ucapan ketua unit PUSAT SUMBER puteri

EN. ABDULLAH BIN YAHYA

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH HIWABARAKATUH DAN SELAMAT SEJAHTERA

Kewujudan perpustakaan di institusi pendidikan abad ke-21 ini seiring dengan perkembangan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi serta cara masyarakat berfikir. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai gedung ilmu atau pusat pengumpulan dan penyebaran pelbagai sumber ilmu pengetahuan serta maklumat malah mampu menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada para pengguna khususnya pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta rekreasi. Antara fungsi-fungsi lain pusat sumber adalah untuk mengenal pasti dan menyediakan koleksi bahan untuk keperluan kurikulum dan ko-kurikulum dengan suasana yang mudah, cepat untuk mendapatkan maklumat disamping suasana yang tenang dan selesa.

Di samping itu, pusat sumber juga berperanan untuk membina dan mengukuhkan kemahiran mencari maklumat, melahirkan warga yang kreatif dan inovatif seterusnya dapat melahirkan generasi yang mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan boleh mencetuskan idea-idea bernas bagi menyokong kemajuan negara.

Ilmu pengetahuan boleh mengubah landskap gaya berfikir dan bertindak dikalangan pelajar yang bakal memacu Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi setanding dengan negara-negara maju. Peranan perpustakaan bukan sekadar menyediakan buku dan bahan bacaan tetapi merupakan gerbang informasi yang tiada hadnya sejajar dengan usaha melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berfikir secara kritis dan inovatif serta berkemahiran untuk menyelesaikan masalah.  

Perpustakaan menyokong proses pembelajaran sepanjang hayat dengan menyediakan sumber bacaan dan rujukan yang dapat dicapai melalui atas talian bagi membantu menyerlahkan fungsi institusi pendidikan dalam pelbagai aspek seperti penerbitan, hasil penyelidikan, paten dan seterusnya meningkatkan kualiti institusi berkenaan. Matlamat perpustakaan untuk menjadikan membaca sebagai budaya kehidupan harian dan sepanjang hayat dimana ilmu boleh didapati pada bila-bila masa dan dimana-mana tanpa sempadan.

Sekian, Terima kasih.