Penyakit kusta atau dikenali juga sebagai Penyakit Hansen telah direkodkan seawal 1550 sebelum masihi lagi. Penyakit ini adalah penyakit berjangkit kronik yang berpunca daripada jangkitan bakteria yang dinamakan Mycobacterium Leprae.
Penyakit kusta boleh menjangkiti 3 organ utama dalam badan manusia:
Kulit
Sistem Saraf
Selaput lendir
Penyakit kusta adalah penyakit bawaan udara “airborne”
Apabila pesakit penyakit kusta bersin atau batuk, titisan yang mengandungi bakteria akan dilepaskan ke dalam udara. Penyakit ini boleh merebak apabila seseorang menghirupi titisan udara tersebut.
Namun, lebih daripada 95 % orang secara semula jadi imun (kebal) kepada bakteria kusta, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan endemik penyakit ini.
Penyakit kusta tidak merebak melalui sentuhan pada luka-luka yang terdapat pada anggota atau badan pesakit kusta
Penyakit kusta mempunyai tempoh inkubasi yang lama, secara purata adalah 5 tahun. Oleh itu, individu yang dijangkiti bakteria kusta mungkin menunjukkan tanda dan gejala seawal 1 tahun atau mungkin mengambil masa sehingga 20 tahun! Oleh itu, penyakit kusta bukan penyakit keturunan seperti yang disangka oleh ramai orang.
Tanda-tanda
lesi yang tidak gatal di kulit yang berwarna putih seakan-akan panau atau berwarna merah tembaga yang bersisik.
Ada juga yang menunjukkan penebalan kulit terutamanya di bahagian bulu kening yang menipis / gugur, tulang pipi dan telinga.
Tanpa rawatan segera kelemahan otot dan kecacatan kekal seperti di jari (claw hand), kaki (foot drop) dan kebutaan boleh berlaku. Malah pesakit kusta juga boleh kehilangan jari dan tangan sekiranya tidak dirawat lebih awal
Penyakit kusta di diagnosa melalui pemeriksaan kulit serta sapuan calitan torehan kulit (Split Skin Smear).
Rawatan Kusta terdiri daripada beberapa jenis antibiotik yang perlu diambil SETIAP HARI selama sekurang-kurangnya 6 bulan sehingga 24 bulan.
Adalah penting untuk patuh terhadap rawatan ini kerana keciciran rawatan bukan sahaja boleh menyebabkan pesakit kusta tidak sembuh dan menyebabkan kecacatan malah boleh menyebabkan kerentanan terhadap ubat kusta sedia ada.
Kusta boleh sembuh, elakkan kecacatan, patuh pada rawatan!