KMK3163 Project Management- Kampung Semalatong Simunjan
Group: Green Tea
Group: Green Tea
Legenda Batu Kudi
Legenda Batu Kudi adalah salah satu kisah misteri yang berasal dari Simunjan, Sarawak. Batu ini terletak di Kampung Semalatong dan dipercayai berasal daripada sebuah rumah panjang yang telah disumpah menjadi batu. Cerita ini telah diwarisi secara lisan dari generasi ke generasi, menjadi sebahagian penting daripada warisan budaya dan sejarah masyarakat setempat.
Menurut cerita lama, penduduk rumah panjang tersebut sedang merayakan Gawai, iaitu perayaan besar masyarakat Iban. Perayaan ini penuh dengan keriangan, makanan, dan minuman tradisional, serta tarian dan nyanyian yang menggema di seluruh ruai (bahagian utama rumah panjang).
Di tengah-tengah keriangan itu, seorang nenek tua bersama cucunya tiba, meminta sedikit makanan kerana kelaparan. Namun, mereka tidak dipedulikan oleh penghuni rumah panjang yang sedang mabuk dan sibuk berseronok. Lebih menyedihkan, nenek tua itu diusir keluar, dan mereka diketawakan oleh penduduk rumah panjang.
Disebabkan rasa kecewa dan marah, cucu nenek tua tersebut bertindak nekad. Dia membuka bajunya dan mengikat seekor anjing yang berkeliaran di kawasan rumah panjang itu. Kemudian, anjing tersebut dilepaskan ke arah penduduk yang sedang berkumpul. Anjing itu menjadi bahan ketawa, malah mereka tidak menunjukkan rasa hormat terhadap situasi tersebut.
Namun, keadaan tiba-tiba berubah. Langit menjadi gelap, kilat memancar, dan guruh berdentum. Dalam sekelip mata, rumah panjang bersama semua penghuninya berubah menjadi batu. Mereka dipercayai telah disumpah oleh nenek tua tersebut sebagai balasan atas perbuatan mereka yang tidak berperikemanusiaan.
Kisah ini mengajar kita supaya berbuat baik kepada orang lain, terutamanya kepada mereka yang memerlukan. Kita juga diajar untuk menghormati golongan tua dan tidak bersikap sombong atau lupa diri ketika berseronok. Sikap penduduk rumah panjang yang mementingkan diri sendiri menjadi punca mereka menerima sumpahan, mengingatkan kita bahawa setiap perbuatan buruk pasti ada balasannya.
Kisah ini turut mengingatkan kita untuk sentiasa bersikap empati dan prihatin dalam kehidupan bermasyarakat. Kesimpulannya, legenda ini menjadi peringatan penting tentang nilai belas kasihan, hormat-menghormati, dan tanggungjawab sosial demi mewujudkan masyarakat yang harmoni.
Gambar yang pertama merupakan pandangan dari atas gambar gua batu kudik manakala gambar kedua dan ketiga merupakan pandangan hadapan gua batu kudik. Terdapat juga laluan yang terlihat seperti lubang kecil untuk masuk ke dalam gua batu kudik tersebut. Menurut Ketua Kampung Semalatong, laluan masuk ke dalam gua batu kudik itu akan semakin tinggi seolah-olah gua itu hidup. Oleh sebab itu, pengunjung terpaksa menggunakan tangga untuk naik ke laluan tersebut.
Gambar - gambar di atas merupakan gambaran gua yang terletaknya batu-batu kudik yang menyerupai manusia.
Tiga gambar di atas merupakan antara batu-batu yang berbentuk seperti manusia.