MAJLIS YANG DIPERTUA DESASISWA USM
LATAR BELAKANG
Majlis Yang Dipertua Desasiswa Universiti Sains Malaysia ditubuhkan secara rasmi pada 7 Disember 2020, sebagai sebuah badan induk yang menyatukan semua Yang Dipertua (YDP) Majlis Penghuni Desasiswa daripada kesemua 9 buah desasiswa di USM; 7 di Kampus Induk, 1 di Kampus Kejuruteraan dan 1 di Kampus Kesihatan. Penubuhan majlis ini merupakan satu langkah strategik untuk memperkukuh jalinan kerjasama antara pimpinan pelajar di peringkat desasiswa dan memperkasa suara mahasiswa dalam isu-isu berkaitan kebajikan, pembangunan sahsiah, dan kepimpinan di dalam komuniti desasiswa.
SEJARAH PENUBUHAN
Sebelum 2020, setiap Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) beroperasi secara berasingan di bawah pemantauan dan pentadbiran desasiswa masing-masing. Namun, setelah mengambil kira keperluan penyelarasan dasar, perkongsian sumber, dan penguatan suara pelajar di peringkat universiti, satu cadangan penubuhan majlis penyelaras di peringkat tertinggi MPD telah digerakkan. Hasilnya, pada 7 Disember 2020, Majlis Yang Dipertua Desasiswa USM ditubuhkan secara rasmi. 'MYDP' digunakan sebagai akronim bagi Majlis Yang Dipertua Desasiswa USM.
Majlis ini kini menjadi platform utama yang menghimpunkan 9 orang Yang Dipertua MPD daripada Desasiswa Aman Damai, Bakti Fajar Permai, Cahaya Gemilang Harapan, Indah Kembara, Jaya Lembaran Utama (Kampus Kejuruteraan), Murni Nurani (Kampus Kesihatan), Restu, Saujana, dan Tekun.
PERANAN & TUGAS UTAMA
Majlis ini memainkan beberapa peranan penting dalam landskap kepimpinan desasiswa di USM, antaranya:
Penyelarasan Kepimpinan Desasiswa
Menjadi platform komunikasi, perbincangan dan penyelarasan antara semua YDP MPD dalam menjalankan dasar, program dan hal ehwal pelajar di desasiswa.
Penyampaian Suara Pelajar
Bertindak sebagai wakil rasmi suara pelajar desasiswa kepada pihak pentadbiran universiti melalui Majlis Penggawa dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), khususnya dalam hal kebajikan, fasiliti, keselamatan dan kesejahteraan penghuni desasiswa.
Penganjuran Program Berskala Universiti
Menganjurkan program berskala besar secara kolaboratif antara semua desasiswa seperti konvensyen kepimpinan, seminar pembangunan sahsiah, dan kempen kesedaran sosial.
Pembangunan Kepimpinan
Menjadi wadah latihan kepimpinan dan jaringan antara pemimpin pelajar desasiswa, serta mendorong pertukaran idea dan amalan terbaik.
Pemantauan Strategik MPD
Membantu memberi panduan dan menyokong pelaksanaan inisiatif di peringkat MPD masing-masing, termasuk kolaborasi antara desasiswa.
CARTA ORGANISASI
(SIDANG AKADEMIK 2024/2025)
MEDIA SOSIAL