LATAR BELAKANG SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini mendapat nama kerana terletak di tengah-tengah kawasan perumahan Taman Mutiara Rini dalam kawasan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah. Sekolah ini terletak di Jalan Utama 24, Taman Mutiara Rini, Skudai, Johor.
Sekolah ini telah ditubuhkan dan beroperasi pada 03 Januari 2001 mempunyai 32 bilik darjah dan 13 buah bilik khas serta dibina oleh PMC. Pada mulanya hanya 19 orang guru berkhidmat di sekolah ini dengan dibantu oleh seorang Pembantu Tadbir (PT) dan seorang Pembantu Am Rendah (PAR). Seramai 280 orang murid telah mendaftar pada awal persekolahan yang sebahagian besarnya dipindahkan dari Sekolah Kebangsaan Gelang Patah. Sebanyak 6 kelas telah dibuka pada peringkat permulaan.
Encik Harith Bin Abdul Hamid telah diamanahkan untuk menerajui sekolah ini sebagai pentadbir. Beliau telah berkhidmat di sekolah ini sehingga bulan Julai tahun 2009. Kesinambungan kepimpinan sekolah ini telah dipikul pula oleh Encik Mesri Bin Damin selama 6 bulan sahaja. Pada 01 Januari 2010, pentadbiran sekolah telah dipimpin pula oleh Puan Hapisah Binti Abd Majid sehingga 21 September 2012 sebelum disambung oleh Puan Tumirah Binti Jemon. Kemudian kepimpinan sekolah ini diteruskan oleh Encik Mohd Tap Bin Abu. Beliau berkhidmat di sekolah ini sehingga tahun 2019. Kini, pentadbiran SK Taman Taman Mutiara Rini diteruskan oleh Puan Rodziah Binti Abas.
Selepas 19 tahun sekolah ini dibuka, jumlah murid telah meningkat kepada 927 orang termasuk murid Pra Sekolah. Bilangan kelas juga telah bertambah sebanyak 27 buah dan 1 kelas Prasekolah. Kesinambungan dari itu, bilangan guru juga telah bertambah kepada 57 orang dan dibantu oleh seorang Ketua Pembantu Tadbir, 2 orang Pembantu Tadbir, seorang PPM dan seorang Pembantu Am Rendah (PAR). Pelbagai kemudahan untuk proses pengajaran dan pembelajaran telah disediakan bagi memberi manfaat kepada guru-guru serta murid-murid di sekolah ini.