Kad perubatan adalah kad yang dikeluarkan oleh syarikat insurans atau pengendali takaful anda yang membolehkan anda mendapatkan perkhidmatan perubatan tertentu, di hospital-hospital yang telah ditetapkan oleh pelan insurans anda. Jenis perkhidmatan perubatan yang diterima adalah tertakluk kepada jenis liputan perlindungan polisi dipilih. Perkhidmatan juga didapati tanpa perlu membuat bayaran tunai, selagi premium bagi pelan anda berterusan.
2. Bagaimana ia berfungsi
Kebiasaannya, syarikat insurans atau takaful akan menyediakan beberapa pelan perlindungan perubatan yang berlainan dari segi liputan perlindungan seperti jumlah perlindungan, jumlah elaun hospital dan lain-lain. Ini pula akan menentukan harga (premium) bulanan yang perlu dibayar. Syarikat insurans akan mengeluarkan kad perubatan bagi polisi perubatan yang dipilih yang boleh digunakan untuk mendapatkan perkhidmatan di hospital.
Pendaftaran masuk ke hospital dipermudahkan dengan hanya menunjukkan kad medikal ini selagi perkhidmatan yang diperlukan terkandung di dalam liputan pelan. Bayaran juga tidak perlu dibuat kerana pihak hospital akan dapatkan bayaran perubatan terus daripada syarikat insurans.
3. Stand-alone atau rider
Insurans perubatan stand-alone adalah jenis pelan perubatan bersendirian. Ia hanya menawarkan perlindungan perubatan tanpa apa-apa polisi tambahan seperti simpanan atau pelaburan. Pada kebiasaannya, ia adalah lebih murah berbanding polisi jenis rider kerana hanya perlu mambayar caruman atau premium bagi perlindungan perubatan. Ianya lebih sesuai bagi mereka yang kurang berkemampuan tetapi melihat kepentingan insurans perubatan sebagai perlindungan diri.
Kelemahan stand-alone: Ianya tiada nilai tabungan (cash value/ simpanan). Premium atau caruman yang dibayar jika tiada tuntutan dibuat, akan habis begitu sahaja tanpa apa-apa pulangan. Pembaharuan mungkin tidak dijamin di mana sekiranya menghidap penyakit semasa dilindungi, pembaharuan pada tahun hadapan mungkin tidak lagi diberikan. Tetapi kini kebanyakan kad standalone sudahpun mempunyai pembaharuan terjamin. Seelok-eloknya periksa faktor ini semasa membuat pilihan. Selain daripada itu, premium setiap tahun bagi polisi jenis ini juga tidak tetap, di mana ia akan meningkat dengan peningkatan umur (selalunya setiap 5 tahun).
Pelan rider adalah di mana pelan perubatan bertindak sebagai perlindungan tambahan kepada polisi hayat jenis pelaburan atau simpanan. Caruman/ premium bagi polisi ini lebih tinggi daripada pelan jenis stand-alone kerana sumbangan yang dibuat bukan sekadar bagi perlindungan perubatan tetapi juga untuk simpanan dan pelaburan.
Sumbangan terhadap pelaburan ini akan memberikan nilai tabungan yang bertambah setiap tahun di mana ia boleh dikeluarkan untuk kegunaan peribadi. Ia juga boleh menampung caruman sekiranya bayaran bulanan lewat dan ini tidak akan menyebabkan polisi luput serta merta. Walaupun caruman setiap tahun bagi perlindungan ini juga meningkat setiap tahun, tetapi peningkatan mungkin tidak menjejaskan jumlah caruman kerana ianya ditampung oleh cash value yang terkumpul.
Kelemahan pelan rider: Harga premium menjadi lebih tinggi kerana sumbangan terhadap simpanan. Perlindungan medikal kad juga akan tamat setelah tamatnya pelan asas seperti apabila pelanggan mengalami kehilangan upaya menyeluruh yang kekal (TPD).
Ko-insurans/ ko-takaful adalah pelan di mana pelanggan perlu menanggung sebahagian daripada kos perubatan. Premium bagi pelan ko-insurans adalah lebih rendah daripada pelan tanpa ko-insurans. Kami terangkan melalui contoh di bawah:
Dengan ko-insurans, premium bulanan ialah RM 200. Apabila pelanggan dimasukkan ke hospital dengan kos perubatan RM 5,000, pelanggan perlu menanggung sebahagian kos tersebut. Contohnya RM 1,000. Di sini, syarikat insurans akan membayar kos selebihnya sebanyak RM 4,000.
Tanpa ko-insurans pula, premium yang dibayar bulanan adalah RM 300. Apabila pelanggan dimasukkan ke hospital dengan jumlah kos rawatan RM 5,000, pelanggan tidak perlu membayar apa-apa jumlah. Syarikat insurans beliau akan menanggung segala kos rawatannya.
Kerana risiko pada syarikat insurans yang lebih tinggi bagi pelan tanpa ko-insurans (di mana syarikat perlu membayar semua kos perubatan), premium yang perlu ditanggung pelanggan juga lebih tinggi berbanding pelan ko-insurans (di mana pelanggan sama-sama menanggung kos perubatan).
Yang mana lebih baik? Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kelemahan:
Premium pelan ko-insurans lebih rendah tetapi risiko lebih tinggi jika berlaku tuntutan kerana pelanggan perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membayar sebahagian kos perubatan.
Manakala premium bagi pelan tanpa ko-insurans adalah lebih tinggi tetapi pelanggan tidak payah risau jika berlakunya tuntutan kerana beliau tidak perlu mengeluarkan wangnya sendiri.
5. Had tahunan
Had tahunan adalah had maksima jumlah manfaat yang diperuntukan terhadap kos rawatan pemegang polisi bagi tempoh setiap tahun selagi polisi berkuatkuasa. Sebagai contoh, jika had tahunan sesuatu kad perubatan adalah pada RM100,000, pemegang polisi hanya boleh menuntut sebanyak RM 100,000 bagi rawatan penyakitnya pada tempoh tahun tersebut. Jika kos rawatannya melebihi RM 100,000, beliau perlulah menanggung sendiri kos selebihnya. Sekiranya beliau masih memerlukan rawatan pada tahun hadapan polisi, pelannya akan memperuntukkan manfaat sebanyak RM 100,000 lagi.
Contohnya:
Tahun pertama – Jumlah kos rawatan: RM 120,000
Manfaat pelan membayar: RM 100,000
Pemegang polisi membayar: RM 20,000
Tahun kedua – Jumlah kos rawatan: RM 100,000
Manfaat pelan membayar: RM 100,000
Pemegang polisi membayar: RM 0
6. Had seumur hidup
Had seumur hidup pula adalah had maksima jumlah manfaat yang diperuntukkan terhadap kos rawatan pemegang polisi sepanjang hayat beliau selagi kad perubatan berkuatkuasa. Pelan perubatan akan tamat secara otomatik sekiranya manfaat pelan yang dibayar telah mencapai had seumur hidup bagi seseorang pemegang polisi. Sesetengah pelan tiada menghadkan jumlah manfaat seumur hidup (unlimited lifetime coverage), terutama pelan standalone.
Adakah had seumur hidup yang tinggi penting? Contoh, had seumur hidup sesuatu pelan ialah RM 1 juta, manakala had tahunannya pula adalah RM 100,000. Ini bererti seseorang pemegang polisi akan membelanjakan RM100,000 terhadap kos rawatan setiap tahun selama 10 tahun untuk menikmati manfaat sepenuhnya sebanyak RM 1 juta itu.
Dengan kos perubatan yang meningkat pada kadar inflasi 10-12% setahun, anda perlu berfikir masak-masak berapakah jumlah had tahunan yang munasabah mengikut kemampuan diri. Pada kebiasaannya, pesakit tidak akan berterusan menanggung sesuatu penyakit selama lebih beberapa tahun. Jadi jika dilihat di sini, mungkin wajar kepentingan diberikan kepada had tahunan yang tinggi berbanding had seumur hidup yang tinggi.
7. Elaun tunai harian
Kad perubatan anda juga memberikan elaun tunai harian, iaitu wang tunai kepada pemegang polisi selama berada di wad hospital. Wang ini boleh digunakan sebagai pengganti pendapatan kerana tidak dapat bekerja sewaktu diwadkan. Contohnya sekiranya pemegang polisi kehilangan pekerjaan akibat sesuatu penyakit yang memaksannya terlantar di hospital selama 2 bulan, elaun tunai ini dapat bantu beliau membayar bil api dan air. Elaun ini juga penting sekiranya terdapat kos rawatan yang tidak termasuk di dalam liputan perlindungan kad perubatan anda.
Elaun tunai harian ini kebanyakannya tidak terkandung di dalam liputan perlindungan kad perubatan rider, tetapi boleh dimasukkan jika mahu sebagai perlindungan tambahan.
8. Bilik dan penginapan hospital (room and board)
Kad perubatan turut memperuntukkan pembayaran bagi bilik penginapan di wad hospital. Jika memilih pelan di mana bilik dan penginapannya adalah RM200, ini bererti anda layak tinggal di bilik yang berharga tidak lebih dari itu. Sekiranya anda ingin upgrade atau naik taraf ke bilik yang lebih tinggi bayarannya, selebihnya perlulah ditanggung sendiri. Tetapi waspada akan tindakan ini, kerana sesetengah syarikat insurans akan mengenakan ko-payment atau bayaran bersama, di mana pemegang polisi perlu membayar sebahagian daripada jumlah keseluruhan rawatan jika membuat upgrade bagi bilik hospital.
9. Hospital panel
Setiap kad perubatan mempunyai senarai hospital panel di mana pemegang kad perubatan tersebut layak mendapatkan rawatan. Jenis hospital adalah berlainan mengikut jenis kad perubatan. Pelan yang minima tidak mungkin dapat hospital swasta yang bertaraf lima bintang sebagai panel. Jadi perhatikan juga hospital panel ketika ingin membuat pilihan jenis kad perubatan untuk pastikan hospital-hospital yang tersenarai adalah yang bereputasi baik.
Mana lebih baik, medical card rider atau medical card stand alone?
Kad perubatan stand alone merujuk kepada produk kad perubatan sahaja tanpa sebarang produk lain yang perlu dilanggan bersama. Kad perubatan rider pula merujuk kepada kad perubatan yang dipakej bersama produk-produk asas.
Apabia membandingkan harga kad perubatan rider dengan kad perubatan stand alone, bandingkan harga secara spesifik kad perubatan sahaja dan bukan kad perubatan bersama produk asas suapaya dapat membuat penilaian yang adil.
Sebagai contoh medical card stand alone berharga RM100 dengan kad perubatan rider dengan harga RM200, nampak sekali imbas bahawa kad perubatan stand alone lebih murah. Tapi jika diperincikan, rupa-rupanya kad perubatan rider yang berharga RM200 tadi adalah terdiri dari produk asas RM100 dan produk medical card RM100. Jadi, kedua-dua kad perubatan itu adalah sama harganya. Ini sekadar contoh sahaja.
Memandangkan produk kad perubatan rider dilanggan bersama produk asas, maka apabila produk asas tamat maka kad perubatan juga akan tamat. Sebagai contoh, jika pelanggan lumpuh maka polisi akan tamat, kedua-dua produk asas dan rider kad perubatan.
Kad Perubatan Stand Alone;
Ciri: Produk kad perubatan tanpa perlu dimbil bersama produk lain.
Kelebihan:
Harganya lebih rendah (kerana tidak perlu diambil bersama plan asas)
Tidak perlu mengambil produk asas
Kekurangan:
Tiada nilai tunai (sebab itu ia lebih rendah harganya)
Jika terlepas bayaran sumbangan / premium, akan luput.
Kad Perubatan Rider
Ciri: Plan kad perubatan yang perlu diambil bersama produk asas. Plan kad perubatan adalah plan tambahan kepada produk asas.
Kelebihan
Mempunyai nilai tunai (sebab itu harganya lebih tinggi berbanding stand alone, dan nilai tunai banyak daripada plan asas)
Boleh diambil bersama tambahan perlindungan lain seperti sakit kritikal dan waiver (pelupusan sumbangan apabila berlaku sakit kritikal)
Sekiranya terlepas pandang, ia boleh dibayar dari nilai tunai polisi dengan syarat polisi mempunyai nilai tunai
Kekurangan
Harga menjadi tinggi kerana perlu diambil dengan produk asas
Akan tamat apabila plan asas tamat, sebagai contoh jika pelanggan lumpuh / TPD (Total Permenant Disaility) maka kad perubatan akan turut tamat (Bergantung kepada polisi).
Kesimpulan: Kedua-duanya ada kelebihan masing-masing. Jika mahukan kesemua kelebihan, langgan kedua-dua jenis plan.
NOTA: Kedua-dua caruman sumbangan medical card rider dan stand alone akan meningkat berdasarkan rekod tuntutan syarikat dan keuntungan dana pelaburan.
“Saya kakitangan kerajaan, tidak perlu lagi medical card kerana sudah ada GL Â (guarantee letter) untuk hospital kerajaan. Semua sudah cover”.
Ini selalunya alasan yang diberikan oleh kakitangan kerajaan untuk menolak medical card.
Ya, diakui dari segi kepakaran dan fasiliti – selalunya hospital kerajaan lebih baik. Ada sesetengah kes yang tidak dapat ditangani oleh hospital swasta terpaksa dihantar juga ke hospital kerajaan.
Apapun, pertimbangkan situasi-situasi berikut;-
Di kawasan yang berkepadatan tinggi – berapa jumlah hospital kerajaan dibandingkan dengan hospital swasta?
Sebagai contoh, di Kuala Lumpur – ada hanya 1 hospital kerajaan iaitu HKL – Hospital Kuala Lumpur atau dahulu dikenali sebagai HBKL – Hospital Besar Kuala Lumpur, atau nama glamournya GH (General Hospital).
Dalam masa sama – ada banyak hospital swasta di KL seperti Hospital Pusrawi, Hospital Tawakal, Hospital Columbia, Hospital Gleaneagles, Hospital Prince Court, Hospital Damai dan lain-lain.
Mengapa situasi ini terjadi? Sebab SATU hospital kerajaan tidak cukup untuk menampung penduduk yang ada di Kuala Lumpur.
Justeru, tidak hairan jika di hospital-hospital kerajaan, pesakit terpaksa menunggu lama untuk menerima rawatan malah mungkin berlaku tidak cukup katil dan bilik wad.
Hospital kerajaan lebih murah, manakala hospital swasta lebih mahal.
Ya, betul. Hospital swasta lebih mahal kerana ia berorientasikan bisnes dan 100% datang daripada wang pesakit. Tidak seperti hospital kerajaan yang mempunyai subsidi daripada kerajaan.
Justeru, hospital swasta lebih mahal dan ia perlu datang dengan servis yang lebih baik.
Jarang berlaku di hospital swasta, wad dan katil pesakit tidak cukup sebagaimana yang berlaku di hospital kerajaan.
Jika di hospital kerajaan, pesakit yang datang sedaya upaya dielakkan untuk dimasukkan ke dalam wad dan jika diwadkan – akan sedaya upaya keluar awal. Manakala di hospital swasta pula sebaliknya. Lebih lama tinggal di hospital swasta, hospital lebih suka kerana lebih tinggi bil yang akan dikenakan.
Malah di hospital swasta, kita boleh memilih bilik yang kita ingin wadkan – bilik 4 katil, bilik 2 katil atau bilik satu katil. Malah ada bilik berstatus premium.
Sudah tentu, untuk mendapatkan semua ini memerlukan kos. Berita baiknya, ia boleh ditanggung oleh medical card.
Benarkah, jika kakitangan kerajaan masuk hospital kerajaan – akan ditanggung sepenuhnya?
Setahu saya, tidak begitu.
Jika kes-kes kritikal, akan ada kos yang perlu ditanggug oleh pesakit selain daripada subsidi yang diberikan kerajaan.
Berdasarkan keratan-keratan akhbar tertentu, kakitangan kerajaan yang dimasukkan ke hospital kerajaan pun masih perlu mendapatkan sumbangan dari orang ramai untuk menampung kos perubatan di hospital kerajaan.
Jadi, dakwaan yang mengatakan bahawa “hospital kerajaan cover semua”, adalah tidak tepat.
“Saya sudah ada medical card dari syarikat tempat saya kerja. Jadi tidak perlu lagi menagmbil medical card”
Ya, kita beruntung sekiranya kita mempunyai medical card dari syarikat.
Ia sebagai nilai tambah bagi seorang pekerja.
Apa pun, nilaikan situasi-situasi berikut;-
Analogi – jika syarikat berikan kereta, adakah kita akan beli kereta lain?
Juga analogi lain – jika syarikat berikan telefon, adakah kita akan beli telefon peribadi?
Selalunya, akan beli lain. Sebab kita tahu bahawa kereta atau telefon yang diberikan oleh syarikat adalah milik syarikat – bukan milik peribadi. Ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
Justeru, perlu ada kereta atau telefon peribadi untuk kegunaan peribadi.
Maka begitu jugalah dalam hal insurans dan medical card. Perlu ada milik peribadi dan daripada syarikat adalah bonus.
Jika kereta atau telefon milik syarikat, ditarik balik – boleh guna kereta dan telefon peribadi. Begitu jugalah, sekiranya sekiranya medical card milik syarikat ditarik balik – maka ada medical card peribadi untuk digunakan.
Sekiranya bertukar kerja
Kebanyakan generasi Gen-Y, selalu berubah-ubah tempat kerja. Jadi, perlu ada medical card milik peribadi sekiranya tempat kerja baru tidak ada menyediakan medical card.
Begitu juga apabila berhenti kerja dan memulakan bisnes, maka perlu juga medical card untuk peribadi.
Mungkin ada yang terfikir “tidak mengapa, nanti saya berhenti kerja baru saya ambil medical card”.
Itu satu perancangan yang bijak – tapi perlu diatur dengan baik sebab mana-mana medical card akan ada tempoh menunggu 30 hingga 120 hari (bergantung kepada jenis penyakit) sebelum ia berkuatkuasa sepenuhnya.
Jadi, jika anda tukar atau berhenti kerja hari ini, dan melanggan medical card keesokan harinya, ia perlu menunggu sehingga maksima 120 hari tempoh menunggu sebelum ia berkuatkuasa sepenuhnya.
Bermakna, jika dalam tempoh menunggu itu anda ditakdirkan ditimpa penyakit, medical card tersebut tidak dapat membantu.
Sekiranya pencen
Secinta dan sesayang mana pun anda kepada syarikat tempat anda kerja, akhir sekali anda perlu berhenti selewat-lewatnya pada usia pencen – 55 atau 60 tahun.
Mungkin ada yang terfikir “tidak mengapa, saya akan ambil selepas saya pencen kelak”.
Dalam usia yang sudah lanjut, sudah tentu keadaan kesihatan sudah tidak baik lagi. Medical card hanya layak diambil oleh mereka yang sihat. Sekiranya mempunyai masalah kesihatan – kebarangkalian besar ia akan ditolak.
Apatah lagi apabila mempunyai penyakit 3 serangkai – sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Justeru, seeloknya medical card diambil dari muda di kala sihat sejahtera berbanding hendak tunggu tua kelak.
Polisi Medical Card 3 dalam 1.
Ada sesetengah ejen mempormosi medical card takaful yang dikatakan ada sekali dengan simpanan dan pelaburan.
Ya, ia wujud tapi ketahuilah bahawasanya fungsi utama takaful medical card adalah untuk perlindungan bukan untuk simpanan atau pelaburan.
Jika ada pun pelaburan atau simpanan, ia sangat-sangat-sangat minima berbanding jumlah yang kita bayar.
Apabila kita memiliki medical card, jika kita dimasukkan hospital, soalan mana yang akan keluar?
“Berapa simpanan polisi saya?”
“Berapa cash value medical card saya?”
Atau;
“Saya layak bilik wad yang harga berapa?”
“Berapa cover maksima yang boleh saya claim?”
Sudah tentu apabila jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital, perkara utama ialah tentang coverage yang kita ambil, bukan tentang berapa banyak simpanan atau cash value.
Jadi, fokus kepada perlindungan bukan kepada berapa banyak simpanan dan nilai tunai.