LATAR BELAKANG & SEJARAH
LATAR BELAKANG & SEJARAH
NAFAS BAJAKIMIA SDN BHD
NAFAS Bajakimia Sdn. Bhd. adalah syarikat subsidiari milik penuh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan merupakan antara pembekal-pembekal utama kepada keperluan baja negara yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dalam bidang pertanian.
Melalui Program Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), NAFAS Bajakimia Sdn. Bhd. bertanggungjawab dalam mengimport, mengangkut dan mengagihkan bekalan baja tunggal dan baja sebatian kepada peladang-peladang di seluruh Malaysia, khususnya dalam bidang penanaman padi. Keperluan bekalan baja yang dibekalkan tersebut adalah untuk memenuhi aspirasi Dasar Jaminan Makanan Negara (DJMN) dimana baja-baja diimport, dikilangkan, diangkut dan diagihkan melalui cawangan-cawangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang terdapat diserata negara.
NAFAS Bajakimia Sdn. Bhd. juga memasarkan baja pada pasaran terbuka. Antara produk yang dipasarkan adalah seperti baja sawit MPOBF3 yang mengandungi Zeolite bagi menjamin kesuburan dan peningkatan hasil tanaman kelapa sawit dan sesuai digunakan di semua jenis tanaman.
SEJARAH PERTUBUHAN PELADANG KEBANGSAAN (NAFAS)
Penubuhan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah dilancarkan pada 31 Mac 1972 oleh Perdana Menteri Malaysia Ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein. Pada awal penubuhannya, NAFAS yang dikenali sebagai Persatuan Peladang Kebangsaan, telah didaftarkan di bawah Akta Persatuan Peladang 1967 dan bertindak sebagai badan induk kepada persatuan-persatuan peladang diseluruh negara.
Penubuhan Persatuan Peladang pada ketika itu telah diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak sendiri hasil daripada lawatan beliau ke Taiwan. Seiring dengan peredaran masa dan bagi membolehkan pergerakan peladang bergerak maju, persatuan-persatuan peladang dan syarikat-syarikat kerjasama asas tani diseluruh Malaysia telah dicantumkan dan menjadi Pertubuhan Peladang Kawasan dan berdaftar di bawah Akta Pertubuhan Peladang 1973. Kemudian, seiring dengan perubahan diperingkat kawasan dan negeri, Persatuan Peladang Kebangsaan juga telah didaftarkan semula sebagai ‘Pertubuhan Peladang Kebangsaan’ pada tahun 1984.
Sehingga tahun 2019, NAFAS telah dianggotai oleh 14 buah Pertubuhan Peladang Negeri, yang dianggotai oleh 279 Pertubuhan Peladang Kawasan, yang dianggotai oleh 921,931 ahli peladang diseluruh negara melengkapkan struktur tiga peringkat pertubuhan peladang.
Sesuai dengan peranan NAFAS sebagai induk Pertubuhan Peladang, NAFAS telah menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan khususnya dalam bidang pertanian. Pada awal penubuhannya, NAFAS telah menjalankan perniagaan peruncitan, pemasaran baja dan pemasaran jentera pertanian.
Kini, hasil daripada kecekapan dan kepakaran Ahli Jemaah Pengarah dan Pengurusan, NAFAS telah berjaya memperkembangkan lagi sektor perniagaannya melalui anak syarikatnya iaitu NAFAS Bajakimia Sdn. Bhd., NAFAS Jentera Sdn. Bhd., NAFAS Agri Services Sdn. Bhd., NAFAS Plastic Industries Sdn. Bhd., NAFAS Estates Sdn. Bhd., NAFAS Food Processing & Marketing Sdn. Bhd., Malaysian NPK Fertilezer Sdn. Bhd., NAFAS Modal Insan Sdn. Bhd., NAFAS Taj Agro (M) Sdn. Bhd., Agro Edaran Sdn. Bhd., NAFAS Feedmills Sdn. Bhd., NAFAS Sialin Sdn. Bhd. dan P.T NAFASINDO.
Selain memberikan fokus kepada perniagaan, NAFAS selaku apex pergerakan peladang juga tidak pernah alpa memberikan bantuan dan memenuhi tuntutan sosial ahli-ahli peladang. Melalui Tabung Kumpulan Wang NAFAS, NAFAS telah menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan memberikan bantuan kepada Pertubuhan-Pertubuhan Peladang Negeri, Pertubuhan-Pertubuhan Peladang Kawasan dan juga ahli-ahli peladang di seluruh negara.