USM PULAU PINANG, 29 Mei 2025 :- Bertemakan “Legenda”, pentas akhir gelanggang Sayembara Warisan Pantun (SANTUN) 2025 anjuran penuh oleh Majlis Penghuni Desasiswa Aman Damai (MPDAD) menyaksikan pertembungan dua pasukan hebat iaitu Desasiswa Bakti Fajar Permai USM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM, (Kumpulan B)) yang berlangsung di Balai Pese’ban Agung, Pusat Pengajian Seni, USM pada 25 Mei 2025 baru-baru ini.
Setelah melalui pelbagai saringan bermula pada 23- 24 Mei 2025 yang dijalankan di Dewan Kuliah Z, USM, para peserta diuji dengan tema-tema pantun seperti Sustainable Development Goals (SDG), Bawang Putih Bawang Merah, Nasihat, Getaran Jiwa dan sebagainya. Kehebatan berbalas pantun serta penyampaian kreatif akhirnya membawa Desasiswa Bakti Fajar Permai muncul sebagai Juara SANTUN 2025.
Turut hadir adalah Encik Mohd Saiful Jamaluddin, Pengerusi Majlis Belia FELDA Wilayah Trolak mewakili Pengarah FELDA, Puan Roshaliza Sulaiman, Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dan Dr. Mohd Azmeer Abu Bakar, Penggawa Desasiswa Aman Damai, barisan Majlis Penghuni Desasiswa dan tetamu kehormat lain.
Shukeri dalam ucapannya berkata bahawa penganjuran program seperti ini amat penting dalam memastikan khazanah bahasa dan budaya Melayu dapat terus hidup dan dihargai, khususnya dalam kalangan generasi muda dan warga akademik.
Saudara Ahmad Zahid Zainuddin, selaku Pengarah Projek SANTUN 2025 berkata, program SANTUN ini diadakan bertujuan untuk mengangkat serta melestarikan seni pantun Melayu sebagai khazanah budaya yang kaya dengan nilai, makna dan keindahan bangsa.
Sebanyak 12 pasukan dengan penglibatan seramai 48 orang pelajar telah mengambil bahagian pada tahun ini. Antara universiti yang terlibat selain USM ialah Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).