dimilikinya adalah daripada Allah S.W.T, manakala petani yang tidak beriman mengatakan bahawa segala yang dimiliki adalah daripada usaha dan titik peluhnya sendiri. Apabila dikatakan orang kaya yang beriman, nescaya mereka akan menginfakkan harta mereka ke jalan Allah. Selagi terdapat masyarakat atau golongan kaya yang beriman, maka masyarakat tersebut akan dirahmati oleh Allah S.W.T
Kisah ketiga berkaitan dengan Nabi Musa A.S dan Nabi Khidir A.S. (Surah al-Kahfi:60-82) Kisah ini menceritakan tiga tindakan Nabi Khadir iaitu; membocorkan sampan/perahu orang miskin, membunuh seorang kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang soleh dan beriman dan tindakan ketiga ialah menyelamatkan harta anak yatim dengan membaiki tembok yang hampir roboh.
Tindakan Nabi Khidir tersebut merupakan rahmat kepada mereka. Kunci utama rahmat terhadap tindakan Nabi Khidir ialah ilmu yang dimilikinya. Segala tindakan yang dilakukan berserta dengan ilmu, pasti akan dirahmati Allah S.W.T.
Kisah keempat ialah kisah Raja Zulkarnain yang merupakan seorang raja yang memeritah dunia dan merahmati rakyat pemerintahannya. Beliau pergi ke barat untuk mengajak rakyatnya beriman kepada Allah. Beliau pergi ke timur untuk membantu rakyatnya yang dalam kesusahan dan beliau pergi ke utara untuk menjaga keamanan pemerintahannya daripada musuh-musuh luar (Yakjuj dan Makjuj).
Jika pemimpin mempunyai ketiga-tiga ciri tersebut, maka rahmat Allah S.W.T akan diturunkan.
Tazkirah oleh: Dr. Marsufah Jalil
Surah Al-Kahfi berperanan membetulkan 3 perkara dalam kehidupan kita. Tiga perkara penting tersebut ialah tentang kepentingan memperbetulkan aqidah kita, tentang cara kita berfikir dan melihat sesuatu dan seterusnya mengingatkan kita tentang hakikat nilai terhadap sesuatu benda atau urusan.
Dari sudut bahasa, kahf كهفdan ghaar غار bermaksud gua, tetapi yang membezakan di antara keduanya ialah ghaar itu gua yg kecil, yang tiada ruangan lapang di dalamnya seperti Ghar Hira’ sedangkan kahf adalah gua yang terdapat di dalamnya ruangan yg lebih luas untuk ditempati.
Surah al-Kahfi menceritakan tentang empat jenis ujian iaitu ujian aqidah atau keimanan, ilmu, kekuasaan dan ujian harta. Lalu sudah sewajarnyalah kita memohon pertolongan dan petunjuk dari Allah swt sebagaimana doa pemuda Kahfi tersebut.
قال تعالى:
... رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا (الكهف: 10)
Maksudnya: (Ingatlah) tatkala para pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”.
Ulama mengatakan ini satu doa yang agung, kerana disebabkan doa ini, Allah telah memelihara mereka selama 300 atau 309 tahun. Allah telah mengabulkan doa mereka, namun sebelum itu, pemuda kahfi telah terlebih dahulu mengambil langkah serta tindakan yang sewajarnya dengan melarikan diri ke gua yang terpencil. Doa semata-mata tidak akan bermakna tanpa melakukan usaha.
Setelah berdoa, maka serahkanlah diri kepada Allah sepenuhnya. Jawapan dari Allah mungkin tiba dengan cara yang mungkin tidak terlintas di fikiran kita. Pernahkah terbayang di fikiran anda bahawa Allah akan menyelamatkan diri serta akidah para pemuda kahfi dengan cara menidurkan mereka selama 300 tahun?? Itulah limpahan rahmat Allah kepada mereka asbab doa yang mereka panjatkan.
Saat diuji, Nabi Ayyub memohon kepada Allah dengan menyeruNya dengan gelaran arhamur raahimin yang bermaksud “Maha Penyayang dari segala Yang penyayang”
قال تعالى:
وَأيُّوبَ إذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ ( الأنبياء :83)
Maksudnya: Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika dia berdoa kepada Tuhannya, “(Ya Tuhanku), sungguh, aku telah ditimpa penyakit, padahal Engkau Tuhan Yang Maha Penyayang dari semua yang penyayang.”(Al-Anbiya, ayat 83)
Namun seandainya kita diuji dengan sesuatu yang tidak kita ingini, ingatlah apa yang kita ulangi saban hari dalam doa qunut:
وقني برجمتك شر ما قضيت
Maksudnya: Dan peliharalah kami ya Allah dari segala keburukan apa yang Engkau takdirkan.
Sesuatu yang terlihat tidak baik itu, mungkin itulah yang terbaik buat kita. Pesanan dari guru saya, katanya: “Sekiranya kita dapat apa yang kita inginkan, maka, bersyukurlah sekali, tetapi sekiranya kita dapat sesuatu yang tidak kita inginkan, maka bersyukurlah 10 kali kerana itulah yang Allah pilihkan untuk kita, dan pastilah pilihan Allah itu yang terbaik.”
Doa yang sering dibaca oleh Rasulallah saw sebelum mengakhiri sesuatu majlis.
كان ابن عمر رضي الله عنهما إذا جلس مجلسا لم يقم حتى يدعو لجلسائه بهذه الكلمات ، وزعم أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يدعو بهن لجلسائه :
اللهم اقسم لنا من خشيتك ما تحول به بيننا وبين معاصيك، ومن طاعتك ما تبلّغنا به إلى جنَّتك، ومن اليقين ما تهوِّنُ به علينا مصائبَ الدُّنيا، اللهم متعنا بأسماعِنَا واَبْصَارِنا وقوَّتِنا ما أحييتنا، واجعله الوارث منا، واجعل ثأرنا على من ظلمنا، وانصرنا على من عادانا، ولا تجعل مصيبتنا في ديننا، ولا تجعل الدنيا أكبر همنا ولا مبلغ علمنا، ولا تسلط علينا من لا يرحمنا.
Maksudnya: Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma jika duduk di dalam satu majlis, beliau tidak akan bangun sehinggalah beliau berdoa dengan doa ini, dan beliau mendakwa bahawa Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam berdoa dengan doa ini untuk orang-orang yang duduk bersamanya di dalam sesuatu majlis : ‘Ya Allah, berikanlah kami rasa takut kepadaMu yang boleh menjadi penghalang di antara kami dan maksiat kepadaMu, dan (berikanlah kami) ketaatan kepadaMu yang boleh menyampaikan kami kepada syurgaMu, dan (berikanlah kami) keyakinan yang memudahkan kami untuk menghadapi musibah dunia, Ya Allah, berilah kami manfaat pada pendengaran kami, penglihatan kami dan kekuatan kami selagi kami hidup, dan jadikanlah ia kekal dengan kami dan terpelihara sehinggalah kami mati, dan Kau berikanlah balasan ke atas orang yang menzalimi kami, dan bantulah kami ke atas orang yang memusuhi kami, dan janganlah Kau timpakan musibah pada agama kami, dan janganlah juga Kau jadikan dunia ini sebagai sebesar-besar kerisauan kami dan matlamat ilmu kami, dan janganlah Kau biarkan orang yang tidak mengasihani kami menguasai kami’.
Tazkirah oleh: Ustaz Zulkhairi M Fadzlillah
Ustaz Zulkhairi menerangkan antara ciri orang mukmin melalui tazkirah pada kali ini.
Sepatutnya kita sebagai mukmin, apabila dibacakan al-Quran atau apabila kita membaca al-Quran, akan lahir satu perasaan luar biasa dalam diri kita, iaitu perasaan yang sukar dilafazkan dengan lisan.
Di dalam Surah al-Anfal ada menyebutkan bahawa hanya orang yang beriman dengan Allah, apabila disebutkan ayat-ayat Allah akan timbul satu ketakutan yang luar biasa.
Tanya pada diri kita adakah wujud perasaan tersebut? Adakah aku beriman?
Nabi berkata bahawasanya, jika tidak timbul perasaan takut atau gerun itu, maka ini kerana hati kita telah berkarat. Apakah cara untuk menghilangkan karat dalam hati? Perbanyakkan mengingat mati dan membaca al-Quran kerana kita ini ditinggalkan dengan dua peringatan iaitu kematian dan membaca al-Quran.
Dan dikatakan bahawa perihal orang-orang mukmin itu ialah apabila al-Quran itu dibacakan kepadanya, maka bertambah keimanan.
Surah at-taubah ayat 124:
وَاِذَا مَآ اُنْزِلَتْ سُوْرَةٌ فَمِنْهُمْ مَّنْ يَّقُوْلُ اَيُّكُمْ زَادَتْهُ هٰذِهٖٓ اِيْمَانًاۚ فَاَمَّا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا فَزَادَتْهُمْ اِيْمَانًا وَّهُمْ يَسْتَبْشِرُوْنَ
Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, “Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya, dan mereka merasa gembira.
Berdasarkan ayat tersebut, menunjukkan perihal orang munafik yang mengejek-ejek (ketua orang munafik, iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul merupakan antara pembesar di Madinah).
Pada zaman Nabi S.A.W, terdapat saki-baki pengikut Nabi Ibrahim (orang kafir Quraisy di Mekah) yang khuatir bahawa Nabi Muhammad S.A.W ini nabi atau tidak walaupun mereka percaya Nabi S.A.W ialah al-Amin. Namun, apabila baginda Nabi S.A.W membawakan agama tauhid mereka mula hendak menentang baginda. Mereka menghantar wakil berjumpa pendeta-pendeta Yahudi di Madinah untuk mendapatkan kepastian tentang kenabian baginda Muhammad S.A.W.
Pendeta Yahudi berkata, jika kau ingin pastikan bahawasanya Muhammad itu ialah nabi, maka tanyakan tiga perkara ini:-
Tentang ruh
Tentang pemuda Ashabul Kahfi
Tentang Zulkarnain
Nabi S.A.W tidak terus menjawab pertanyaan mereka kerana baginda akan menjawab soalan-soalan tersebut berdasarkan wahyu bukan mengikut hawa nafsu. Baginda menunggu wahyu sehingga 15 hari sehingga orang munafik mengejek baginda. Namun, itu ialah ujian Allah S.W.T kepada Nabi S.A.W sebagai teguran kerana baginda tidak mengatakan insya-Allah. (Surah al-Kahfi:23-24). Justeru, setiap perkara yang dilakukan jangan lupa disertakan dengan kalimah insya-Allah.
Barangsiapa yang membaca al-Kahfi, Allah akan datangkan cahaya antara dua jumaat dan siapa yang menghafal 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah ini akan diselamatkan daripada fitnah dajjal.
Sebagai mukmin, apabila dibacakan ayat-ayat Allah pasti akan ada nikmat. Berusahalah untuk menghayati ayat-ayat al-Quran dengan tadabbur.
Tazkirah oleh: Ustaz Zaid Muhammad Mohd. Rais
Kisah pemuda Ashabul Kahfi merupakan kisah yang boleh dikaitkan dengan isu pengorbanan, sesuai dengan bulan Zulhijjah ini.
Rasulullah sendiri telah menyebutkan di dalam hadis baginda, "Amalkanlah surah al-Kahfi kerana banyak fadilat yang terdapat di dalamnya." Antara fadilatnya ialah apabila kita mengamalkan 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir surah al-Kahfi, maka dapat menghindarkan diri daripada fitnah akhir zaman (dajjal). Sedangkan di dalam silibus pelajar tingkatan empat dan lima di peringkat sekolah menengah juga telah mewajibkan murid-murid untuk menghafalnya.
Fitnah akhir zaman sudah banyak berlaku pada masa kini, maka kita dan anak cucu kita perlu menghadapinya. Dikhususkan surah al-Kahfi ini adalah kerana:
Berkaitan dengan fitnah akhir zaman
Golongan muda yang terselamat daripada fitnah
Topik ini diketengahkan adalah bertepatan dengan tarikh 1 Zulhijjah ini yang dekat dengan topik pengorbanan. Korban ialah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan amalan-amalan khasnya 1-9 Zulhijjah. Pada 9 Zulhijjah, Rasulullah menggalakkan kita berpuasa dan memperbanyak bacaan subhanallah (سبحان الله) alhamdulillah (ٱلْحَمْدُ لِلّٰهِ) laailahaillallah (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله) allahuakbar (الله أكبر).
Kita dapat mengaitkan implikasi surah al-Kahfi ini dengan pengorbanan bersempena bulan Zulhijjah dalam konteks kita sebagai staf, guru, dan ibu bapa.
Kisah 7 pemuda yang mempertahankan iman dan akidah sehingga sanggup meninggalkan harta, kemewahan dan keluarga dengan berpindah ke satu gua untuk mempertahankan iman.
Dalam era pandemik ini ramai orang keluar untuk membina hidup baharu. Namun demikian, dalam kita merancang, Allah S.W.T sebaik-baik perancang. Segala rahsia yang terkandung di dalam al-Kahfi itu, sedang kita lalui dan hadapi sekarang atau pada masa hadapan. Soalnya, apakah persediaan kita?
Oleh itu, apa yang perlu kita jelaskan kepada anak-anak kita berkaitan korban itu bukan semata-mata melakukan ibadah korban, tetapi juga meliputi mempertahankan iman dan akidah.
Pengorbanan kita untuk diri sendiri adalah untuk akhirat. Pengorbanan kita untuk anak-anak adalah untuk mempertahankan iman. Pengorbanan anak-anak kita yang dilalui ini adalah untuk islam kembali bersinar.
Saidina Ali ada mengatakan bahawa, “Jika kamu ingin melihat generasimu yang akan datang, maka lihatlah generasimu pada zaman sekarang.” Maka kita bertanggungjawab mempersiap diri kita dan keturunan kita memperkuat dalaman kerna laluan hidup kita ini bukan sahaja untuk kita tetapi untuk generasi seterusnya juga.
Begitu juga dengan kisah Ashabul Kahfi, sebelum mereka meninggalkan kaumnya mereka mengingatkan, “Berimanlah kamu kepada tuhan dan jangan kamu tunduk kepada orang-orang yang mengajak kepada kekufuran.” – jangan kufur kepada Allah
Berjuang di dalam pekerjaan juga merupakan mujahadah kita. Sebagai manusia, banyak kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Oleh itu, minta maaflah jika berbuat salah dengan manusia dan mohon keampunan jika berdosa kepada Allah S.W.T. Hidup kita mudah tetapi jangan dipermudah.
Setiap khalifah itu dipertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu dan sentiasa mengajak kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran.
Fahamilah agama itu secara menyeluruh untuk kebaikan kita agar mendapat manfaat atas usaha-usaha kita, lebih-lebih lagi dalam bulan pengorbanan ini. Bukan sahaja dalam konteks melakukan ibadah korban, tetapi pengorbanan kita untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, pengorbanan masa untuk mendidik anak-anak, pengorbanan mendidik anak didik kita untuk tujuan kembali beriman dan tauhid kepada Allah S.W.T.
Tazkirah oleh: Ustaz Ahmad Amirul Ashraf Mohd Rusdan
Tazkirah pada kali ini menyentuh tentang bulan Ramadan yang bertajuk “Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan”.
Allah S.W.T telah menjadikan Ramadan ini sebagai satu bulan yang Allah buka seluas-luasnya pintu syurga dan Allah merantai syaitan. Ini yang menjadikan bulan Ramadan itu ada sesuatu yang istimewa.
Terdapat satu naratif sejak pensyariatan ibadah puasa bahawa pada bulan Ramadan ini umat Islam tidak dibenarkan makan dan minum pada waktu siang. Allah menyediakan naratif sebegini bagi memudahkan kita semua berpuasa.
Bulan Ramadan juga merupakan bulan diturunkan al-Quran.
Walaupun Allah sudah sediakan kebaikan dalam bulan Ramadan tetapi masib ada segelintir manusia yang tidak bersegera (yusaari’un) dalam mengerjakan kebaikan.
Contoh daripada Imam Zuhri (ulama’ hadis yang hebat), beliau menghentikan pengajian hadisnya pada bulan Ramadan semata-mata untuk memberi ruang kepada membaca al-Quran.
Kita sibuk hendak menjadi orang bertakwa tetapi kita seringkali lupa bahawa antara fungsi Ramadan ialah membesarkan Allah S.W.T dan menjadi orang yang bersyukur.
Kita telah menunjukkan bahawa kita tidak bersyukur sebenarnya kerana terlampau mencari alasan apabila kita tidak mampu melakukan perkara-perkara kebaikan.
Hakikatnya, dalam membuat kebaikan (seperti membaca al-Quran) ialah kita perlu fokus kepada perkara yang boleh dikawal. Sebagai contoh, dalam situasi kita sebagai seorang pekerja kita tidak boleh mengawal waktu bekerja yang telah ditetapkan tetapi perkara yang kita mampu kawal ialah waktu rehat kita yang boleh diisi dengan kebaikan.
Konsep bersyukur bukan sahaja dengan lafaz alhamdulillah, tetapi kita bersyukur dengan waktu lapang dengan membuat perkara-perkara yang baik semasa Ramadan.
Manakala, bagi konsep takwa pula ialah apabila kita mengawal diri kita daripada melakukan sesuatu perkara yang dilarang.
Perkara ini boleh dilihat melalui ibadah puasa melalui situasi apabila tiada makanan dan minuman dan kita tidak makan, itu bukan satu latihan. Tetapi dalam bulan Ramadan, kita ada makanan dan minuman tetapi kita perlu mengawal diri kita daripada makan atau minum bagi memenuhi keperluan ibadah tersebut.
Tazkirah oleh: Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim
Tazkirah pendek kali ini menyentuh tentang adab menuntut ilmu daripada kisah kembara Nabi Musa AS dan Khadir. Kandungan kisah tersebut boleh dilihat pada ayat 60-82. Antara pengajaran berkaitan Adab yang boleh diambil manfaat:
Ilmu perlu dicari dan bukan mendatangi individu. Kesilapan ramai penuntut ilmu adalah memanggil guru ke rumah mengajar mereka tanpa sebarang keuzuran. Lihat bagaimana Musa AS yang punyai darjat kerohanian lebih tinggi dari Khadir pun sanggup keluar mencarinya walaupun terpaksa bersusah payah menyiapkan bekal dan berjalan jauh (ayat 60-62).
Penuntut ilmu perlu mempunyai persiapan mental dan fizikal dalam menuntut ilmu. Walaupun Musa AS dikurniai mukjizat, Baginda tetap membawa bekal makanan dan menempuh perjalanan mencari guru (ayat 60-62).
Pelajar perlu melalui pengorbanan dalam menuntut ilmu. Musa AS sanggup bersusah payah keluar mencari Khadir demi menuntut ilmu (ayat 60).
Pelajar perlu ada sifat rendah diri dalam menuntut ilmu walaupun mempunyai kedudukan yang tinggi. Nabi Musa AS yang diberikan umat, dikurniai Kitab tawrat tetap merendah diri keluar mencari Khadir.
Meminta izin untuk belajar dari guru yang ditemui dan bukannya memaksa guru menerimanya sebagai murid (ayat 65-66).
Sedia patuh dengan syarat yang diberikan guru. Dalam kisah ini, Nabi Musa menerima syarat yang diberikan Khadir agar jangan bertanya sebelum sampai masa untuk Beliau menjelaskan Hikmah tindakannya (ayat 70). Contohnya pentazkirah sendiri meletakkan syarat ketepatan masa bagi pelajar yang hadir kelasnya. Pintu akan ditutup selepas 15 minit kelas bermula, pelajar yang lewat tak dibenarkan masuk.
Pelajar perlu sedia mengundur diri jika tak mampu memenuhi syarat guru dan tidak sepatutnya menyalahkan guru. Nabi Musa AS sendiri sedia mengundur diri setelah 3 kali mempersoalkan Tindakan Khadir (ayat 76).
Guru perlu menjelaskan justifikasi tindakannya yang menimbulkan tanda tanya pada murid. Khadir menujukkan contoh guru yang baik apabila menjelaskan sebab semua tindakannya kepada Nabi Musa AS (ayat 78-82).
Tazkirah oleh: Dr. Mohd Puzhi
Terdapat lima perkataan dalam Bahasa Arab yang membawa maksud taman atau kebun iaitu jannah, hadiqah, bustaan, raudhah dan firdaus yang turut merupakan salah satu nama syurga Allah swt.
Hadith Riwayat An Nasaie No. 5010 menceritakan tentang perdebatan ahli syurga dengan Allah swt. Di mana sahabat-sahabat yang bersama-sama kami di dunia dulu ya Allah?, tanya mereka, lalu Allah mengizinkan ahli syurga mencari sahabat-sahabatnya yang berada di neraka untuk dibawa ke dalam syurga. Seterusnya Allah menyuruh orang-orang yang di hatinya terdapat iman seberat satu dinar untuk dimasukkan ke dalam syurga, lalu dicari pula orang yang di hatinya ada iman seberat setengah dinar untuk dimasukkan ke dalam syurga, dan yang terakhirnya dicari pula orang yang dihatinya ada iman sebesar zarah untuk turut dimasukkan ke dalam syurga.
Akhirnya masih terdapat orang Islam yang tidak dapat masuk ke dalam syurga. Ini adalah disebabkan perbuatan mereka yang mensyirikkan Allah swt. Syirik itu perbuatan yang tidak diampunkan, lalu kekallah mereka di dalam neraka. Kita wajib menutup segala perbuatan yang membawa kepada syirik seperti amalan mandi safar.
Kisah pemuda kahfi yang mencari perlindungan di gua, untuk memelihara diri dan aqidah mereka dari digugat oleh Raja Diqyanus. Mereka memohon rahmah dari Allah swt. Dan perkataan hayyi’ di dalam doa yang tersebut di dalam ayat 10 surah Al-Kahfi itu bermaksud permudahkan bagi kita dalam urusan kita rasyada iaitu yang betul dalam setiap pilihan yang kita lakukan.
Dalam hadith Riwayat Muslim no 1905 disebutkan tentang tiga golongan yang menyangka mereka akan masuk syurga:
Golongan pertama ialah orang yang mati syahid di jalan Allah. Ketika Allah bertanya kepadanya tentang apa yang ia lakukan terhadap nikmat-nikmat pemberian Allah di dunia, dia menjawab, ‘Aku berperang semata-mata kerana Engkau sehingga aku mati syahid.’ Allah berkata: “Engkau dusta! Engkau berperang supaya dikatakan seorang yang gagah berani, lalu Allah memerintahkan (Malaikat) agar menyeret orang itu, lalu dilemparkan ke dalam neraka.”
Golongan kedua ialah penuntut ilmu. Seorang yang menuntut ilmu tetapi dengan niat agar dikatakan seorang yang ‘Alim.” Begitu juga dengan qari yang membaca Al-Quran supaya dikatakan seorang Qari’ (pembaca Al-Qur’an yang baik). Allah memerintahkan (Malaikat) agar menyeret atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka.”
Golongan ketiga iaitu yang bersedekah tetapi untuk menunjuk-nunjuk. Golongan ini diberikan kelapangan rezeki dan pelbagai macam harta benda. Apabila Allah bertanya, “Apa yang engkau telah lakukan dengan nikmat-nikmat itu?” Ia menjawab, ‘Aku tidak pernah meninggalkan sedekah dan infaq pada jalan yang Engkau cintai, melainkan pasti aku melakukannya semata-mata kerana Engkau. Allah berkata: “Engkau dusta! Engkau berbuat yang demikian itu supaya dikatakan seorang dermawan (murah hati) dan memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu)’. Kemudian diperintahkan (Malaikat) agar menyeretnya atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka”.
Penyebab ketiga-tiga golongan muslim itu masuk neraka ternyata kerana amal yang dilandasi riya’. Kelihatannya biasa, tetapi riya’ menyebabkan orang-orang yang berjuang di jalan Allah, berilmu dan punya harta dimasukkan ke dalam neraka. Oleh itu hendaklah kita sentiasa memohon perlindungan Allah swt dari bisikan syaitan dan sifat riya’.
Tazkirah diakhiri dengan satu doa yang diajarkan oleh baginda Rasulallah saw :
اللَّهمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي وأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan kebenaran dan lindungilah aku dari kejahatan nafsuku.”