Kelas kefungsian rendah ini memberikan tumpuan kepada pengurusan diri bagi individu MBPK. Murid-murid dalam kelas ini akan menjalani latihan untuk mengurus kehidupan mereka selepas tamat persekolahan. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk menguasai kemahiran yang ditawarkan dalam kefungsian rendah, termasuk Kemahiran Seni Kraf Manik. Sebanyak lima kelas telah diwujudkan, di mana setiap kelas mempunyai tahap pemikiran, penguasaan dan pengetahuan yang berbeza.
Mata pelajaran Seni Kraf Manik ini bermatlamat melahirkan MBPK yang dapat menghasilkan bahan dan aktiviti seni kraf yang tersendiri melalui aktiviti pergerakan motor kasar, halus dan sensori; berkemahiran dan berilmu seni tampak, kreatif, ekspresif, bertingkah laku yang baik, boleh menjalin hubungan yang positif dengan rakan-rakan dan persekitaran serta mampu hidup berdikari.
Mata pelajaran Seni Kraf KSSMPK bagi MBPK tahap kefungsian rendah ini memberi tumpuan kepada kemahiran seni kraf daripada manik. Fokus utamanya adalah untuk mempertingkatkan perkembangan motor kasar dan halus, melatih keupayaan kordinasi mata, telinga dan otak serta membina kemahiran asas berkomunikasi dan bersosialisasi melalui aktiviti stimulasi dalam seni kraf. Bagi memberikan keseronokan semasa belajar dan pembelajaran maka beberapa strategi dan pendekatan PdP boleh digunakan antaranya pendekatan belajar sambil bermain dan projek. Dalam menghasilkan bahan kraf manik, penekanan kepada elemen teraputik dan perkembangan domain kognitif, bahasa dan komunikasi, sosioemosi, tingkah laku, motor kasar dan halus MBPK juga diutamakan. MBPK juga dibimbing untuk menghasilkan bahan kraf yang kreatif dan memasarkannya sendiri sebagai hasil kerja tangan yang boleh dijadikan sebagai punca pendapatan.
::sumber: DKKV KSSMPK KR Kraf Seni Manik
Di akhir pelaksanaan pembelajaran ini, MBPK boleh:
1. Mengurus diri, persekitaran dan ruang kerja.
2. Menggunakan alatan dan bahan kraf manik dengan betul dan selamat.
3. Mengenal pasti pelbagai bentuk dan warna manik.
4. Menghasilkan produk kraf seni manik dengan menggunakan teknik kolaj, untai dan ikatan yang kreatif.
5. Menghasilkan produk kreatif daripada kemahiran yang telah dipelajari.
6. Membina sikap kerjasama dan meningkatkan keyakinan diri.
Aktiviti penghasilan dan penjualan hasil Kraf Manik merangkumi dua aspek utama. Pertama, aktiviti penghasilan melibatkan proses reka bentuk dan pembuatan kraf manik dengan menggunakan teknik dan bahan yang berkualiti untuk memastikan produk yang dihasilkan memenuhi standard estetika dan ketahanan. Kedua, aktiviti penjualan melibatkan pemasaran hasil kraf tersebut kepada orang awam, di mana produk-produk ini boleh diperoleh melalui pelbagai saluran seperti pameran, kedai, dan platform jualan dalam talian. Tujuan utama adalah untuk mempromosikan hasil kraf tempatan dan memenuhi permintaan pasaran dengan menawarkan produk yang unik dan berkualiti tinggi.
Mata pelajaran Seni Kraf Manik, KSSMPK bagi MBPK tahap kefungsian rendah ini disusun dalam bentuk Unit Kompentensi(UK) berdasarkan kemahiran seni kraf. Setiap UK pengajaran dan pembelajaran melibatkan aspek pemerhatian secara aktif dan interaksi yang kritis serta kreatif dengan alam benda dan persekitaran serta penggunaan bahan atau objek yang dapat disentuh, dilihat dan diukur. PdP dijalankan secara teori dan praktikal dengan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap keupayaan dan kebolehan MBPK yang berkefungsian rendah.