KONSEP ASAS ISLAM 1.1 ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP
KONSEP ASAS ISLAM 1.1 ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP
KLIP VIDEO BERKAITAN TAJUK IMAN DAN ISLAM.
ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP
OLEH
MUHAMMAD NASIR BIN ZAIN
POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH
4.0 ISLAM SEBAGAI SATU CARA HIDUP.
Penggabungan diri dengan agama Islam bukanlah secara warisan, bukan secara hobi malah ia juga bukan penggabungan secara zahir sahaja. Sebenarnya
penggabungan yang dimaksudkan ialah penggabungan dengan ajaran Islam itu sendiri dengan cara berpegang teguh dengan seluruh ajaran Islam serta menyesuaikan diri dengan Islam di segenap bidang kehidupan dengan penuh kerelaan.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala:
Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.(Surah Al-Hajj 22: Ayat 78).
4.1 Memahami kepentingan Islam dalam kehidupan manusia:
Islam adalah agama yang benar dan diredhai oleh Allah s.w.t. Ia adalah suatu cara hidup yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan setiap mukmin. Cara hidup mukmin yang diterima Allah mestilah berteraskan kepada asas aqidah Islam. Aqidah mukmin memerlukan kesepaduan antara iman, islam dan ihsan untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.Ajaran Islam hendaklah dihayati secara menyeluruh seperti mana ia diturunkan sama ada dalam bentuk aqidah atau syariat yang bersumberkan al Quran dan as-Sunnah. Setiap muslim tidak terkecuali dari mengikut seluruh ajaran Islam.
1.1 ERTI PERKATAAN ISLAM
1.Islam berasal daripada bahasa Arab ‘aslama’. Dari segi bahasa ia bermaksud taat, patuh, berserah diri, selamat dan sejahtera.
2.Dari segi istilah syarak pula, Islam memberi makna tunduk dan patuh serta menyerah diri kepada Allah s.w.t. dengan beriman kepadanya dan mengamalkan segala ajaran yang dibawa oleh rasulNya.
3.Islam menurut pengertian khusus adalah agama yang diajarkan oleh nabi Muhammad s.a.w.
4.Menurut pengertian umum Islam bererti agama yang diajar oleh semua nabi dan rasulullah s.a.w. bermula dari nabi Adam hingga nabi Muhammad s.a.w. tetapi perlu diingat hanya agama yang masih aslidan murni mengikut ajaran rasul dikira sebagai Islam. Sekiranya ajaran tersebut telah berubah dari ajaran asalnya maka ia tidak dianggap sebagai agama Islam.
5.Ciri-ciri agama Islam ialah bersifat rabbani, syumul, sejagat, umum, universal, tetap dan ada balasan di dunia dan akhirat.
Memahami akan kepentingan Islam sebagai satu cara hidup.
1.1.1 Saya mestilah muslim di sudut akidah.
Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ia mestilah beriman dengan apa yang telah diimani oleh orang-orang Islam terdahulu yang terdiri dari angkatan Salafus-Saleh serta para Imam penyampai agama ini yang telah diakui kebaikan, kebaktian serta ketakwaan mereka. Mereka ini mempunyai kefahaman yang mendalam lagi bersih dalam urusan agama.
Untuk memastikan diri saya benar-benar Muslim, mestilah menepati perkara-perkara berikut:
1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun. Buktinya jelas pada kejadian alam
ini yang penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan di antara juzuk dengan juzuk yang lain. Adalah mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa.
Firman Allah s.w.t:
Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa
yang mereka sifatkan. (Surah Al-Anbiya' 21: Ayat 22)
2. Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Mada Mulia tidaklah mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kerana mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan itu mencipta sesuatu secara sia-sia. Adalah mustahil seseorang itu dapat memahami maksud tujuan Allah menjadikan sesuatu secara terperinci
melainkan melalui penjelasan Rasulullah s.a.w dan wahyu dari Allah s.w.t sendiri.
Firman Allah s.w.t:
Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka(dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia. (Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)
3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka, mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka akan
kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul terakhir dari kalangan Rasul-rasul yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah kurniakan kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan.
Firman Allah s.w.t:
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima
seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasulrasulnya.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)
4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah 'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri menjelaskannya, memberi penuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah s.w.t:
Maksudnya; Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu.
5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi derhaka ialah api neraka. Allah menjelaskan:
"....sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka." (Surah Al-Syura 42:Ayat 7)
6. Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Tidak harus sama sekali manusia mendahului atau membelangkanginya. (jangan menolak / bantah)
Firman Allah s.w.t:
Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya
terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku;kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam
segala keadaan). (Surah Al-Syura 42: Ayat 10)
7. Saya mestilah berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah yang layak bagi kemuliaanNya.
Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w
telah bersabda:
"Allah s.w.t mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu seratus.
Sesiapa yang menghafaznya akan memasuki syurga. Allah itu ganjil (tunggal)
dan menyukai (bilangan) yang ganjil." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)
8. Saya mestilah berfikir merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah, bukan memikirkan tentang ZatNya sebagai mengikuti dan mentaati perintah Rasulullah s.a.w:
"Berfikirlah kamu tentang makhluk ciptaan Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang ZatNya kerana kamu tidaklah mengetahui keadaan sebenarnya."
9. Saya juga mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata tidak menyekutukan dengan yang lain.
10. Saya juga wajib menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang menjadikan hati saya sentiasa merasa rindu dan terikat denganNya. Kecintaan itu juga mendorong saya menambah amalan-amalan kebaikan,berkorban dan berjihad di jalannya di sepanjang masa.
1.1.2 Saya mesti muslim di sudut ibadah.
Ibadah di dalam Islam merupakan kemuncak bagi sifat kepatuhan dan kerendahan kepada Allah dan ia juga adalah kemuncak betapa ia merasai keagungan Tuhan yang disembah.
Islam menetapkan bahawa keseluruhan kehidupannya mesti dalam keadaan ibadah kepada Allah Taala
Firman Allah :
Maksudnya :
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (56) Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. (57) Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (58)-(Azzariiyaat)
Firman Allah:
Maksudnya:
Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-Anaam162)
Untuk memastikan bahawa saya benar-benar dikira tergolong dalam ahli ibadah, mestilah memenuhi tuntutan berikut:
1- Saya mestilah memastikan 'ibadah saya mempunyai hubungan dengan Tuhan yang disembah. Inilah apa yang dikatakan martabat "keihsanan dalam 'ibadah".
Rasulullah s.a.w sendiri pernah ditanya (oleh malaikat
Jibril) tentang martabat "ihsan" ini, lalu baginda menjawab:
"Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatnya (sekalipun) sebenarnya Ia melihat engkau (Hadis Muttafaqun
'Alaih).
2- Saya mestilah melakukan 'ibadah dengan penuh khusyuk sehingga saya dapat merasai kelazatan serta kemanisannya malah mendatangkan kekuatan kepada saya untuk berterusan mengerjakannya.
3- Saya mestilah beribadah dalam keadaan hati saya merasai kehadiran Allah, membuang dan melupakan kesibukan dunia dan hiruk-pikuknya.
Rasululllah bersabda:
Maksudnya:
"Allah s.w.t tidak memandang kepada sembahyang seorang lelaki yang mengerjakan tanpa kehadiran hati berserta gerak badannya."
Al-Hassan Al-Basri meriwayatkan:
"Setiap sembahyang yang tidak disertai kehadiran hati, maka ia adalah lebih hampir kepada seksaan."
4- Saya mestilah menjadikan doa sebagai perantaraan dengan Allah didalam setiap urusan hidup kerana doa adalah otak bagi segala 'ibadah.
Firman Allah :
Maksudnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul(AlBaqarah 186)
1.1.3 Saya mesti Muslim di sudut akhlak.
Kemuliaan akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran Islam sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w tentang tujuan pengutusan baginda:
Yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak".
Hal ini dipertegaskan lagi di dalam Al-Quran:
Yang bermaksud: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah Al-Hajj, Ayat: 41).
Oleh itu untuk memenuhi tuntutan akhlak dalam Islam saya mestilah :
1.Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat.
Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan ajaran dari hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
Yang bermaksud: Sesungguhnya yang hala itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa yang memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam kesamaran,jatuhlah ia ke dalam yang haram, seperti seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkannya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).
2. Memelihara Penglihatan:
Seseorang muslim itu mestilah memelihara dirinya dari melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan merupakan faktor yang membawanya ke kancah pelanggaran dan maksiat. Berhubung dengan perkara-perkara ini Al-Quran mengingatkan orang orang mukmin supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah.
Allah s.w.t berfirman:
Yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram). (Surah An-Nur, Ayat: 30).
3. Memelihara Lidah:
Seseorang muslim mestilah memelihara lidahnya dari menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, perbuatan-perbuatan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat keji dan mengadu domba.
Imam Nawawi rahimahullah mengatakan:
Ketahuilah, seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang.
4. Bersifat Pemalu:
Seseorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya dari memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup
serta memadai sekadar yang ada serta sifat-sifat seumpamanya.
Berhubung dengan sifat malu ini para ulama mengatakan:
Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan dan menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.
5. Bersifat Lemah-lembut dan Sabar:
Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang Muslim ialah sifat sabar dan lemah-lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan
yang memalukan.
Semua halangan-halangan ini sering dihadapi oleh para petugas amal Islami, sehingga hemah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah.
Firman Allah:
Yang bermaksud: Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar danmemaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian ituadalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).
(Surah Asy-Syura, Ayat: 43).
6. Bersifat Benar dan Jujur.
Seorang muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seseorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti dia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya. Berhatihati
dan memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa
seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh
menghadapi hasutan dan tipu-daya syaitan.
Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa besih, mulia dan terhindar dari tipu-daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakitpenyakit
yang laknat.
7. Bersifat Rendah Diri.
Seseorang muslim mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya terhadap saudara-saudaranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberikan layanan) sama ada yang miskin mahupun yang kaya. Rasulullah s.a.w sendiri memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri).
Baginda bersabda:
Yang bermaksud: “Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah (sedikit) sifat takbut.” (Hadis riwayatMuslim).
8. Menjauhi Sangka Buruk dan Mengumpat:
Menjauhi sangka buruk, mengumpat dan mengintai-intai
keburukan orang lain. Oleh itu seseorang itu mestilah menjauhi sifatsifat
ini kerana mematuhi firman Allah:
Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika
demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah Al-Hujuraat, Ayat: 12).
9. Bersifat Pemurah.
Seorang Muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari
kalangan mereka yang berkedudukan, bercita-cita tinggi serta berpangkat gugur tercicir dari jalan ini, disebabkan oleh sikap rakus terhadap mata benda.
Firman Allah :
Yang bermaksud: Yang mereka mendirikan solat, dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami
kurniakan kepada mereka. (Surah Al-Anfaal, Ayat: 3).
10. Qudwah Hasanah (Suri Teladan Yang Baik)
Selain dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah-lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.
1.1.4 Saya mestilah Muslim di sudut berkeluarga.
Sebenarnya apabila saya telah menganut agama Islam, saya wajib menjadi seorang pendukung risalah ini di dalam kehidupan bahkan saya wajib menjadikan seluruh kehidupan saya mematuhi segala arahan risalah ini.
Maka apabila anutan saya terhadap Islam mewajibkan saya menjadi Muslim di dalam sudut kejiwaan, akidah, ibadah dan akhlak maka kewajipan yang sama juga menuntut saya berusaha menjadikan masyarakat yang saya hidup di dalamnya sebagai masyakat muslim.
Langkah pertama dari tanggungjawab ini dan merupakan langkah yang bersifat tabii dalam usaha ini, saya mestilah jadikan rumah-tangga saya sebuah rumah-tangga muslim. Saya mestilah menyampaikan risalah Islam kepada
"masyarakat kecil saya" yang terdiri dari ahli-ahli keluarga saya, isteri-isteri saya, anak-anak saya, seterusnya kepada kaum kerabat saya yang dekat dan inilah cara yang dilakukan oleh Rasulullah di permulaan dakwahnya.
Firman Allah:
Maksudnya: Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orangorang yang beriman. (Surah Al-Syu'ara' 26: Ayat 214-215)
1- Tanggungjawab Sebelum Berumah-tangga.
Untuk membantu saya menjayakan usaha membina sebuah rumah-tangga yang baik, Islam telah menunjukkan beberapa anasir dan sebab-sebab yang memudahkan tanggungjawab dan pencapaian matlamat pembinaan
rumah-tangga saya.
Di antaranya ialah:
a. Saya mestlah memastikan perkahwinan saya adalah kerana Allah atau dengan kata lain membina rumah-tangga muslim, untuk melahirkan keturunan yang salih, menjadi keluarga yang mampu menunaikan amanah serta memastikan pelaksanaan hidayah Allah itu secara berterusan.
b. Saya mestilah menjadikan tujuan perkahwinan saya adalah untukmenjaga pandangan saya, memelihara kemaluan saya serta bertakwa kepada Allah.
c. Saya mestilah memilih bakal isteri yang baik kerana bersamanyalahsaya berkongsi hidup dan menjadi teman dalam perjuangan.
d. Saya mestilah memilih wanita yang baik akhlak dan peganganagamanya sekalipun ia mungkin tidak punya harta kekayaan dankecantikan.
e. Saya mestilah berhati-hati supaya tidak menyalahi perintah Allahdalam urusan ini, kerana takut kemurkaan dan seksaan Allah
2- Tanggungjawab Selepas Berumah-tangga.
Sebenarnya pemilihan bagi mendapatkan isteri yang baik oleh saya tidaklah bererti terlepasnya tanggungjawab terhadapnya selepas perkahwinan. Malah tanggungjawab yang lebih besar segera bermula sebaik sahaja saya berumah-tangga.
Di antara tanggungjawab tersebut diperturunkan seperti berikut:
a. Saya mestilah berlaku baik terhadapnya dan memuliakan dalam hubungan muamalah untuk membina jambatan saling mempercayai di antara saya dengannya.
b. Hubungan saya dengan isteri tidak seharusnya terbatas kepadahubungan di tempat tidur dan melepaskan keinginan syahwat sahaja.Malah hubungan antara kami itu mestilah hubungan yang dapatmenjalinkan persefahaman dalam pemikiran, kejiwaan dan kasihsayang. Kami sama-sama membaca, menunaikan sebahagian dari'ibadat bersama-sama turut mengatur urusan rumah-tangga danmeluangkan waktu tertentu untuk bergurau senda dan bermanja.
Allah s.w.t berfirman:
Maksudnya:
"Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan sembahyang dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya..." (Surah Taha 20: Ayat 132)
c. Selain dari perkara-perkara di atas, seluruh hubungan saya denganisteri saya mestilah tidak terkeluar dari batas-batas syariat, tidakmenjatuhkan nama baik Islam dan tidak tercebur ke dalam hal-hal
yang haram.
3. Tanggungjawab Bersama Dalam Mendidik Anak-anak.
Sebenarnya kejayaan dalam perkahwinan dengan memilih isteri yang salihah dan membentuk pasangan suami-isteri yang serasi dengan acuan Islam merupakan saham yang sangat besar dalam membantu melaksanakan pendidikan Islam kepada anak-anak.
Sebaliknya kegagalan perkahwinan dan tersalah pilih bakal isteri adalah punca kepada keburukan dan keruntuhan ke atas rumah-tangga seluruhnya. Apapun pertentangan yang berlaku dalam kehidupan suami isteri akan memberi kesan secara langsung ke dalam pendidikan anak-anak dan jiwa mereka. Ekoran dari ini sebahagian dari sifat-sifat kekusutan jiwa dan penyimpangan akan diwarisi pula oleh anak-anak.
Oleh yang demikian anasir yang pertama yang dapat menjamin terlaksananya pendidikan secara Islam ke atas kanak-kanak ialah melaksanakan perkahwinan menurut yang dianjurkan oleh Islam.
Firman Allah:
Maksudnya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa denganberkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriatketurunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya danjadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.
(Surah Al-Furqan 25: Ayat 74)
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Apabila mati seorang anak Adam, terputuslah segala amalan (dari dia) kecuali tiga (kebaikan): Sedekah jariah (yang ikhlas), ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang salih yang mendoakan (kebaikan) untuknya".
(Hadith riwayat Muslimdaripada Abu Hurairah)
1.1.5 Saya mestilah mampu mengawal diri.
Di dalam kehidupan ini insan bertarung dengan dirinya sendiri. Adakalanya ia menang dan adakalahnya ia kecundang atau ia tetap dalam pertarungan yang
berterusan. Sememangnya pertarungan ini berterusan sehinggalah ajal maut menjemputnya.
Firman Allah:
Maksudnya:
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang
membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambahtambah
bersih (dengan iman dan amal kebajikan),Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya
(dengan sebab kekotoran maksiat).
(Surah Asy-Syams 91: Ayat 7-10)
Dalam pertarungan menghadapi nafsu manusia terbahagi kepada 3 golongan:
1. Golongan yang tunduk mengikut hawa nafsu mereka.
Mereka hidup dengan keseronokan di atas muka bumi ini dan ingin hidup berkekalan di dunia. Mereka adalah orang-orang kafir dan orang yang mengikuti jejak langkah mereka. Golongan ini melupai (kebesaran dan nikmat) Allah, lalu Allah juga membiarkan mereka.
2. Golongan yang bermujahadah dan bertarung menentang hawa nafsunya.
Dalam menentang hawa nafsunya ada kalanya golongan ini mencapai kemenangan dan ada kalanya mereka kecundang. Apabila terlibat dalam kesalahan mereka segera bertaubat. Begitu juga bila mereka melakukan maksiat mereka segera sedar dan menyesal serta memohon keampunan dari Allah.
Allah berfirman:
Maksudnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun
akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Surah Al-'Imran 3: Ayat 135)
3. Golongan yang terpelihara (dari kejahatan dan dosa).
Golongan ini adalah dikalangan para anbiya dan rasul-rasul yang ma’sum terpelihara dari segala dosa dan sentiasa dipelihara Allah.
1.1.6 Saya mestilah yakin bahawa masa depan di tangan Islam.
Keimanan saya dengan Islam sepatutnya sampai ke peringkat meyakini bahawa masa depan kelak ialah milik Islam. Justeru itu Islamlah yang paling ampuh dan mampu untuk menyusun urusan hidup dan memimpin manusia.
Agama Islam adalah satu-satunya manhaj atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia. Ia dapat mengimbangkan tuntutan lahiriah dan rohaniah insan.
Allah berfirman:
Yang bermaksud: Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya, lagi Maha
Mendalam Pengetahuan-Nya! (Surah Al-Mulk, Ayat: 14).
A. Manhaj Islam Bersifat Rabbani.
Manhaj Islam yang bersifat Rabbani merupakan satu corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Ia mampu untuk kekal dan memberikan saham tamaddunnya di setiap zaman, tempat dan peringkat.
B. Manhaj Islam Bersifat Universal (Sejagat).
Manhaj Islam yang bersifat sejagat atau universal menyerlahkan ciri-ciri keinsanan dan ciri "infitah" (bersifat terbuka atau kelapangan) serta daya untuk menanggung kemungkinan-kemungkinannya. Ciri "infitah" ini mengatasi pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan
sebagainya. Cara ini sebenarnya adalah cetusan dari "Sibghah Rabbaniyah" itu sendiri.
C. Manhaj Islam Bersifat Anjal (Murunah).
Keanjalan manhaj hidup Islam (atau fleksibel) memberikannya daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti "Sibghah" atau cara ini memberikan Islam kebolehan untuk berijtihad menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tidak ada nas, sama ada melalui qias atau maslahah mursalah, Istihsan dan sebagainya.
D. Manhaj Islam Bersifat Syumul atau Menyeluruh
.
Ciri manhaj Islam yang menyeluruh membedakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat yang terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mengetahui segala masalah manusia, baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa yang membahagiakan dan apa pula yang mencelakakan manusia. Sebab itu Islam sahajalah yang mampu memenuhkan keperluan manusia, baik sebagai individu, mahupun sebagai kelompok, baik dalam urusan pimpinan mahupun perundangan. Sama ada dalam urusan dalam negeri mahupun luar negeri.
Allah s.w.t berfirman:
Yang bermaksud: (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah yang mencorakkan seluruh
kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat.
(Surah Al-Baqarah, Ayat: 138).
E. Kegagalan Sistem-sistem Ciptaan Manusia.
Kemudian saya harus mengetahui dan menginsafi tentang selok-belok serta kegagalan yang dialami oleh sistem hidup dan ciptaan manusia, baik di timur mahupun di barat. Sama ada yang berfahaman kapitalisme, demokrasi, liberal, sosialisme atau komunisme. Tidak syak lagi ini adalah
kerana keterbatasannya, kelemahannya, sifat sementaranya dan hakikat ianya dari ciptaan insan yang amat lemah.
E.1 Kegagalan Sistem Sosial.
E2. Kegagalan Sistem Ekonomi
E.3 Kegagalan Sistem Politik.
E.4 Kegagalan Sistem Ketenteraan