Ini adalah keratan akhbar BH ONLINE sebagaimana tersiar pada 26 Disember 2017.
Setelah berita ini ditulis, sebenarnya pada 8/1/2018 pihak Maktab Adabi diberi peluang untuk meneruskan sekolahnya di Jalan Majidi.
Sumber Berita dari Berita Harian Selasa, 26 Disember 2017 | 10:54pm
Oleh Badrul Kamal Zakaria
MUAR: Selepas 45 tahun berbakti dalam bidang pendidikan, Maktab Adabi Maharani (MAM) yang beroperasi di Lorong Adabi, Jalan Khalidi, di sini, akan ditamatkan operasinya pada 31 Disember ini.
Ini berikutan tapak operasi MAM akan dikembalikan kepada waris pemilik asal tanah. Selain berdepan masalah dari segi kewangan dan jumlah pelajar semakin berkurangan, ia bakal mengakhiri inisiatif tiga anak muda ketika itu yang memperjuangkan pendidikan anak bangsa.
KEADAAN pelajar yang ramai memenuhi setiap ruang bilik darjah di Maktab Adabi Maharani sekitar 1972 hingga 1980-an. - Foto ihsan Maktab Adabi Maharani
Ironinya, MAM menjadi antara institusi pendidikan terakhir di bawah Kumpulan Maktab-Maktab Adabi Sdn Bhd (KMMASB) yang ditutup sejak tahun 2000 selepas 10 maktab sama termasuk Sekolah Maktab Adabi Gaya Pos ditutup, tahun lalu.
Pengetua MAM, Zakaria Abu Bakar, berkata institusi pendidikan itu yang ditubuhkan pada 1972 mempunyai kira-kira 30,000 bekas pelajar sejak awal penubuhannya sehingga kini.
Katanya, MAM ditubuhkan bagi memperkasakan pendidikan orang Melayu dan Bumiputera, namun ia tidak menghalang sekolah swasta berkenaan untuk menerima pelajar dari kaum lain termasuk Cina dan India.
PENGETUA MAM, Zakaria Abu Bakar (duduk tengah) bergambar bersama pelajar terakhir yang mendapat pendidikan di Maktab Adabi Maharani. - Foto ihsan Maktab Adabi Maharani
"MAM menerima pelajar berbilang kaum dari seluruh Johor, Melaka dan pelajar lain dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. Ia pernah mengecapi zaman kegemilangan sekitar 1980-an apabila menerima lebih 1,500 pelajar bagi satu sesi penggal persekolahan sahaja.
"Bagaimanapun, perubahan Dasar Pendidikan Negara, liberalisasi Kementerian Pendidikan serta pembukaan lebih banyak kolej swasta, kemahiran dan kewujudan perindustrian menyebabkan jumlah pelajar semakin merosot," katanya yang berkhidmat di MAM sejak 1984.
Bercerita mengenai sejarah penubuhan Maktab Adabi, Zakaria yang mesra dengan panggilan cikgu berkata, institusi itu adalah cetusan idea lepasan graduan Universiti Malaya yang diketuai oleh Datuk Hasan Harun bersama beberapa rakannya dalam usaha untuk memajukan ekonomi serta pendidikan orang Melayu khususnya di Kelantan.
PENGETUA MAM, Zakaria Abu Bakar (duduk tengah) bergambar dengan tenaga pengajar Maktab Adabi Maharani sekitar 1990-an hingga 2000-an. - Foto ihsan Maktab Adabi Maharani
"Atas kesedaran ini, mereka menubuhkan Maktab Adabi yang namanya diambil sempena tokoh pejuang nasionalisme Melayu iaitu Abdul Kadir Adabi. Pembukaan sekolah pertama di Kota Bharu, Kelantan pada 1970 kemudian membawa kepada pembukaan cawangannya di beberapa lokasi di Semenanjung.
"Antara cawangan Maktab Adabi yang dibuka selepas itu ialah Pasir Mas dan Pasir Puteh di Kelantan; Alor Setar (Kedah); Bukit Mertajam (Pulau Pinang); Kuantan (Pahang) dan Muar. Ada lebih kurang sembilan cawangan dan ada antaranya saya sudah lupa lokasinya.
"KMMASB turut memperkenalkan Sekolah Adabi Gaya Pos iaitu sejenis pembelajaran menerusi sistem pos bagi memberi peluang kepada pelajar di Sabah dan Sarawak serta mereka yang berada di kawasan pedalaman menikmati akses pendidikan ditawarkan," katanya.
ANTARA aktiviti pelajar di Maktab Adabi Maharani. - Foto ihsan Maktab Adabi Maharani
Zakaria berkata, institusi pendidikan itu kemudian menerima sambutan hangat, terutama bagi mereka yang ingin menyambung semula persekolahan, keciciran persekolahan dan mengulang semula peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
"Maktab ini turut mendapat perhatian pelbagai pihak dan menerima lawatan daripada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Almarhum Sultan Kelantan serta Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang. Lebih membanggakan, walaupun menjadi 'peluang kedua', ramai lepasan pelajar yang berjaya dalam bidang masing-masing dalam sektor awam dan swasta," katanya.
PENGETUA MAM, Zakaria Abu Bakar beramah mesra dengan pelajar pada satu majlis sekitar 1990-an. - Foto ihsan Maktab Adabi Maharani
Mengenai MAM, beliau yang kini berusia 55 tahun berkata, sekolah swasta terbabit ditubuhkan pada 1972 oleh Pengerusi KMMASB, iaitu Datuk Syed Mansor dengan mengambil alih tapak Sekolah Inggeris Maharani (MES) yang dimiliki Mendiang Tan Sri G Pasamanickam.
"Seramai 200 pelajar memulakan sesi pembelajaran pada 1972 di MAM dengan pengenalan peperiksaan iaitu Lower Certificate of Education (LCE) atau Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Malaysia Certificate Education (MCE) atau Higher School Certificate (HSC) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
"Pada awalnya, MAM menggunakan sistem dwi-bahasa kerana beberapa mata pelajaran bagi tingkatan tiga hingga enam masih menggunakan aliran Inggeris. Pada waktu itu, sistem pendidikan dikenali sebagai zaman transisi iaitu peralihan dari aliran Inggeris kepada aliran kebangsaan.
TOKOH pejuang nasionalisme Melayu, Abdul Kadir Adabi. - Foto ihsan Maktab Adabi Maharani
"Beberapa guru dari MES turut berkhidmat di MAM sehinggalah zaman transisi ini berakhir pada 1978 hingga 1979. Sejak itu MAM mula dikenali kerana bilangan pelajarnya yang ramai dan sistem pengurusannya juga teratur kerana dikawal selia oleh KMMASB," katanya.
Zakaria berkata, keputusan cemerlang pelajar MAM dalam peperiksaan awam menyebabkan prestasi maktab berkenaan meningkat kerana beberapa keputusan yang diraih mengatasi beberapa sekolah menengah milik kerajaan.
"Bagaimanapun, berlaku kemerosotan jumlah pelajar yang amat ketara pada awal 2000-an hingga mendorong KMMASB mengambil keputusan mengekalkan pengurusan sekolah dan pentadbiran kepada budi bicara cawangan masing-masing.
PENGETUA MAM, Zakaria Abu Bakar. - Foto Badrul Kamal Zakaria
"Akhirnya, MAM diserahkan kawalan pengurusan tanpa bantuan daripada ibu pejabat bermula pada 2007. Keadaan ini menyebabkan beberapa cawangan maktab ini mengambil keputusan untuk menutup operasinya dan yang tinggal ialah MAM dan Maktab Adabi Pahang (MAP) di Kuantan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya mendapati pola kemasukan pelajar ke MAM mula berubah daripada pelajaran keciciran sekolah dan mengulang peperiksaan SPM kepada pelajar daripada Madrasah di sekitar daerah ini yang menduduki peperiksaan kali pertama dalam peperiksaan awam itu.
"Sebanyak 60 hingga 70 peratus pelajar daripada Madrasah ini meningkatkan semula jumlah pelajar di MAM dan memberi semangat kepada kami untuk meneruskan sistem persekolahan harian. Itu pun hanya seramai 80 pelajar yang masih bersekolah di sini.
"Bagaimanapun, selepas pemilik tanah meninggal dunia, pewarisnya kini mahu mengambil alih semula kawasan tanah yang menjadi tapak MAM ini sejak 1972. Operasi MAM dijangka ditamatkan pada 31 Disember ini," katanya.
Zakaria berkata, pihaknya tidak ada sebarang perancangan sama ada akan meneruskan operasi MAM di premis lain atau menutup terus operasi berkenaan.
"Kini kami sedang berbincang dengan pihak madrasah berikutan MAM adalah institusi pendidikan swasta terakhir di Muar.
"Kami berharap menerusi artikel yang disiarkan BH ini, kami akan dapat mengumpul semua bekas penuntut MAM sejak 1972 sehingga kini. Ini kerana MAM mungkin menjadi sebahagian daripada nostalgia dalam kehidupan mereka," katanya.
Sementara itu, beberapa bekas pelajar MAM meluahkan rasa sayu apabila mendapat tahu institusi pendidikan berkenaan akan ditamatkan operasinya akhir bulan ini.
Ramai dalam kalangan bekas pelajar MAM menganggap institusi itu bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi menjadi penyelamat dan platform terbaik sehingga mereka mampu mencapai kejayaan.
Pengarah Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Kampus Pagoh, Prof Datuk Dr Abdul Razak Omar, berkata beliau terkilan apabila mendapat tahu MAM akan mula mengakhiri operasinya pada akhir Disember ini.
Katanya, MAM memberikan banyak kenangan manis kepadanya, terutama dalam menyelamatkan sejarah pendidikannya sehingga berjaya berada pada kedudukannya kini.
"Jika mengimbau kembali sejarah pendidikan saya, ketika di Tingkatan Lima, saya mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat gred satu dengan 24 agregat. Bagaimanapun, saya tidak mendapat kelulusan kredit dalam bahasa Melayu.
"Disebabkan itu, saya tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran saya ke Tingkatan Enam di sekolah kerajaan. Jadi, MAM menyelamatkan pendidikan saya dengan memberi laluan kedua untuk menyambung pelajaran dan akhirnya saya berjaya meraih keputusan yang baik dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
"Keputusan baik iaitu mendapat prinsipal dalam subjek geografi, ekonomi dan sejarah, memberi peluang kepada saya untuk melanjutkan pelajaran saya ke Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1985," katanya ketika ditemui BH di pejabatnya di UTHM Kampus Pagoh di sini.
Dr Abdul Razak berkata, beliau secara peribadi menganggap MAM adalah antara institusi yang memberi tempat kepadanya dan bersyukur kerana menerusi bantuan MAM juga membolehkannya mencapai impiannya untuk ke menara gading.
Katanya, beliau sedih dengan berita MAM akan ditamatkan operasinya, lebih-lebih lagi alumni maktab berkenaan baru sahaja mengadakan majlis pertemuan semula bekas pelajar.
"Baru-baru ini, kita sebagai alumni MAM mengadakan pertemuan semula bekas pelajar bersama guru yang pernah mengajar di situ. Pada pertemuan itu, kita juga berbincang kaedah terbaik untuk menyelamatkan MAM termasuk hasrat menaik taraf maktab sebagai sebuah kolej universiti.
"Namun, saya tidak menyangka MAM akan ditutup secepat ini kerana ia boleh dianggap sebagai antara institusi pengajian swasta tertua di negara ini yang pada masa sama sudah berjaya melahirkan ramai tokoh dan cendikiawan negara," katanya.
Sekali pun MAM akan menutup operasinya, Dr Abdul Razak berkata, beliau dan rakannya yang pernah menuntut di situ akan terus mengingati saat manis sepanjang berada di sekolah berkenaan.
"Kami mendapat guru yang baik dan berdedikasi sehingga menyebabkan ramai rakan sudah berjaya dalam bidang masing-masing. Antara dalam ingatan ialah Zahariah Awaluddin yang jika tidak silap saya menyandang jawatan sebagai Pengarah Pelaburan di Lembaga Angkatan Tentera Malaysia," katanya.
Pegawai Daerah Muar, On Jabbar, pula berkata beliau juga pernah belajar di institusi itu dan menyifatkan MAM banyak menyumbang jasa dalam pendidikan sehingga melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang.
"Bagaimanapun, kami sebagai alumni sedar kekangan yang dihadapi MAM, terutama perubahan sistem pendidikan di negara ini. Dulu, jika kita tidak lepas Tingkatan Tiga, kita tidak boleh ke Tingkatan Empat dan begitu juga seterusnya.
"Lagi pun, ramai pelajar kini mempunyai pilihan khususnya menyambung pelajaran mereka di peringkat sijil atau diploma di pelbagai universiti awam dan kolej swasta yang wujud pada masa ini," katanya.
INFO