Sampel kajian terdiri 80 siswa guru IPG Kampus Bahasa Antarabangsa. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif dengan menggunakan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) versi 29.0 iaitu min dan sisihan piawai bagi menentukan tahap penerimaan responden terhadap Model Prompt2Teach. Instrumen soal selidik bagi kajian ini dibangunkan berasaskan Technology Acceptance Model yang merangkumi lima konstruk utama iaitu Perceived Usefulness (PU), Perceived Ease of Use (PEOU), Attitude Toward Use (ATU), Behavioral Intention to Use (BI) dan Actual Use (AU) oleh Davis (1989). Soal selidik pula diadaptasi dari kajian Amir-Rudin et al.,(2055).Menurut Amir-Rudin et al. (2025), penerimaan AI dalam pendidikan tinggi dipengaruhi oleh persepsi terhadap kegunaan dan kemudahgunaan teknologi. Justeru, Model Prompt2Teach ini digunakan bagi menilai tahap penerimaan siswa guru dalam amalan pendigitalan PdPc.
Kerangka Technology Acceptance Model (TAM) oleh Davis (1989)
Berdasarkan analisis dapatan kajian, nilai kebolehpercayaan instrumen yang diperoleh melalui ujian Alpha Cronbach menunjukkan tahap konsistensi dalaman yang sangat tinggi. Nilai Alpha Cronbach bagi 23 item soal selidik ialah 0.974, sekali gus membuktikan bahawa instrumen kajian mempunyai tahap kestabilan dan ketekalan yang sangat baik untuk digunakan dalam kajian ini. Menurut interpretasi kebolehpercayaan instrumen, nilai Alpha Cronbach melebihi 0.90 menunjukkan bahawa item-item yang dibangunkan mempunyai hubungan yang konsisten dan mampu mengukur konstruk kajian secara tepat serta boleh dipercayai. Oleh itu, instrumen soal selidik yang digunakan adalah sesuai untuk mengukur aspek kebolehgunaan Model PROMPT2TEACH dalam kalangan siswa guru IPG Kampus Bahasa Antarabangsa.
Selain itu, analisis soal selidik adaptasi Model TAM (Davis, 1989) menunjukkan bahawa semua konstruk mencatatkan skor min yang tinggi, iaitu melebihi 4.00. Konstruk tingkah laku memperoleh skor min tertinggi iaitu 4.55 dengan sisihan piawai .671, diikuti oleh sikap (min = 4.54, SP = .700), kegunaan (min = 4.45, SP = .658), kemudahgunaan (min = 4.35, SP = .705) dan penggunaan (min = 4.10, SP = .933). Dapatan ini menunjukkan bahawa siswa guru memberikan persepsi yang sangat positif terhadap penggunaan Model PROMPT2TEACH dalam amalan pendigitalan pendidikan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI). Nilai sisihan piawai yang sederhana turut menggambarkan bahawa respons responden adalah konsisten dan tidak menunjukkan perbezaan yang terlalu ketara antara peserta kajian.
Secara keseluruhannya, dapatan kajian membuktikan bahawa Model PROMPT2TEACH mempunyai tahap kebolehgunaan yang tinggi serta diterima secara positif oleh siswa guru IPG. Model ini bukan sahaja berupaya meningkatkan penerimaan teknologi dalam kalangan siswa guru, malah berpotensi memperkukuh amalan pendigitalan pendidikan melalui pengintegrasian teknologi kecerdasan buatan secara lebih sistematik, inovatif dan berkesan dalam proses PdPc.