SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara asalnya dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Marang. SMK Marang ditubuhkan pada 1 Januari 1966. Pada ketika itu, blok-blok bangunan masih belum siap sepenuhnya, SMK Marang terpaksa menumpang di SK Seberang Marang. Jumlah pelajarnya seramai 123, tenaga pengajarnya 6 orang dan staf sokongan 2 orang. Pada peringkat awal penubuhannya, sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Aneka Jurusan kerana bermulanya mata pelajaran pilihan utama iaitu Seni Perusahaan dan Seni Rumahtangga.Pada bulan Mac 1966, sekolah telah menubuhkan AJK Jemaah Pengurusnya. Pengerusi pertama ialah En. Omar Khalid iaitu Penolong Pegawai Daerah Marang ketika itu. Apabila semua bangunan siap sepenuhnya pada Jun 1966, maka semua warganya berpindah dari SK Seberang Marang ke tapak sekarang. Ketika itu SMK Marang mempunyai dua blok bilik darjah (Blok A dan Blok B), sebuah kantin dan empat buah rumah guru. Pelajarnya datang dari seluruh kampung di daerah Marang iaitu dari Kg. Jambu Bongkok (Selatan), Kg. Ru Renggeh (Utara) dan Kg. Pengkalan Berangan (Barat).
Pada tahun 1968 SMK Marang telah dibuka dengan rasminya oleh Y.B. En. Mohd Khir Johari, Menteri Pelajaran Malaysia . Pada tahun-tahun seterusnya, bilangan pelajar SMK Marang terus meningkat. Kumpulan pertama pelajar menduduki peperiksaan SRP pada tahun 1968 dan SPM pada tahun 1970.Dalam tahun 1973 bilangan pelajar telah meningkat seramai 736 orang, prasarana sedia ada tidak dapat menampung keperluan pelajar. Oleh itu, pada tahun1974 dua blok bangunan tambahan telah dibina, satu daripadanya mengandungi dua buah makmal Sains, perpustakaan dan tiga buah bilik darjah (Blok C). Manakala satu blok lagi terdiri daripada Bengkel Seni Perusahaan dan Seni Rumahtangga (Blok D). Padang juga telah disiapkan pada tahun 1974.
Pada tahun 1978, kelas aliran Sains Tulen mula diperkenalkan. Jumlah pelajarnya bertambah kepada 1337 orang yang ditempatkan dalam 34 bilik darjah. Mulai tahun 1982 kelas aliran Perdagangan pula turut diperkenalkan selari dengan keperluan semasa.Pada tahun 1989, dua blok lagi dibina iaitu Blok E dan Blok F di atas tapak padang sedia ada bagi menampung pertambahan pelajar apabila kelas Tingkatan Enam mula dibuka pada tahun tersebut. Padang gantian dibina di atas tapak asrama baru yang ada sekarang. Asrama Desa (percuma) pula dibina pada tahun 1988 bagi menempatkan pelajar miskin yang tinggal jauh daripada sekolah.Apabila jumlah pelajarnya melebihi 1500 orang, SMK Marang telah dinaikkan ke Gred A mulai 1 Januari 1992. Selepas itu jumlah pelajar sentiasa bertambah dari setahun ke setahun. Salah satu keperluan mendesak ketika itu ialah tempat perhimpunan pelajar yang bersesuaian. Disebabkan sekolah ketiadaan dewan sebagai tempat perhimpunan pelajar maka rumah guru (4 buah) sedia ada telah dirobohkan dan tapaknya dibina sebuah dewan terbuka.
Pada tahun 1995, dicadangkan nama SMK Marang ditukar kepada nama baru iaitu SMK Tengku Lela Segara. Nama 'Tengku Lela Segara' ialah nama gelaran kurniaan daripada DYMM Sultan Terengganu (Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin) kepada Pegawai Daerah Pertama di Marang iaitu Allahyarham YM Tengku Hassan bin Tengku Ali. Beliau bertugas sebagai Pegawai Daerah Marang pada tahun 1960 -1963. Sebagai Pegawai Daerah yang bervisi jauh dalam pendidikan, beliau memulakan usaha menubuhkan sebuah sekolah menengah di daerah Marang. Oleh itu bagi mengenang usaha dan jasanya, sehingga sekolah menengah pertama berjaya dibina di daerah Marang iaitu SMK Marang maka wajarlah ditukarkan kepada nama baru iaitu SMK Tengku Lela Segara. Pertukaran nama ini berlaku pada masa Pn. Hjh. Ainun Jamilah bt Mohd Ali menjadi Pengetua (1992 – 1999).
Tiga blok bangunan baru telah dibina iaitu Blok G, H dan Blok I di atas tapak padang sedia ada bagi menampung bilangan murid yang semakin meningkat pada tahun 2002. Hal ini menyebabkan SMKTLS ketiadaan padang untuk kegunaan murid. Hasil kerjasama dengan PIBG, bersama-sama dengan pembinaan tiga blok baru itu juga dibina dewan baru bagi menggantikan dewan terbuka. Padang gantian telah dibina di kawasan lembah (tapak Asrama Harian sekarang) bagi menggantikan padang yang dijadikan tapak bangunan baru Blok F. Permintaan untuk tinggal di asrama terus meningkat dari tahun ke tahun menyebabkan kerajaan memutuskan untuk membina Asrama Harian. Pada tahun 2002 Asrama Harian mula dibina di atas tapak padang bola yang baru. Apabila Blok G, H dan I siap sepenuhnya pada tahun 2004 maka pembelajaran dan pengajaran berjalan pada satu sesi sahaja. Asrama Desa ditutup apabila Asrama Harian siap mulai tahun 2004.
Mulai tahun 2005, Kerajaan Negeri Terengganu memperkenalkan sekolah Imtiaz, Elit dan Premier. SMK Tengku Lela Segara telah dipilih sebagai salah sebuah Sekolah Premier di daerah Marang selain SMK Bukit Sawa. Pelajar kelas Premier tingkatan 1 diambil daripada calon UPSR yang memperolehi keputusan sekurang-kurangnya 4A 1B. Sehingga sekarang Kelas Premier berjumlah 10 kelas (Tg.1 - Tg.5) daripada jumlah keseluruhan 52 kelas .Pada tahun 2006 makmal komputer telah disiap dan mula beroperasi pada tahun 2007. Apabila surau Al-Hidayah (yang dibina dengan kerjasama PIBG) diisytiharkan tidak selamat digunakan maka mulai tahun 2010 surau baru mula diusahakan pembinaannya dan telah dapat disiapkan serta digunakan pada tahun 2018.Surau ini diberi nama Surau Al-Muttaqin dan dirasmikan oleh Datuk Nik Dir bin Nik Wan Ku ,Pegawai Penyelaras Dun Rhu Rendang pada November 2018.
Ketiadaan padang yang agak lama (2002 - 2010) telah menjadi isu dalam kalangan ibu bapa. Hasil desakan dan perjuangan PIBG, maka pada tahun 2011, padang bola yang baru mula dibina dan siap pada akhir tahun 2012. Pelbagai aktiviti sukan dan kokurikulum telah dapat dijalankan di padang baru ini. Surau Al Hidayah juga telah dibaiki semula bermula pada tahun 2018 dan siap sepenuhnya pada tahun 2019 dengan nama baru iaitu surau Baitus Sakinah. Surau ini banyak digunakan oleh pelajar-pelajar tingkatan 5 dan 6 untuk mengadakan solat Hajat, solat Dhuha dan aktiviti kerohanian pada waktu pagi sebelum sesi persekolahan bermula.