WADAH SABAH
WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH) CAWANGAN NEGERI SABAH
WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH) CAWANGAN NEGERI SABAH
Cuaca panas dan risiko kebakaran
18 Mac 2026 - Suhu di Kota Kinabalu dilaporkan mencecah sekitar 35°C pada waktu tengah hari—satu tahap yang agak tinggi dan boleh dianggap sebagai cuaca panas terik. Keadaan ini berkemungkinan dipengaruhi oleh cuaca kering yang berpanjangan serta kurangnya taburan hujan.
Apabila suhu meningkat dan kelembapan udara menurun, risiko berlakunya kebakaran hutan turut meningkat, khususnya di kawasan pinggir bandar yang mempunyai litupan tumbuhan kering. Dalam situasi ini, walaupun percikan api kecil—seperti daripada pembakaran terbuka, puntung rokok, atau aktiviti manusia—boleh mencetuskan kebakaran yang cepat merebak.
Kebakaran hutan bukan sahaja memusnahkan flora dan fauna, malah memberi kesan kepada kesihatan manusia melalui pencemaran udara (jerebu), serta boleh mengancam keselamatan penduduk berhampiran. Oleh itu, peringatan supaya masyarakat lebih berhati-hati adalah sangat penting.
Gambar hiasan
Kesedaran pengurusan sisa biowaste
Januari 2026 - Isu pengurusan biowaste semakin mendesak. Laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO, 2019) menganggarkan hampir satu pertiga makanan dunia berakhir sebagai sisa, yang sebahagian besarnya terdiri daripada bahan tumbuhan. Di Malaysia, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp, 2021) melaporkan bahawa 44.5% daripadajumlah sisa pepejal adalah sisa organik, khususnya sisa makanan. Realiti ini menimbulkan kebimbangan kerana biowaste yang tidak diurus dengan baik menyebabkan kerosakan tanah, pencemaran air, dan pelepasan gas rumah kaca yang mempercepatkan perubahan iklim.
Dalam tradisi Islam, pengurusan sumber alam tidak terpisah daripada nilai spiritual dan moral. Prinsip wasatiyyah, sebagaimana ditegaskan dalam al-Qur’an (al-Baqarah: 143), menuntut keseimbangan, kesederhanaan, dan keadilan dalam segenap aspek kehidupan, termasuk hubungan manusia dengan alam. Firman Allah SWT dalam surah al-A‘raf (31) menegaskan larangan terhadap pembaziran (israf) sebagai satu prinsip asas dalam pengurusan sumber makanan. Justeru, biowaste bukan sekadar isu teknikal, tetapi juga isu etika dan peradaban yang menuntut kerangka normatif berteraskan wasatiyyah [Artikel penuh terdapat di dalam Buletin Wadah Sabah, bilangan 153, edisi Oktober 2025]
Gambar hiasan
Penyertaan Komuniti dalam Pengurusan Krisis.
September 2025 - Komuniti tempatan merupakan pihak terawal yang terkesan apabila bencana melanda. Oleh itu, pendidikan berbasis komuniti amat penting untuk memperkukuh daya tahan kolektif. Usaha seperti menubuhkan pasukan sukarelawan bencana kampung, melaksanakan gotong-royong membersihkan sungai dan longkang, serta membangunkan sistem amaran awal di peringkat kampung dapat memberikan kesan segera. Peranan kepimpinan tempatan, termasuk ketua kampung, imam, dan tokoh masyarakat, sangat penting dalam menggerakkan inisiatif ini agar ia benar-benar berakar dalam budaya setempat.
Gambar hiasan
Isu dan Cabaran Kemampanan Sumber Laut kita.
JUN 2024: Sabah meliputi kawasan seluas 73,500 kilometer persegi dengan pantai sepanjang 14,400 kilometer dengan Laut China Selatan terletak di pantai barat, Laut Sulu di sebelah timur laut dan Laut Sulawesi di sebelah selatan. Pertalian tiga lautan ini membentuk jalinan perairan hotspot megabiodiversiti flora dan fauna (sumber laut) bernilai tinggi. Sumber laut disini merujuk kepada sumber makanan yang terdiri daripada pelbagai jenis ikan, udang, ketam, kerang, siput, dan rumpai laut. Ada juga sumber laut yang bukan makanan tetapi mempunyai nilai komersial yang lain seperti pelbagai jenis batuan dan pelbagai spesies haiwan eksotik. Sumber laut ini secara amnya adalah sebuah khazanah, rahmat dan nikmat untuk dikongsikan bersama dan diwariskan.
Dari perspektif ekonomi, dilaporkan bahawa permintaan ikan dan hasil laut terus meningkat kerana berlakunya pertambahan bilangan penduduk dan pertambahan kadar penggunaan ikan dan hasil laut. Ini adalah cabaran besar yang perlu kita fikirkan. Kerana ia juga berkaitan dengan jaminan bekalan makanan. Dalam masa yang sama, turut dilaporkan bahawa perubahan iklim, aktiviti penangkapan ikan dan pemunggahan hasil laut yang tidak mampan boleh memberi implikasi kepada pengurangan sumber ikan dan hasil laut. Berdasarkan isu berkenaan ia membawa persoalan-persoalan berikut, iaitu Sejauh mana stok bekalan ikan dan sumber laut negara masih stabil dan sampai bila ia boleh kekal? Bagaimana aktiviti nelayan dan pemunggahan hasil laut dijalankan. Apakah mengikut kaedah-kaedah yang mampan dan dapat memastikan bekalan yang berkekalan? Berapakah jumlah sebenar keperluan sumber laut demi menjamin bekalan makanan yang stabil di negara ini?
Dalam keadaan ini kita perlu memikirkan tindakan yang betul dari segi kaedah pemunggahan hasil laut dan memastikan tidak berlaku kerosakan kepada persekitaran laut. Langkah-langkah perlindungan marin menuntut kerjasama banyak pihak termasuk komuniti pesisir laut. Ada keperluan untuk menelusuri khazanah ini kerana ia berkaitan dengan kesejahteraan dan kesihatan rakyat secara keseluruhan [Artikel Penuh sila dapatkan di dalam BWS Bil 131. Januari 2023]
Potensi Meningkatkan Tanaman Makanan Lokal
September 2023 - Pokok padi dikategori sebagai salah satu flora bernilai tinggi dalam sektor pertanian khususnya di rantau Asia. Ekosistem penanaman padi di Sabah berjaya menghasilkan 2,400 tan matrik beras sebulan (Unnip, 2021).Namun bekalan semasa yang diperlukan ialah 12,000 tan matrik beras dalam sebulan (Wahid,2021). Iaitu defisit sebanyak 9,600 tan matrik beras sebulan. Kedudukan ini membimbangkan,kerana ada kaitan dengan isu jaminan bekalan makanan, ada kaitan dengan isu ekonomi dan pengurusan sumber, ada kaitan dengan isu maruah, geopolitik dan keselamatan antarabangsa. Situasi ini perlu diperbaiki segera untuk mengelak krisis dan keadaan diluar jangka. Walaupun kita mempunyai stok simpanan bekalan beras yang baik melalui pembelian dari luar negara namun pengeluaran tempatan harus dipertingkat. Ini boleh dilaksanakan kerana Sabah mempunyai deposit tanah pertanian 2.1 juta hektar (iaitu 29% daripada keluasan tanah negeri Sabah) yang boleh dibangunkan. Namun pihak kerajaan harus menyediakan polisi yang baik, sistem sokongan yang berkesan, infrastuktur pengeluaran beras yang efektif, pengurusan sumber tenaga kerja, kaedah pemasaran beras yang baik untuk menjamin usaha berkenaan berkesan.
Selain beras, harus diperincikan juga ekosistem bekalan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin, bekalan daging lembu, kambing, ayam, telor ayam dan yang lain-lain. Ini semua merupakan perkara yang perlu diberi perhatian. Walaupun bekalan sedia ada mungkin mencukupi, namun bagaimana dengan isu harga dan kualiti produk, serta status halal-baik? Kerana ia berkait dengan isu kemampuan berbelanja isi rumah, isu kualiti kesihatan dan kesejahteraan warganegara serta perkembangan mental-fizikal kanak-kanak.
Akhirnya, ekosistem adalah kehidupan manusia. Ia harus diurus secara lestari, ambil manfaat, kembangkan potensi dan atur keperluan ekosistem. Semoga makalah kecil ini meningkatkan penghargaan kita kepada nikmat Allah SWT, menambahkan rasa syukur dan mengerakkan semangat jiwa infaq dan taqwa. Amin. Sekian. [Artikel Penuh sila dapatkan di dalam BWS Feb 2022]
Mei 2023 I Bulan Zulhijjah adalah bulan ibadah Haji. Bulan Zulhijjah juga adalah bulan ibadah korban. Iaitu umat Islam dituntut melaksanakan ibadah korban ketika hari raya aidil-adha (10 Zulhijjah) dan sepanjang hari-hari tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah). Rasulullah SAW memberi penekanan peri-penting ibadah korban dalam banyak hadith baginda SAW diantaranya seperti "Hai manusia, sesungguhnya atas tiap-tiap ahli rumah pada tiap-tiap tahun disunatkan berkorban,"(HR Abu Dawud). Dalil al-Quran berkaitan perlaksanaan ibadah korban adalah seperti di dalam surah al-Kauthār (108) 2; surah Yassin (36) 72; surah al-Maidah (5) 4; surah al-An’am (6)142. Hikmah perlaksanaan ibadah korban ini amat luas untuk diteliti dari pelbagai perspektif. Dari sudut ilmu Maqasid Syariah, ibadah korban menyumbang peranan besar dalam menjaga kepentingan agama, nyawa, akal, maruah dan harta.
Salah satu perkara asasi yang perlu diambil kira untuk kesempurnaan ibadah korban adalah pemerolehan haiwan korban yang sihat, berkualiti dan mematuhi keperluan syarak. Iaitu harus ada suatu jaminan aras kualiti piawai haiwan korban. Ini berkaitan dengan standard kualiti sistem penternakan, kualiti baka dan kualiti sistem sokongan penternakan yang baik. Oleh itu, keperluan menyediakan haiwan korban yang “premium” dalam “volume” yang signifikan sekaligus menuntut perubahan landskap industri ternakan nasional kepada suatu standard yang lebih tinggi.
Industri ternakan telah diamalkan apabila lembu, kerbau, kambing dan haiwan lain berjaya dijinakkan (pendomestifikasian). Industri ternakan bermula untuk keperluan daging sahaja, kemudian berkembang untuk keperluan kepada kulit dan bulu, tenusu dan sebagai jentera pengangkutan dan jentera pertanian. Haiwan ternakan ialah haiwan yang manusia pelihara untuk mendapatkan faedah daripadanya seperti haiwan ruminan (lembu, kerbau, dan kambing), aves (ayam, itik pedaging, dan burung walit) dan pelbagai jenis ikan. Dalam konteks ibadah korban, ternakan haiwan ruminan ini adalah yang amat diperlukan.
Dalam konteks yang lebih luas, kelestarian Industri ternakan adalah tunjang kepada kelestarian keselamatan bekalan makanan dan jaminan bekalan makanan. Dalam hubungan ini ibadah korban mendokong peningkatan stok sumber makanan boleh guna semasa, keselamatan bekalan makanan dan jaminan bekalan makanan. Justeru itu bulan Zulhijjah juga harus ditanggapi sebagai bulan mengurus dan memproses sumber stok daging nasional yang dinamik dan efesien untuk menyantuni masyarakat miskin yang memerlukan untuk satu tempoh yang munasabah.[Artikel Penuh dalam BWS Mei 2023
Sabah menduduki tempat teratas sebagai negeri paling miskin di negara ini dengan 19.57 peratus, berbanding 5.6 peratus Kadar kemiskinan nasional, menurut Menteri di Jabatan PerdanaMenteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di dalam Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK)2019. (Izwan Abdullah, 2019). Laporan berkenaan turut menyebut, lapan daerah dikategorikan sebagai termiskin di Malaysia iaitu Kudat, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Telupid,Tongod dan Nabawan. Sehingga hari ini, sebahagian besar daerah berkenaan masih dalam kategori yang sama. (Utusan Borneo online 28-06-2021). WADAH Sabah menyeru semua pihak agar memandang serius tentang garis kemiskinan ini. Harus ada usaha yang konkrit untuk menyelesaikan keadaan ini. Iaitu bermula dengan mencari satu-persatu punca kemiskinan dan seterusnya merancang langkah-langkah mengatasi kemiskinan berkenaan. WADAH Sabah yakin sekiranya langkah-langkah yang baik dan berkesan di ambil secara serius ia akan mengeluarkan Sabah dari situasi sekarang ini.