USM PULAU PINANG, 11 Mei 2025 – Debat Piala Naib Canselor (DPNC) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gilang gemilang pada malam kemuncak yang berlangsung di Dewan Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni, Kampus Induk Universiti Sains Malaysia.
Acara berprestij ini telah berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Mei 2025, dengan edisi kali ini yang dianjurkan oleh Desasiswa Restu selaku tuan rumah.
Pada majlis yang sama, Pengarah Projek DPNC, Nurisha Farina Iskandar berkata, DPNC merupakan inisiatif bermakna yang mengasah keupayaan mahasiswa dalam komunikasi berimpak serta menyokong aspirasi pembangunan lestari Universiti Sains Malaysia.
Dengan kehadiran lebih daripada 200 orang penonton memberikan sokongan, dan penjurian mantap daripada 7 orang juri profesional, DPNC kali ini telah membuktikan bahawa debat bukan sekadar pertandingan, tetapi wadah membentuk karakter dan kepimpinan mahasiswa masa depan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian istimewa daripada Pegawai Kebudayaan Kanan, Dewan Budaya USM, Andy Siti Nurhidayah Rahim, yang telah memukau hadirin dengan kelunakan suara beliau dan menambahkan kemeriahan acara penutup pada malam tersebut.
Turut hadir ke majlis ini adalah Timbalan Pengerusi Majlis Penggawa Desasiswa Indah Kembara, Ts. Dr. Shahrizal Nazri; Penggawa Desasiswa Restu; Dr. Lim Chee Ann, Wakil Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Zainal Abidin Zain; Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Linguistik Malaysia, Mohamad Zaki Abdul Halim; Pengerusi Majlis Yang di-Pertua Majlis Penghuni Desasiswa USM, Jaz Zairil Abdul Jamin @ Abdul Jamil; barisan Majlis Penggawa, barisan kepimpinan Majlis Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa (MYDP MPD), serta barisan pengurusan Desasiswa.