USM, PULAU PINANG, 23 Mei 2025 :- Pembukaan pesta sukan berprestij USM, Temasya Olahraga Tahunan (TOT) Kali Ke-48 berlangsung meriah malam tadi dalam suasana nyaman penuh gemilang.
Temasya yang dianjurkan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi BHEPA ini merupakan acara sukan utama universiti dan sebagai pentas utama pelajar dan ahli sukan universiti berentap memburu kejuaraan pelbagai acara olahraga sebelum dipilih mewakili universiti ke peringkat kebangsaan.
Bertemakan Harry Potter, lebih 500 atlet daripada 9 kontinjen desasiswa melibatkan penyertaan dari Kampus Induk, Kampus Kesihatan, Kampus Kejuruteraan.
Tidak ketinggalan juga pasukan sorak dan penyokong setiap kontinjen yang turut berkumpul di Stadium Olahraga USM seawal jam 8:00 malam untuk menyaksikan perbarisan kontinjen masing-masing dan diserikan juga dengan pelbagai gimik setiap kontinjen yang diakhiri dengan pertunjukan bunga api. Bacaan ikrar temasya dibacakan oleh Saudara Ammar Syahmi Zamrin, Kapten pasukan Olahraga TOT ke 47.
Temasya Olahraga Tahunan (TOT) USM Kali Ke-48 ini telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM dan turut dihadiri oleh Prof. Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Prof. Dr. Shaiful Bahari Ismail, Pengarah Kampus Kesihatan, Prof. Dr. Azlan Amran, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Hairul Anuar Hashim, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Encik Kerwin Lim, Pengurus Pemasaran Sukan, Nestle Products Sdn. Bhd., barisan kepimpinan Majlis Yang Dipertua Desasiswa, Majlis Penghuni Desasiswa dan pegawai-pegawai utama universiti.
Dato' Seri Abdul Rahman dalam ucaptamanya berkata, gunakan platform terbaik ini untuk mencungkil bakat-bakat baharu, mengeratkan silaturahim antara kita semua, serta semarakkan semangat kesukanan yang sihat dalam kalangan kita, bersesuaian dalam menzahirkan erti sebenar ‘Together on Track’, yang merupakan motto temasya kali ini.