NIBONG TEBAL, 14 JUN 2025 – Penganjuran Festival Musabaqah Al-Quran (FMQ) 2025, yang diadakan di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat dalam seni Al-Quran, tetapi juga memperkukuh perpaduan mahasiswa dalam menghayati nilai-nilai Islam selari dengan pembangunan Insan MADANI.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan daripada semua desasiswa USM yang merangkumi Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan, menerusi lima acara utama iaitu Tilawah Al-Quran, Hafazan, Pidato Agama, Seni Khat dan Azan.
Desasiswa Jaya Lembaran Utama bertindak sebagai tuan rumah bagi edisi kali ini, dengan membawa tema "Sinar Kalamullah, Teras Insan MADANI", yang membawa maksud penghayatan mendalam terhadap Al-Quran sebagai pedoman utama bagi melahirkan identiti Muslim yang seimbang dari segi rohani, akhlak dan intelek.
Penggawa Desasiswa Jaya Lembaran Utama, Hasliza Mat Saad, yang turut mewakili Pengerusi Majlis Penggawa USM, menyifatkan FMQ sebagai sebuah landasan untuk menyatukan mahasiswa USM yang berbilang latar belakang dalam suasana keilmuan dan ukhuwah yang harmoni.
“Inisiatif sebegini bukan sahaja menyemarakkan syiar Islam, tetapi juga menyuburkan rasa cinta terhadap Al-Quran dalam kalangan warga USM. Ia turut memperkukuh nilai-nilai sahsiah terpuji serta jati diri mahasiswa sebagai Insan MADANI,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan Desasiswa Jaya Lembaran Utama, Majlis Penghuni Desasiswa JLU (MPDJLU) selaku penganjur utama, Pusat Islam Kampus Kejuruteraan sebagai rakan kerjasama, serta sekretariat FMQ 2025 yang dianggotai oleh wakil daripada semua desasiswa USM.
Menurut beliau, program ini bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi merupakan wadah untuk memupuk pemahaman Al-Quran yang lebih mendalam dalam kehidupan seharian mahasiswa serta melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, dan berdaya saing selaras dengan nilai-nilai Islam.