Auditorium Hospital Universiti Malaysia Sabah atau juga dikenali dengan nama Auditorium Professor Osman Ali merupakan sebuah fasiliti serbaguna yang direka untuk menyokong pelaksanaan pelbagai program rasmi seperti seminar, bengkel, kursus, taklimat, persidangan dan majlis-majlis institusi. Auditorium ini mempunyai kapasiti sehingga 230 orang pada satu-satu masa, menjadikannya ruang yang kondusif dan selesa untuk penganjuran program berskala sederhana hingga besar.
Bagi memastikan kelancaran setiap acara, auditorium ini dilengkapi dengan sistem audio dan visual yang moden, termasuk kemudahan pembesar suara, mikrofon, sistem paparan/projektor serta sokongan teknikal yang bersesuaian untuk keperluan pembentangan dan komunikasi.
Auditorium HUMS dibuka untuk tempahan bermula 15 Jun 2026. Pengurusan dan penyelarasan tempahan adalah di bawah seliaan Unit Latihan HUMS, dengan kerjasama Bahagian Kejuruteraan, ICT dan BHO (Konsesi), bagi memastikan semua aspek operasi, penyelenggaraan dan sokongan teknikal berada pada tahap terbaik untuk setiap penggunaan.
Auditorium ini terletak di Hospital Universiti Malaysia Sabah, dalam kawasan kampus Universiti Malaysia Sabah yang mudah diakses oleh warga universiti dan pengunjung luar. Lokasi boleh dirujuk melalui Google Maps Auditorium HUMS.
Permohonan Tempahan. Pemohon mengemukakan permohonan tempahan auditorium kepada Timbalan Pengarah (Pengurusan dan Operasi), HUMS melalui Sistem Automasi Pejabat (SiSEF).
Maklumat Permohonan. Surat permohonan hendaklah mengandungi maklumat lengkap seperti berikut:
Nama program / aktiviti
Tarikh program
Masa penggunaan auditorium
Bilangan peserta
Keperluan teknikal (audio visual, mikrofon dan lain-lain)
Nama pegawai / urus setia untuk dihubungi.
Semakan Tempahan. Setelah permohonan diterima, Unit Latihan HUMS akan membuat semakan terhadap tarikh dan masa yang dipohon.
Pengesahan Tempahan. Sekiranya jadual kosong pada tarikh yang dipohon, Unit Latihan akan memaklumkan kepada pemohon bahawa tempahan telah berjaya dibuat.
Makluman Pertindihan Jadual. Sekiranya tarikh atau masa yang dipohon telah ditempah oleh pihak lain, Unit Latihan akan memaklumkan kepada pemohon.
Pematuhan Panduan Penggunaan. Semua pengguna auditorium hendaklah mematuhi panduan penggunaan Auditorium HUMS, termasuk menjaga kebersihan, kemudahan, keselamatan serta mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.