Putrajaya, 25 Mac 2025 – Satu sesi perbincangan antara National Property Research Coordinator (NAPREC) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah diadakan di Bilik Melati, Aras 10, PLANMalaysia, Putrajaya. Perbincangan ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam penyebaran hasil penyelidikan bagi menyokong perancangan bandar dan pembangunan hartanah negara.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh TPr Dr. Haji Dzul Khaimi bin Khailani, Timbalan Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, PLANMalaysia, dan dihadiri oleh wakil dari pelbagai unit dalam jabatan tersebut. Turut hadir mewakili NAPREC, Institut Penilaian Negara (INSPEN), ialah Sr Dr. Mohd Arif bin Mat Hassan, Ketua Pusat Penyelidikan dan Inovasi INSPEN, bersama Pn. Fatimah binti Zulkifli dan En. Mohd Sharil bin Razali.
Sebagai sebahagian daripada perbincangan ini, dua laporan penyelidikan NAPREC dalam bentuk hardbound telah diserahkan kepada PLANMalaysia, iaitu:
Flexibility in Land Use Decision Making for Urban Farming Activities Approval Towards Food Security oleh TPr Dr. Noraini binti Omar Chong (UiTM)
Assessing The Impact of Transit-Oriented Development on Residents’ Quality of Life in Northern Malaysia oleh Dr. Badariah binti Haji Din (UUM)
Kerjasama ini diharapkan dapat meningkatkan penyebaran dan penggunaan hasil penyelidikan dalam merangka dasar serta strategi pembangunan bandar yang lebih mampan. PLANMalaysia dan NAPREC komited untuk meneruskan jalinan kerjasama ini demi kepentingan sektor hartanah dan pembangunan bandar di Malaysia.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai NAPREC dan projek-projek yang telah dilaksanakan, sila layari laman web rasmi NAPREC di https://sites.google.com/view/naprec/home atau laman web INSPEN di https://www.inspen.gov.my.
#NAPREC #INSPEN #PenyelidikanHartanah #DanaNAPREC #RealEstateResearch #PLANMalaysia #KPKT