TUNGGAKAN NAFKAH ANAK : TINDAKAN YANG BOLEH DI AMBIL?
Islam telah menetapkan tanggungjawab memberi nafkah terhadap anak adalah di bawah tanggungjawab bapa. Sekiranya berlaku perceraian antara suami dan isteri, tanggungjawab memberi nafkah terhadap anak tetap menjadi tanggungjawab kepada seorang bapa dan tidak akan putus dengan sebab perceraian. Walaupun begitu, isu pengabaian nafkah anak masih berlegar dalam masyarakat. Ramai suami masih culas menlaksanakan perintah nafkah anak sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah.
Bagi membolehkan isu pengabaian nafkah anak diselesaikan, pihak yang diabaikan perlu tampil ke hadapan untuk memulakan tindakan bagi menuntut haknya di mahkamah untuk mendapatkan perintah nafkah anak. Tanpa ada laporan atau aduan, pihak yang bertanggungjawab tidak dapat memulakan tindakan terhadap bapa atau suami atau “orang yang bertanggungan” yang mengabaikan perintah nafkah.
Tindakan yang boleh di ambil untuk membuat tuntutan nafkah anak sebagaimana berikut :
1. Pastikan tempat tinggal atau permastautin.
Tempat bermastautin atau tempat tinggal adalah penting bagi menentukan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang boleh mendengar permohonan. Lazimnya, mahkamah akan melihat kepada alamat yang tertera di kad pengenalan sebagai panduan. Jika, tempat tinggal puan berbeza dengan alamat dalam kad pengenalan, maka perlu mendapatkan pengesahan permastautinan anak kariah dari kawasan kariah tempat tinggal bagi meneruskan tuntutan di Mahkamah Syariah berkenaan.
2. Memfailkan saman dan pernyataan tuntutan nafkah anak di mahkamah syariah.
Sekiranya sudah dipastikan Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut, maka boleh terus memfailkan Saman dan Penyata Tuntutan Nafkah Anak di Mahkamah itu. Mahkamah akan menyediakan borang 'standard' sebagai panduan dan perlu mengisi atau menaip semula maklumat yang diperlukan dan memastikan alamat bekas suami boleh dihubungi dan disampaikan saman dan apa-apa notis mahkamah.
3. Penyediaan dokumen sokongan.
Ketika memfailkan tuntutan nafkah anak di mahkamah, dinasihatkan untuk menyediakan dokumen yang diperlukan seperti kad pengenalan, surat cerai, surat beranak anak-anak atau kad pengenalan anak-anak. Sebagai tambahan, sediakan bukti perbelanjaan dan keperluan anak-anak yang perlu ditanggung bekas suami serta bukti kemampuan bekas suami. Ini memudahkan mahkamah sewaktu mendengar kes dan membantu mahkamah mempertimbangkan permohonan.
Nafkah anak tidak menjadi terhutang kerana jika si bapa tidak berkemampuan, maka beban nafkah akan ditanggung oleh datuknya atau saudara atau kerabat mengikut sususan asabah dalam hukum faraid. Ini juga hikmah mengapa Allah melebihkan kaum lelaki dalam penerimaan harta pusaka menurut hukum faraid.
Menurut seksyen 73 (2) EUKIS, mahkamah boleh memerintahkan seseorang yang bertanggungan bawah hukum syarak menanggung nafkah kanak-kanak atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak. Ini sekiranya bapa berada dalam keadaan berikut :
Bapa kanak-kanak itu telah mati, atau;
Tempat bapanya berada tidak diketahui; atau
Jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.
Seksyen 74 EUKIS menyatakan 4 keadaan yang mana mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah anak, iaitu:
Jika lelaki itu telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan nafkah dengan munasabah bagi anak-anaknya;
Jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu dalam jagaan isterinya;
Dalam masa menanti keputusan sesuatu prosiding hal ehwal suami isteri;
Apabila membuat atau selepas dapat membuat sesuatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain.
Walaupun diperuntukkan bahawa seorang bapa itu wajib menanggung nafkah anaknya tetapi dia terkecuali daripada menanggung nafkah anaknya sekiranya terdapat persetujuan lain yang mengecualikannya daripada menanggung ataupun kerana terdapat perintah daripada mahkamah.
Ukuran untuk menentukan kadar nafkah anak adalah mengikut ukuran munasabah berdasarkan kemampuan dan taraf hidup bapa. Dengan kata lain, jika bapa seorang yang sederhana, maka kadar yang boleh dituntut hendaklah meliputi makan minum, pakaian, tempat tinggal, persekolahan dan perubatan yang sekadar sahaja.
Perintah nafkah anak hendaklah luput atau tamat apabila anak itu mencapai umur 18 tahun kecuali jika salah satu perkara yang berikut :
Apabila suatu perintah nafkah anak itu dinyatakan lebih singkat atau awal daripada itu.
Apabila mana-mana perintah tersebut dibatalkan.
Apabila suatu perintah itu dibuat kepada seorang anak perempuan yang belum kahwin atas sebab-sebab keyidakupayaan fikiran atau fizikal tidak mampu untuk menanggung dirinya. Bagi anak lelaki, atas alasan ketakupayaan mental atau fizikal yang mana ia tidak mampu menanggung dirinya.
Justeru, apabila berlaku ketidakpatuhan terhadap perintah nafkah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah, tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah perlu dimulakan bagi memastikan kepatuhan dapat dikembalikan. Berdasarkan peruntukkan undang-undang, mahkamah boleh mengambil tindakan berikut sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap perintah nafkah:
Mengarahkan pihak penghutang membayar keseluruhan jumlah nafkah semasa atau membayar jumlah tunggakan nafkah berdasarkan perintah dan mengikut cara yang ditentukan oleh mahkamah sama ada membayar secara sekali gus atau ansuran bulanan; atau
Mengeluarkan perintah penahanan pendapatan atau potongan gaji bagi yang berpendapatan tetap dengan mengarahkan bayaran terus ke dalam akaun bank anak-anak atau isteri; atau
Mengenakan hukuman penjara ke atas pihak yang sengaja tidak mematuhi perintah nafkah tersebut; atau
Perintah penyitaan dan penjualan; atau
Prosiding hiwalah.