SEKOLAH KEBANGSAAN SERI BINTANG UTARA , KUALA LUMPUR
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. PBD berlaku secara formatif dan sumatif; sebagai pembelajaran, untuk pembelajaran dan tentang pembelajaran.
Mengapakah PBD penting?
PBD dapat membantu guru dalam:
Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran
Mengetahui keberkesanan pengajaran
Merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran
Mengambil tindakan susulan yang sesuai dengan serta merta
Pentaksiran bilik darjah (PBD) merupakan satu proses pengumpulan maklumat yang membantu guru mengesan tahap penguasaan murid terhadap pembelajaran mereka. Maklumat yang terkumpul ini memberi petunjuk kepada guru untuk merancang tindak susul bagi membantu perkembangan pembelajaran murid. Sejajar dengan kemajuan dunia digital dalam pendidikan, kaedah PdP dan pentaksiran juga mengalami perubahan. Pelbagai alat digital dan aplikasi baharu dicipta, maka penggunaannya boleh dioptimumkan mengikut kesesuaian untuk pelaksanaan PdP dan PBD. PBD secara dalam talian merujuk kepada kaedah pentaksiran yang menggunakan pelbagai bentuk komunikasi dan aplikasi untuk mentaksir murid.
Antara peralatan komunikasi yang sesuai digunakan untuk PBD dalam talian adalah seperti telefon, komputer, tablet, mesin faksimili dan sebagainya. Manakala aplikasi komunikasi pula adalah seperti sistem pesanan mesej, suara, e-mel atau sidang video. Contoh aplikasi yang boleh digunakan adalah seperti Google Meet, Telegram, WhatsApp, Zoom dan lain-lain. KPM juga menyediakan pelantar pembelajaran Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) atau pelantar pembelajaran lain yang sesuai dan membolehkan guru mengakses Google Classroom serta aplikasi pembelajaran seperti Quizizz, Kahoot, Wordwall, Padlet dan sebagainya. Pelbagai aktiviti pembelajaran seperti kerja projek, kuiz, pembentangan, tunjuk cara dan lain-lain boleh dilakukan secara dalam talian dengan menggunakan pelantar pembelajaran yang sesuai.
ANALISIS PBD MURID TAHUN 6 SKSBU 2021