e-PERPADUAN

LATAR BELAKANG

2.1 Perpaduan telah menjadi agenda negara semenjak sebelum Kemerdekaan dan telah digariskan dengan jelas dalam Laporan Razak 1956, satu dasar pelajaran yang boleh diterima oleh semua kaum dan perpaduan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi menjamin kesejahteraan pelbagai kaum di Malaysia. Seterusnya perpaduan diberi penekanan supaya rakyat mempunyai satu identiti Nasional bagi membina Negara Bangsa


2.2 Konsep Negara Bangsa yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 telah menyatakan pembinaan negara bangsa amat penting bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan membina Negara Bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme. Ia menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia, tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara


2.3 Pelan Hala Tuju Perpaduan dalam Pendidikan 2019-2025 dibangunkan oleh KPM sebagai satu pelan strategik yang bersepadu bagi memastikan aspirasi dan matlamat perpaduan dalam pendidikan dapat difahami dan dihayati oleh semua murid dan warga pendidik khususnya dan warga Malaysia amnya. Pelan ini dibangunkan susulan daripada isu-isu yang dikenalpasti daripada Laporan Kajian Pengukuran Tahap Perpaduan dan Pemeriksaan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) serta dapatan makmal perpaduan yang dijalankan oleh Unit Pelaksanaan & Prestasi Pendidikan (PADU) dan Bahagian Kokurikulum dan Kesenian (BKK).


2.4 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem Pendidikan Malaysia secara menyeluruh iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Melalui amalan dan tingkah laku di sekolah, murid belajar memahami, menerima dan menghayati perbezaan dalam kalangan murid daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik.


2.5 Laporan Kajian Pengukuran Tahap Perpaduan di sekolah tahun 2016 yang disediakan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati indeks perpaduan turun sebanyak berbanding tahun 2014. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa KPM, jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) serta sekolah perlu meneliti semula pelaksanaan program dan aktiviti yang memberi peluang untuk guru dan murid pelbagai kaum bertemu dan mengenali antara satu sama lain bagi meningkatkan keupayaan menerima perbezaan kaum, budaya, bahasa dan agama.


2.6 Dapatan kajian juga menunjukkan sekolah homogenous perlu diberi pendedahan tentang kepelbagaian kaum, budaya, bahasa dan agama yang wujud dalam negara supaya meningkatkan kefahaman mereka terhadap kaum lain apabila mereka meninggalkan alam persekolahan. Pendedahan dan kefahaman terhadap kepelbagaian dapat meningkatkan keupayaan mereka untuk lebih bersikap terbuka, bertoleransi, bekerjasama dan percaya kepada kaum lain. Sehubungan itu, garis panduan amalan perpaduan di sekolah yang disediakan ini diharap dapat memperjelaskan hala tuju serta membimbing pihak sekolah merealisasikan matlamat ini.


2.7 JNJK telah melaksanakan Pemeriksaan Khas Perpaduan Sekolah Menengah Tahun 2014 dan Pemeriksaan Khas Perpaduan dan Patriotisme Tahun 2016. Hasil laporan mendapati, terdapat PGB yang masih tidak mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil.10/2005: Rancangan Integrasi Murid-Murid untuk Perpaduan (RIMUP). Hal ini disebabkan kurangnya kepekaan terhadap kepentingan menerapkan nilai perpaduan dalam kalangan warga sekolah.


ASAS PERTIMBANGAN

PGB adalah pihak yang bertanggung jawab untuk memastikan perpaduan wujud dalam kalangan warga sekolah. Garis panduan ini adalah bertujuan untuk memberikan panduan kepada PGB dalam pelaksanaan amalan harian perpaduan di sekolah agar warga sekolah dapat menerima, memahami, menghormati dan menghayati kepelbagaian dalam kalangan warga sekolah daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, kaum, etnik, jantina, budaya, bahasa dan agama

3.2 Sehingga kini, tiada garis panduan khusus yang dikeluarkan oleh pihak KPM sebagai panduan kepada pengetua dan guru besar untuk pelaksanaan amalan perpaduan di sekolah kecuali Buku Panduan Rancangan Intergrasi Murid-Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang melibatkan sebilangan kecilmurid dari kelompok-kelompok sekolah yang berbeza.



DEFINISI

Bagi tujuan garis panduan ini :

Amalan perpaduan ertinya sesuatu yang dilakukan sebagai suatu kebiasaan yang bersifat berterusan supaya semua warga sekolah dapat menerima, mengurus dan menghormati kepelbagaian. Elemen perpaduan ertinya perkara penting yang perlu diberi penekanan oleh warga sekolah iaitu menerima, menghormati memahami dan menghayati kepelbagaian berdasarkan nilai-nilai perpaduan.

Kepelbagaian ertinya individu yang mempunyai pelbagai latar belakang sosioekonomi, kaum, etnik, jantina, budaya, bahasa dan agama yang berada di sekolah

Memahami kepelbagaian ertinya warga sekolah bersikap terbuka, bertoleransi, percaya dan bekerjasama walaupun berbeza latar belakang sosioekonomi, kaum, etnik, jantina, budaya, bahasa dan agama.

Menerima kepelbagaian ertinya warga sekolah mengamalkan sikap atau tingkah laku yang berhemah tinggi, menghargai dan prihatin walaupun berbeza latar belakang sosioekonomi, kaum, etnik, jantina, budaya, bahasa dan agama.

Menghayati kepelbagaian ertinya warga sekolah mengamalkan sikap atau tingkah laku yang amanah, adil dan rasional walaupun berbeza latar belakang sosioekonomi, kaum, etnik, jantina, budaya, bahasa dan agama.

Menghormati perbezaan ertinya warga sekolah memberi hormat dan menghargai semua individu walaupun berbeza latar belakang sosioekonomi, kaum, etnik, jantina, budaya, bahasa dan agama.

Nilai perpaduan ertinya nilai-nilai yang perlu diterapkan seperti bersikap terbuka, toleransi, bekerjasama, percaya, berhemah tinggi, bersyukur, prihatin, adil, amanah dan rasional.

OBJEKTIF

Garis panduan ini bertujuan :

Meningkatkan perpaduan di setiap sekolah melalui pelaksanaan program dan aktiviti yang memberi peluang untuk guru dan murid pelbagai kaum bertemu dan mengenali antara satu sama lain bagi meningkatkan keupayaan menerima perbezaan kaum, budaya, bahasa dan amalan agama.

Meningkatkan penerapan elemen sekolah perpaduan dalam kehidupan seharian warga iaitu menerima, menghormati, memahami dan menghayati kepelbagaian.