Undang-undang Islam telah menetapkan bahawa tanggungjawab pemberian nafkah
merupakan kewajiban pihak suami. Kelalaian, kecuaian atau kegagalan pihak suami dalam
menjalankan tanggungjawabnya adalah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang
Syariah. Firman Allah SWT dalam Surah at-Talaq yang bermaksud :
‘...hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang
yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah
kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang
Allah berikan kepadanya’
Seksyen 70 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor (EUKIS)
memperuntukkan bahawa :
1) Tunggakan nafkah yang tak bercagar, boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak
yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah
penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam
kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati,
tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar dari harta pusakanya.
2) Tunggakan nafkah yang tak bercagar yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang
berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri di sisi undang-
undang itu.
Tunggakan nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam
tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suaminya dan wajib dibayar. Isteri berhak
menuntut nafkah ini, pemberian nafkah merupakan tanggungjawab suami yang perlu
dipenuhi dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat jika gagal dilunaskan dengan
sempurna.
Kewajipan membayar nafkah kepada isteri dikira apabila berlakunya akad pernikahan
selama mana isteri masih taat kepada suami iaitu isteri tidak disabitkan nusyuz oleh mana-
mana Mahkamah Syariah. Sekiranya suami gagal menyediakan nafkah kepada isteri
sedangkan isteri taat dan menjaga maruah suami, tuntutan nafkah atau tuntutan tunggakan
nafkah boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Syariah tempat pihak-pihak bermastautin.
Isteri perlu membuktikan kepada Mahkamah bahawa sepanjang pernikahan tersebut, suami
telah gagal menyediakan nafkah. Pihak isteri perlu sedar akan hak-hak mereka manakala
pihak suami perlu lebih arif dan peka tentang kewajipan dan tanggungjawab suami kepada
isteri.
Peruntukan undang-undang keluarga Islam di Malaysia mengenai penaksiran nafkah isteri
pula menjelaskan bahawa "Pada menentukan jumlah sesuatu nafkah yang hendak
dibayar, Mahkamah hendaklah mengasaskan penaksirannya terutama sekali atas
kemampuan (suami) dan keperluan pihak-pihak itu (isteri dan anak-anak) dengan
mengira kadar nafkah itu berbanding pendapatan orang yang terhadapnya perintah
dibuat".
Peruntukan ini juga terlalu umum dan tidak menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan
kemampuan suami dan keperluan pihak-pihak iaitu isteri dan anak. Hakim dalam membuat
keputusan atas tuntutan nafkah isteri dan anak, menimbang pelbagai faktor mengikut budi
bicaranya sendiri untuk menetapkan kadar nafkah isteri dan anak.
Terdapat beberapa perkara yang menjadi pertimbangan mahkamah sebelum memutuskan
tuntutan tunggakan nafkah isteri yang dibuat:
1. Keperluan Isteri
Dalam memutuskan mahkamah akan melihat keperluan-keperluan seorang isteri terlebih
dahulu. Perlu diingatkan bahawa keperluan adalah tertakluk kepada keperluan asas sahaja
iaitu keperluan yang menjadi inti kepada kehidupan seseorang antaranya adalah makanan,
pakaian, tempat tinggal. walaubagaimanapun dengan melantik peguam, perkara-perkara
tersebut dapat dirincikan untuk dibentangkan di hadapan Mahkamah. Tuntutan yang dibuat
boleh jadi berbeza-beza mengikut keperluan semasa.
2. Kemampuan pemberi nafkah.
Selain melihat kepada keperluan isteri, kemampuan suami juga turut diambil kira
berdasarkan peruntukan yang ada yang juga selari dengan kaedah ‘la dharar wa la dhirar’.
Tujuannya keperluan isteri tidak melampaui kemampuan suami supaya si suami tidak
dibebani atas suatu beban yang sukar sepertimana firman Allah "Allah tidak akan
membebankan seseorang kecuali atas kemampuannya".
Tunggakan nafkah yang telah diabaikan dalam tempoh perkahwinan menjadi hutang ke atas
suaminya. Hutang perlu dilangsaikan walaupun selepas orang yang berhutang tersebut
meninggal dunia. Oleh itu, hutang termasuk dalam perkara yang wajib dilangsaikan sebelum
pembahagian harta pusaka secara faraid. Hal ini jelas sepertimana sabda Rasulullah:
Maksudnya: “Aku adalah lebih penting bagi orang-orang Mukmin daripada diri mereka
sendiri. Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan masih berhutang dan tidak dapat
diselesaikan, maka kami akan melunaskannya. Sesiapa yang meninggalkan harta maka
serahkan kepada warisnya”.
Berdasarkan hadis ini, sekiranya suami meninggal dunia sebelum sempat melunaskan
tunggakan nafkah isterinya, maka hutang tersebut wajib dilangsaikan daripada harta si mati
sebelum pembahagian harta pusaka secara faraid dilaksanakan. Oleh itu, jika suami anda
mempunyai hutang (nafkah) terhadap diri anda semasa dalam tempoh perkahwinan,
tuntutlah hak anda di Mahkamah Syariah.