PEMBANGUNAN SISTEM PENGURUSAN HARTA UNTUK PIHAK BERKUASA TEMPATAN DI MALAYSIA
Dzurllkanian @ Zulkarnain bin Daud
Buang bin Alias
Mohd. Safie bin Mohd
Chitrakala Muthuveerappan
Oliver Valentine Eboy
Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi,
Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.
ABSTRACT
Penggunaan teknologi komputer dalam bidang harta tanah masih pada tahap yang sangat rendah di Majlis-Majlis Kerajaan Tempatan (PBT) di Malaysia tetapi potensinya adalah sangat besar. Kajian yang dijalankan ini bertujuan untuk membangunkan satu Sistem Pengurusan Harta Tanah (PMS) sebagai perintis dalam membangunkan sistem-sistem maklumat berkomputer kerana terdapat permintaan daripada Majlis-majlis PBT. Bagi membangunkan sistem ini, kajian keperluan pengguna telah dilakukan dengan mengadakan temubual dengan pegawai-pegawai pengurusan hartatanah di beberapa buah PBT. Daripada temubual yang dijalankan, ciri-ciri sistem seperti data-data yang perlu disimpan, pangkalan data, antaramuka pengguna, pemprosesan data dan format-format laporan dapat dikenalpasti. Kemudian, rekabentuk sistem dibuat dan atur cara program sistem dijalankan. Fungsi-fungsi yang disediakan adalah seperti fungsi kemasukan data, pemprosesan data, carian data dan fungsi penyediaan laporan. Uji pakai Sistem PMS ini telah dibuat di Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Majlis Daerah Segamat (MDS) dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bagi menentukan sama ada Sistem Pengurusan Harta (PMS) ini telah memenuhi keperluan pengguna. Hasil uji pakai ini menunjukkan bahawa sistem PMS ini telah memenuhi keperluan dan spesifikasi pengguna yang dibuat semasa kajian keperluan pengguna dijalankan di awal kajian. Sistem PMS ini sesuai dan berpotensi untuk digunapakai di Majlis-majlis Kerajaan Tempatan di Malaysia. Pihak MPK, MDS dan MPBP berpendapat bahawa Sistem PMS ini mampu menjalankan kesemua fungsi-fungsi seperti kemasukan data, pemprosesan data, carian data, penyediaan data dan fungsi penyediaan laporan. Sistem PMS ini mampu melaksanakan tugas utama iaitu proses dan pengurusan kutipan sewa dan juga penyenggaraan harta dan aduan kerosakan harta tanah. Bagaimanapun, pihak MDS dan MPBP telah mencadangkan supaya dimasukkan fungsi GIS untuk mengesan lokasi harta dan fungsi AutoCAD bagi memuatkan lukisan digital bangunan serta membangunkan sistem pengurusan harta secara rangkaian. Perkara ini akan dikaji dan sistem PMS ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira komen dan cadangan dari pihak yang berkenaan.
Kata kunci: Pengurusan harta, sistem pengurusan harta, sistem pengurusan aset, Pihak Berkuasa Tempatan