Secara umumnya, Peguam Syarie bererti seorang peguam yang telah dilantik oleh anak
guamnya untuk membantu dalam menyelesaikan masalah serta menguruskan kes-kes yang
melibatkan dengan Mal, Jenayah, Harta, Pusaka, Wasiat dan lain-lain lagi yang terletak
dibawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Peguam Syarie bertindak di Mahkamah Syariah
berasaskan prinsip “Wakalah bil-Khusumah”
“Wakalah bil-Khusumah” ialah orang yang mewakili seseorang yang lain dalam urusan
pendakwaan dan tuntutan di hadapan hakim, baik dalam prosiding Mahkamah ataupun
perkara-perkara yang berhubung dengan kes yang dipertikaikan.
Peguam Syarie mempunyai peranan dalam memberikan kesedaran dan pengetahuan
kepada masyarakat dalam isu-isu berkaitan syariah. Pastinya isu-isu syariah adalah isu-isu
yang dekat dengan hati dan kehidupan setiap umat Islam. Namun begitu, oleh kerana isu-
isu berkaitan syariah ini adalah sedikit kompleks dan teknikal bagi orang awam, maka
mereka sering mengenepikannya.
Sebagai orang awam, anda semestinya ingin melantik seorang peguam yang berkaliber
sekiranya anda dihimpit dengan masalah yang mana jalan penyelesaian masalah itu
melibatkan urusan dan perlu diselesaikan di Mahkamah. Justeru, sebelum anda ingin
melantik seorang peguam, seharusnya kenalpasti dahulu masalah yang anda hadapi, sama
ada masalah itu dibawah bidangkuasa Mahkamah sivil ataupun Mahkamah syariah.
Secara umumnya peguam boleh dibahagikan kepada dua jenis, pertama adalah “litigation
lawyer” iaitu peguam yang dilantik oleh anak guam untuk mewakilinya dalam perbicaraan di
Mahkamah, peguam ini akan sentiasa naik turun ke Mahkamah. Kedua pula adalah
“conveyancing lawyer” atau “non-court lawyer”, peguam ini tidak masuk ke Mahkamah untuk
perbicaraan, sebaliknya peguam ini hanya tertumpu kepada kertas kerja atau
menyelesaikan hal-hal undang-undang seperti perjanjian, pembelian rumah atau hartanah.
Sekiranya anda menghadapi masalah berkaitan dengan isu syariah, dan perlukan khidmat
Peguam Syarie bagi membela hak anda, anda boleh membuat carian untuk khidmat
peguam tersebut melalui portal rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor
(JAKESS) sekiranya anda menetap di Selangor. JAKESS mempunyai senarai nama dan
maklumat Peguam Syarie yang bertauliah. Seterusnya anda boleh membuat semakan
peguam tersebut di http://www.esyariah.gov.my.
Selain itu, Majlis Agama Islam juga menawarkan khidmat bantuan guaman syarie dan
khidmat nasihat perundangan syariah sekiranya anda perlukan. Anda boleh merujuk
bantuan guaman ini di Majlis Agama Islam di negeri anda menetap. Walau bagaimanapun,
terdapat beberapa syarat kelayakan yang perlu anda patuhi, antara syarat tersebut adalah
pendapatan kasar anda tidak melebihi RM 4,000.00 sebulan, sebelum anda memohon
khidmat bantuan guaman tersebut.
Seterusnya Jabatan Bantuan Guaman (JBG) juga adalah institusi yang menawarkan anda
untuk mendapatkan khidmat bantuan guaman. JBG adalah suatu badan kerajaan di bawah
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang yang menyediakan khidmat nasihat dan bantuan
guaman dalam prosiding tertentu di Mahkamah bagi mereka yang kurang berkemampuan
untuk mendapatkan khidmat peguam swasta.
JBG menyediakan perkhidmatan bantuan guaman kepada warganegara Malaysia yang
layak di bawah Akta Bantuan Guaman 1971 dalam prosiding syariah merangkumi prosiding
yang berhubungan dengan Ganti rugi pertunangan, Nafkah, Hadhanah, Perceraian, Hutang
perkahwinan, Mutaah, Harta sepencarian, Hibah dan Wasiat.
Terdapat dua kategori pemohon yang layak mendapat khidmat bantuan guaman ini.
Pertama, sekiranya anda mempunyai pendapatan yang tidak melebihi RM 30,000.00
setahun, anda layak mendapat khidmat bantuan guaman secara percuma dan hanya perlu
membayar RM 10.00 sebagai wang pendaftaran. Tetapi jika pendapatan tahunan anda
melebihi RM30,000.00 ke atas, anda akan dikenakan bayaran serendah RM 500.00
sehingga RM 5,000.00 tertakluk kepada syarat.
Anda juga boleh menggunakan media sosial seperti facebook atau google untuk
mendapatkan khidmat peguam. Cara ini lebih mudah kerana anda boleh mencari peguam
yang berdekatan dengan kawasan anda, serta anda boleh selidik terlebih dahulu latar
belakang dan mengetahui perjalanan karier seorang peguam itu sebelum anda bersetuju
untuk mendapatkan khidmat mereka.
Langkah pertama yang perlu dilakukan setelah dapat mencari peguam yang anda inginkan
adalah membuat temu janji bersama peguam tersebut, dimana sahaja tempat atas
persetujuan bersama. Tetapi anda disarankan sekurang-kurangnya bertemu dengan
peguam tersebut di pejabatnya walaupun sekali, hal ini kerana jika berlaku apa-apa perkara
yang tidak diingini anda boleh terus menuju ke pejabatnya.
Selepas itu, perkara yang perlu diambil perhatian semasa bertemu dengan peguam adalah
anda perlu membuat perbincangan dan perjanjian bersama peguam tersebut mengenai
yuran guaman secara bertulis agar tiada isu yang berbangkit mengenai bayaran pada masa
akan datang. Sekiranya anda tidak berpuashati dengan yuran yang dikenakan,
berbincanglah dahulu ataupun mencari peguam lain.
Yuran yang perlu dibayar biasanya berdasarkan tahap kesukaran kerja tersebut dan
seniority seorang peguam juga diambil kira. Jika anda selesa dan yakin dengan kredibiliti
Peguam Syarie tersebut, anda boleh terus membuat lantikan, seterusnya anda boleh
serahkan dokumen yang berkaitan dan membuat bayaran seperti yang telah dibincangkan.
Untuk makluman, anda perlu berhati-hati sekiranya terjumpa dengan individu atau syarikat
yang mengiklankan khidmat nasihat guaman syarie atau penyediaan dokumen Mahkamah
dengan bayaran tertentu dimana-mana akhbar atau media sosial, kerana kemungkinan
besar individu atau syarikat itu adalah tidak sah. Hal ini kerana berdasarkan Etika No. 41
Arahan Amalan Jabatan kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) No. 4 Tahun 2002
menyatakan “seorang Peguam Syarie tidak boleh mengiklankan dirinya”.
Akhir kata, untuk mendapatkan khidmat seorang Peguam Syarie bukanlah suatu yang sukar
kerana terdapat banyak institusi atau medium yang menyediakan khidmat dan memberi
informasi berkenaan dengan peguam. Segalanya bergantung kepada tahap kemampuan
kewangan anda dan masalah yang anda hadapi untuk mendapatkan khidmat Peguam
Syarie.