Sejarah / Latar Belakang :
Penubuhan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bertujuan membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri melaksanakan semua dasar KPM di semua peringkat sekolah. Selain itu, dengan adanya PPD juga dapat memastikan keperluan modal insan dapat dipenuhi sama ada dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang bagi memastikan sistem pendidikan dapat memenuhi matlamat negara yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.
Penubuhan PPD oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 01 Jun 1982 menandakan satu babak baharu dalam bidang pentadbiran dan penyeliaan sekolah di mana konsep desentralisasi diwujudkan.
Rasional disebalik penubuhan PPD adalah untuk memberi kemudahan kepada sekolah demi meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran. PPD merupakan sebuah ‘Mini Jabatan Pendidikan Negeri’ yang berfungsi dalam bidang pengurusan pentadbiran dan ikhtisas seperti berikut :
i. Pendidikan asas – melengkapkan murid ke sekolah menengah.
ii. Pendidikan menengah – memahami tanggungjawab dan asas ke universiti.
iii. Kurikulum dan kokurikulum – keseimbangan kognitif, afektif dan psikomotor.
iv. Mengurus dan menyelaras :
a. Perjawatan
b. Perkhidmatan
c. Kewangan
d. Pegawai dan kakitangan
v. Kebajikan murid.
vi. Jalinan hubungan dengan jabatan-jabatan lain / badan-badan sukarela dan orang awam.
Daerah Dungun mempunyai keluasan 273,503.1 hektar (675,840 ekar atau 21.1% daripada keluasan negeri Terengganu. Bersempadankan Hulu Terengganu dan Marang di utara, Kemaman di selatan, Pahang di barat dan Laut Cina Selatan terbentang luas di sebelah timur. Daerah Dungun merupakan daerah kedua terbesar selepas Hulu Terengganu. Jumlah penduduk daerah Dungun ialah seramai 182,500 orang (bancian 2017).
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun mula beroperasi pada 01 Jun 1982. PPD ini dikenali sebagai Pejabat Pendidikan Daerah Dungun. Terdapat 7 perjawatan yang diwujudkan pada peringkat awal penubuhannya.
Perjawatan-perjawatan tersebut ialah :
i. Pegawai Pendidikan Daerah.
ii. Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Menengah).
iii. Penolong Pegawai Daerah (Rendah).
iv. Penyelia Sekolah (Menengah).
v. Penyelia Sekolah Rendah I.
vi. Penyelia Sekolah Rendah II.
vii. Penyelia Sekolah Agama.
Pejabat Pendidikan Daerah Dungun mula beroperasi pada 15 Februari 1987 dengan menggabungkan dua daerah iaitu Daerah Dungun dan Marang. PPD ini diberi nama Pejabat Pendidikan Daerah Dungun / Marang sehingga 28 Februari 2006. Pada 01 Mac 2006, Pejabat Pendidikan Daerah Marang diwartakan melalui surat KP(PP)005/1/20 Jld.4(58) bertarikh 29 Mac 2006 dan PPD Dungun mula dikenali sebagai Pejabat Pendidikan Daerah Dungun hingga kini.