INFO KAFA
SK MALUDAM
PANDUAN DAN SISTEM PENGURUSAN KELAS KAFA SK MALUDAM
INFO KAFA
SK MALUDAM
Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA)
Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bermaksud kelas pengajian Al-Quran dan Fardu Ain bermula tahun 1 hingga tahun 6 yang berdaftar dengan Agensi Pelaksana (Pihak Berkuasa Agama Negeri) dengan menggunapakai kurikulum, buku teks, peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan mengikut jadual atau waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan elaun Guru KAFA dibayar oleh Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM.
Pengenalan
Abstrak
Pendidikan Kelas Al-Quran & Fardhu Ain (KAFA) di Malaysia mula dijalankan pada tahun 1990. Kelas Al-Quran & Fardhu Ain (KAFA) merupakan program pengukuhan asas Pendidikan Islam kepada pelajar. Ia menekankan kemahiran membaca Al-Quran dan pengetahuan serta pemahaman asas-asas Fardhu Ain. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan pengurusan tertinggi KAFA di Malaysia namun di peringkat negeri Sarawak, pengurusan KAFA diletakkan di bawah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS). Persoalan kajian adalah untuk mengkaji apakah kekuatan Pendidikan Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) Di Bahagian Betong Sarawak?. Bagi melihat kekuatan tersebut, penulis memilih untuk menggunakan metodologi kajian perpustakaan, temu bual dan fokus perbincangan berkumpulan (Focus Group Discussion). Dapatan kajian ini adalah untuk melihat tiga kekuatan iaitu peranan pihak Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Betong, peranan pentadbir sekolah dan peranan guru-guru KAFA itu sendiri dalam pelaksanaan KAFA di Bahagian Betong Sarawak.
PENGENALAN
Secara umumnya, pembelajaran Pendidikan Islam di negeri Sarawak semakin berkembang dari tahun ke tahun. Sejarah kedatangan Islam ke Sarawak juga pastinya menjadi penyumbang terbesar kepada berkembangnya ajaran Islam di Sarawak. Menurut Mohd Taib Osman (1984) pada waktu Islam sampai ke Sarawak, sebahagian Sarawak masih lagi dalam wilayah kekuasaan negara Brunei. Hamka (1961) dan Ismail Hamid (1986) mengatakan bahawa agama Islam telah datang ke negara Brunei pada abad ke sepuluh Masihi. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Islam semakin mendapat tempat di kalangan penduduk di Sarawak (Azhar Ahmad, 1998) sehingga Islam masih dianuti sehingga ke hari ini. Selepas Sarawak menjadi sebahagian daripada negara Malaysia pada tahun 1963, pengajaran Pendidikan Islam semakin melebarkan sayapnya di negeri Sarawak. Pendidikan Islam diajar secara formal di sekolah-sekolah kerajaan dengan kurikulum yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan juga diajar secara tidak formal di kampung, rumah dan desa dan pertubuhan-pertubuhan tertentu. Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut menyumbang kepada proses memperkukuh pembelajaran Pendidikan Islam melalui program Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA).
Pendidikan Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) yang terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini merupakan satu program yang dirangka khas bertujuan untuk memperkasa Pendidikan Islam di kalangan pelajar. Ia bermula dari sekolah rendah lagi. Program KAFA ini memberi penekanan kepada pendidikan al-Quran dan juga perkara-perkara asas Fardhu Ain. Turut menjadi hasrat pihak JAKIM adalah untuk melihat pelajar-pelajar yang terhasil daripada kelas KAFA menjadi pelajar berakhlak sepertimana yang dianjurkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Ini kerana, pelajar-pelajar inilah yang akan meneruskan kerja-kerja dakwah dan perkembangan syiar Islam di Malaysia suatu masa kelak. Ia amat bertepatan dengan pendapat Abdul Karim Zaidan (2001), generasi-generasi ini bakal menjalankan kerja-kerja dakwah serta menyeru kepada kebaikan. Justeru, mereka perlu dididik dengan pendidikan al-Quran.
Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) mula dilaksanakan di Malaysia pada tahun 1990. Kelas ini wujud setelah keputusan dicapai oleh ahli Mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Hal Ehwal Agama Islam Melayu (JKHEAI) yang mengadakan persidangan pada 17 Januari 1989. Pelaksanaanya pula diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 September 1989. Seterusnya, dijalankan secara serentak di seluruh Malaysia tahun berikutnya, iaitu 1990. Penubuhan kelas KAFA di sesebuah sekolah mahupun tempat perlulah mengikut garis panduan serta tatacara yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Garis Panduan Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) 2011, h.53) Syarat-syarat yang diletakkan oleh pihak JAKIM haruslah dipatuhi dan digunakan sebagai rujukan sebelum permohonan menubuhkan KAFA di sesuatu tempat dimulakan.
Biarpun Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), namun pengendalian serta pengurusan di peringkat negeri diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di negeri masing-masing. Di peringkat negeri pula, ia diletakkan di bawah Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri. Umpamanya di Sarawak, pengurusan dan pentadbiran KAFA di negeri Sarawak diurus oleh Bahagian Pengukuhan Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan bahagian ini menguruskan segala-galanya bermula dari penubuhan KAFA, pengambilan guru KAFA, program-program berkaitan guru serta murid KAFA dan semua hal ehwal KAFA (Bahagian Pengukuhan Pendidikan Islam, Laman web rasmi JAIS www.jais.gov.my).
Sebagai satu program yang memperkasa Pendidikan Islam, bidang-bidang yang diajar dalam kelas KAFA adalah meliputi Al-Quran, Ibadah, Akidah, Sirah, Adab & Akhlak Islamiah, Jawi, Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI), Amali Solat dan Lughatul Quran (Garis Panduan Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (2011), h.44). Kelas ini harus dilaksanakan selama 36 jam sebulan. Setelah berada di Tahun 5, para pelajar akan diuji dengan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) pada penghujung tahun bagi menguji kefahaman dan kebolehan para pelajar. Ujian ini digubal oleh pihak JAKIM dan dijalankan secara serentak di seluruh Malaysia. Sekolah-sekolah rendah di Bahagian Betong Sarawak juga turut mengadakan kelas KAFA dan jumlah pelajar KAFA di Bahagian Betong merupakan antara yang teramai di Sarawak. Kekuatan Pendidikan Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) di Bahagian Betong Sarawak dapat dilihat dari sudut peranan pihak JAIS Betong, peranan Pentadbir Sekolah dan Peranan Guru KAFA di Bahagian Betong dalam menjayakan kelas KAFA ini.
Sumber:
KEKUATAN PENDIDIKAN KELAS AL-QURAN DAN FARDHU AIN (KAFA) DI BAHAGIAN BETONG SARAWAK
oleh
Hafizul Rasdi, Abdul Razak Abdul Kadir, Huzaimah Ismail & Fatimah Hamrie
Peranan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Betong
Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Betong bertanggungjawab dalam menguruskan sebanyak 47 buah sekolah rendah yang menjalankan KAFA di bahagian ini. Pengurusan KAFA diketuai oleh Ustaz Aswat Osen selaku Pegawai Agama Islam Bahagian (PAIB) Betong. Ia seterusnya diuruskan oleh empat orang Penyelia KAFA yang dilantik oleh JAKIM dan ditempatkan di JAIS Bahagian Betong.
Jadual 1 : Nama Penyelia KAFA Bahagian Betong
PENYELIA KAFA BAHAGIAN BETONG
Ustaz Abang Mohammad Salleh Abang Hamid
Ustaz Affandi Ismail
Ustazah Siti Norfaridah Sahperi
Ustazah Juliana Bahtia
Sumber : Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Betong
Kesemua penyelia berperanan sepertimana yang dikehendaki oleh pihak JAKIM menurut garis panduan yang telah ditetapkan. Selain itu para penyelia juga turut berperanan aktif dalam pelbagai program JAIS Betong yang lain. Ini menjadikan pengurusan KAFA berada pada tahap yang amat baik. Antara peranan penyelia KAFA JAIS Betong adalah;
i. menyelaras dan menyelia aktiviti KAFA di Bahagian Betong,
ii. menyelia sesi pengajaran guru KAFA di Bahagian Betong,
iii. menghubungkan urusan Jawatankuasa KAFA di Peringkat Sekolah dan Jawatankuasa KAFA di Peringkat Negeri,
iv. memastikan guru-guru KAFA di Bahagian Betong menyertai aktiviti, kursus, seminar dan program-program yang dianjurkan oleh pihak JAKIM dan pihak JAIS Betong,
v. menerima, menyemak, mengesah dan menguruskan tuntutan elaun Guru KAFA di Bahagian Betong,
vi. mengemaskini data-data Guru KAFA di Bahagian Betong,
vii. menyedia serta mengemaskini laporan, aktiviti, maklumat KAFA dan data murid dalam Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) serta menghantar kepada pihak Unit KAFA JAIS Kuching dan JAKIM,
viii. memantau, menyemak dan mengesahkan buku kehadiran bertugas guru KAFA dan buku Rancangan Pengajaran Harian (RPH) Guru KAFA Bahagian Betong,
ix. menghadiri semua kursus dan program yang diarahkan oleh pihak JAIS dan JAKIM, dan
x. menjalankan tugas yang diarahkan oleh pihak JAIS pusat, JAIS Betong dan JAKIM.
Pihak Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Betong memainkan peranan yang penting dalam memantau perjalanan kelas KAFA, memastikan guru hadir bertugas, menyampaikan maklumat terkini berkenaan KAFA, mengadakan kursus, program, bengkel dan seminar pemerkasaan Guru KAFA serta mengurus semua hal ehwal KAFA di Bahagian Betong.
Bagi memudahkan pihak JAIS Betong menjalankan peranan mereka untuk menguruskan pendidikan KAFA di Bahagian Betong ini, sekolah-sekolah di Bahagian Betong ini dibahagikan kepada empat kumpulan penyelia sebagaimana berikut :
Jadual 2 : Pembahagian Penyelia KAFA Setiap Sekolah Di Bahagian Betong
Abang Mohammad Salleh Bin Abang Hamid
1.SK DATUK BANDAR DEBAK
2.SK SEREMBANG
3.SK MANGUT
4.SJKC CHUNG HUA PUSA
5.SK TAMBAK
6.SK SEMARANG
7.SK ST PAUL ROBAN
8.SK ABG MOH SESSANG
9.SK HJ JUNID GERIGAT
10.SK ABG LEMAN KABONG
11.SJKC CHUNG HUA KABONG
Affandi Bin Ismail
1.SK SEBEMBAN
2.SK BUNGIN
3.SJKC CHUNG HUA DEBAK
4.SK PUSA
5.SK TUIE
6.SK BELADIN
7.SK SPINANG
8.SK TO EMAN NYABOR
9.SK KPG EMPLAM KABONG
10.SK BTG MARO
Siti Norfaridah Binti Sahperi
1.SK BALINGAN
2.SK SPAOH
3.SK KPG BUDA SPAOH
4.SK DIT DEBAK
5.SK KALOK
6.SK SUPA
7.SK MALUDAM
8.SJKC CHUNG HUA MELUDAM
9.SK KPG ALIT KABONG
10.SK PERPAT
11.SK NANGA PASSA BETONG
Juliana Binti Bahtia
1.SK ABG ABD KADIR BETONG
2.SJKC CHUNG HUA BETONG
3.SJKC CHUNG HUA SPAOH
4.SK TANJUNG ASSAM
5.SK SERABANG
6.SK ABG ABD RAHMAN SARATOK
7.SJKC MIN SYN SARATOK
8.SK KPG KUPANG
9.SK HJ BOLLAH KABA
10.SK KAMPUNG PALOH
11.SK MEDANG
Sumber : Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Betong
Jadi dengan pembahagian seperti ini, semua urusan berkenaan dengan pendidikan KAFA di Bahagian Betong menjadi lebih mudah, sistematik dan teratur. Ia merupakan cara terbaik bagi menangani sebarang masalah yang timbul. Peranan pihak JAIS Betong ini pastinya mampu menjadikan pendidikan KAFA di Bahagian Betong terus cemerlang khususnya dalam aspek pengurusan perjalanan KAFA, pengurusan guru KAFA dan menyumbang kecemerlangan kepada pencapaian Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) di Bahagian Betong, Sarawak.
Sumber:
KEKUATAN PENDIDIKAN KELAS AL-QURAN DAN FARDHU AIN (KAFA) DI BAHAGIAN BETONG SARAWAK
oleh
Hafizul Rasdi, Abdul Razak Abdul Kadir, Huzaimah Ismail & Fatimah Hamrie
Peranan Pentadbir Sekolah
Pengurusan KAFA di peringkat sekolah diketuai oleh Guru Besar dan seterusnya Guru Penyelaras KAFA Sekolah. Guru Besar berperanan sebagai Penasihat dan juga Pengerusi KAFA bagi setiap sekolah. Guru Besar dan Guru Penyelaras KAFA Sekolah akan berbincang dan menentukan jadual KAFA, takwim KAFA, program KAFA, penggunaan kelas, kehadiran pelajar, kehadiran guru dan keperluan kelas KAFA sekolah masing-masing.
Menurut temubual yang dilakukan oleh penulis bersama Rapaie Bulat (2013), Guru Besar Sekolah Kebangsaan Datuk Bandar Debak, peranan yang telah beliau mainkan di sekolah beliau dalam mengurus dan mentadbir KAFA adalah sangat sistematik dan amat baik sekali. Beliau sentiasa melibatkan semua guru KAFA dalam setiap aktviti sekolah. Pada setiap pagi Jumaat pula, beliau akan mengadakan pertemuan bersama guru-guru KAFA sekolah berkenaan bagi membincangkan dan mengetahui segala permasalahan KAFA. Beliau turut menyediakan bilik KAFA bagi memudahkan guru-guru KAFA berkumpul dan dijadikan sebagai pejabat untuk guru KAFA.
Bagi Lai Ngit Sin (2013), Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Meludam pula, beliau berperanan dalam menguruskan KAFA di sekolah berkenaan berdasarkan skop dan bidang tugas yang telah ditetapkan oleh pihak JAKIM. Beliau juga turut menyampaikan apa yang diarahkan oleh pihak JAIS Betong dari semasa ke semasa kepada guru dan pelajar KAFA. Bagi memastikan keselesaan guru KAFA untuk menjalankan tugas-tugas mendidik, beliau turut menyediakan pejabat khas untuk guru-guru KAFA. Beliau juga turut membenarkan guru-guru KAFA menggunakan segala kemudahan yang terdapat di sekolah seperti mesin fotostat, mesin cetak dan apa-apa keperluan untuk pengajaran dan pembelajaran kelas KAFA.
Setiap sekolah juga akan melantik Guru Penyelaras KAFA bagi membantu Guru Besar selaku Pengerusi KAFA dalam urusan yang berkaitan KAFA. Peranan Guru Penyelaras KAFA juga adalah untuk memantau perjalanan kelas KAFA dan memastikan guru-guru menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Pihak pentadbir sekolah juga turut menyediakan ruang kelas yang dilengkapi dengan peralatan pembelajaran yang lengkap seperti meja, kerusi, kipas angin, papan hitam, kapur, papan putih, marker, meja guru dan pelbagai lagi kemudahan lain. Ini merupakan komitmen pihak sekolah biarpun tiada peruntukan kewangan daripada pihak JAKIM mahupun JAIS untuk membiayai kemudahan serta utiliti ini. Ia dibantu dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Jelas bahawa, peranan pihak pentadbir sekolah amat penting dalam memastikan pelaksanaan kelas KAFA di peringkat sekolah berjalan lancar. Tanpa sokongan dan komitmen padu pihak sekolah, amat mustahil bagi pihak JAIS Betong dan guru-guru KAFA melaksanakan kelas KAFA.
Hasil dapatan kajian yang dilakukan oleh penulis mendapati, pihak pentadbir sekolah di Bahagian Betong memberikan kerjasama yang amat baik kepada pihak JAKIM, JAIS Bahagian Betong dan guru-guru KAFA di sekolah masing-masing serta menyediakan kemudahan untuk menjadikan pembelajaran KAFA berjalan lancar di peringkat sekolah.
Sumber:
KEKUATAN PENDIDIKAN KELAS AL-QURAN DAN FARDHU AIN (KAFA) DI BAHAGIAN BETONG SARAWAK
oleh
Hafizul Rasdi, Abdul Razak Abdul Kadir, Huzaimah Ismail & Fatimah Hamrie
Peranan Guru Kafa
Hasil dapatan kajian yang telah dilakukan oleh penulis terhadap 40 orang guru KAFA di Bahagian Betong melalui kaedah perbincangan berkumpulan atau disebut Focus Group Discussion (FGD) pada 23 Mei 2013 mendapati bahawa kuota guru KAFA untuk setiap sekolah adalah mencukupi dan mereka diberi layanan yang baik oleh pentadbir serta warga sekolah. Guru KAFA juga berperanan aktif dalam membantu pelajar menguasai pembelajaran KAFA dan mengadakan program persediaan untuk calon-calon pelajar Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).
Guru-guru KAFA juga turut terlibat dalam akiviti-aktiviti sekolah dan tidak dipinggirkan. Program sekolah khususnya anjuran Panitia Pendidikan Islam dan j-QAF sentiasa melibatkan peranan guru KAFA secara lansung bagi membantu Guru Pendidikan Islam (GPI) sesi pagi. Antara aktiviti yang melibatkan guru KAFA di Bahagian Betong adalah;
i. Kem Pemantapan Akidah,
ii. Majlis Sambutan Maulidur Rasul,
iii. Program Anak Soleh,
iv. Majlis Tadarus Al-Quran,
v. Program Ihya’ Ramadhan,
vi. Majlis Khatam Al-Quran,
vii. Acara-acara kebesaran Islam
viii. Sambutan Hari Guru,
ix. Kem Bestari Solat, dan
x. Lain-Lain program anjuran pihak sekolah.
Selain itu, guru-guru KAFA di Bahagian Betong sentiasa menjalankan peranan mereka untuk mendalami ilmu pengajaran dan pedagogi pendidikan yang dianjurkan oleh pihak JAIS Betong dari semasa ke semasa. Program-program ini adalah untuk membantu guru-guru KAFA dalam menguasai metodologi pengajaran. Antara teknik pengajaran digunakan oleh guru KAFA dalam pengajaran KAFA adalah seperti berikut;
a) Pemahaman
b) Ulangan
c) Lawatan
d) Latih tubi
e) Dialog
f) Talaqi Musyafahah
g) Soal jawab
h) Perbincangan
i) Hafazan
j) Tunjuk cara
k) Projek
l) Kuiz
m) Kuliah
n) Permainan
o) Nyanyian
p) Halaqah
q) Simulasi
r) Bacaan
s) Bercerita
Aktiviti bermain adalah amat sesuai untuk murid sekolah rendah kerana dengan bermain pengajaran akan menjadi lebih seronok dan praktis untuk murid sekolah rendah (Ahmad, 2004). Pada usia ini (sekolah rendah) anak-anak menjadi lebih gembira dan berkeyakinan untuk melaksanakan apa yang mereka pelajari. Pengajaran yang diselitkan dengan permainan, pertandingan, kuiz dan riadah amat baik untuk kanak-kanak Jadi, guru-guru KAFA perlu mengubah cara serta kaedah pengajaran mereka supaya berjaya menarik perhatian murid dan menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan
Sumber:
KEKUATAN PENDIDIKAN KELAS AL-QURAN DAN FARDHU AIN (KAFA) DI BAHAGIAN BETONG SARAWAK
oleh
Hafizul Rasdi, Abdul Razak Abdul Kadir, Huzaimah Ismail & Fatimah Hamrie