Daripada Presiden

DARIPADA PRESIDEN

Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Bissmilahirahmanirrahim.

Pada kesempatan ini, saya ingin berterima kasih kepada tuan/puan berminat dengan Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM). Saya amat menghargai penyertaan ahli seumur hidup dan ahli baharu walaupun dalam kesibukan tugas rasmi dan urusan keluarga, tuan/puan tetap prihatin dengan perjuangan persatuan untuk memartabatkan profesion keguruan dan kedudukan sebagai asas jati diri rakyat Malaysia.


Alhamdulillah, saya diberikan mandat sepenggal lagi iaitu pada tahun 2021-2023 untuk menjadi Presiden untuk kali kedua. Sebelum ini PPBMM telah merancang dan melaksanakan beberapa aktiviti yang selari dengan matlamat penubuhan persatuan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Terima kasih kepada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.


Bagi menghadapi masa depan yang penuh cabaran, PPBMM perlu berusaha intuk memperkasa kepimpinan. Antara usaha yang harus dilakukan adalah merancangkan aktiviti yang melibatkan ahli memberikan komitmen dalam menjayakan program yang dirancangkan. Kita juga perlu memberikan pendedahan dalam mengetengahkan kaedah baru untuk meningkatkan kecekapan guru dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah dalam usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai satu subjek yang diminati dan bukannya subjek yang wajib sahaja.


Akhirnya, sebagai pembina jati diri bangsa, pendidik bahasa Melayu mempunyai tanggungjawab dan peranan penting yang perlu dihayati dan dilaksanakan. Pendidik bahasa Melayu bukan hanya perlu memastikana setiap murid dan pelajar mendapat ilmu yang berguna tanpa sebarang kesilapan sekali gus dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu malahan perlu bersuara secara lantang dan berterusan untuk memastikan bahasa Melayu bermatlamat dan pendidik bahasa Melayu hebat!


“Berguru Demi llmu, Bina Generasi Baharu”

Terima kasih.

Wassalam.

Dr Muhammad Zuhair Zainal