Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali Tahun 2023 Peringkat Negeri Kedah


9 November 2023

Pasaraya Econsave, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani


MAJIS PERLANCARAN SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN (SHMMP) DEEPAVALI TAHUN 2023 PERINGKAT NEGERI KEDAH

SUNGAI PETANI, 9 NOVEMBER 2023 – YBrs. Tuan Affendi Rajini Kanth, Pengarah KPDN Negeri Kedah telah melancarkan  Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023 Peringkat Negeri Kedah di Pasaraya Econsave, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah. Tempoh masa pelaksanaan adalah selama 7 hari iaitu 3 hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan 3 hari selepas perayaan. Pelaksanaan Skim ini adalah bertujuan menstabilkan harga barangan semasa permintaan terhadap barangan dijangka akan meningkat menjelang perayaan, semasa perayaan dan beberapa hari selepas perayaan.

2. Lawatan pada hari ini bertujuan untuk membuat tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023 yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 15 November 2023. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk memaklumkan kepada rakyat tentang langkah Kerajaan Madani yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.

3. Selain daripada barang-barang di bawah harga kawalan maksimum sedia ada, Kementerian telah mengenal pasti sebanyak 8 jenis barangan

yang akan dikawal di bawah Skim ini. Barangan yang terlibat di bawah Skim adalah:

i. Bawang merah besar import;

ii. Bawang merah kecil (India) tidak termasuk Ros;

iii. Cili merah;

iv. Daging kambing biri-biri bertulang import;

v. Kacang dal (Australia);

vi. Kelapa biji (*Harga maksimum di peringkat borong sahaja);

vii. Kelapa parut (*Harga maksimum di peringkat runcit sahaja); dan

viii. Tomato


4.   Tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga. Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.


5. Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan faktor-faktor luaran seperti ekonomi global.


6. Selain itu, penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi Kerajaan dan juga pemain-pemain industri.


7. SHMMP Deepavali 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. Harga maksimum yang telah diwartakan bagi SHMMP Deepavali 2023 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my.


8. Pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara telah ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan. Strategi ini membolehkan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan.


9. KPDN juga ingin memberikan amaran kepada semua peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:

(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:

(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan

(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000;

(ii) kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:

(a) individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan

(b) syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.


10. KPDN meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan kepada Kementerian sekiranya berlaku salah laku oleh mana-mana pihak berhubung ketidakpatuhan ke atas Skim bersama butiran aduan yang lengkap melalui saluran berikut:

i. Portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my

ii.Call Centre 1-800-886-800

iii.E-mel e-aduan@kpdn.gov.my

iv.Aplikasi EZ ADU KPDN

v. Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245

vi. WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317

vii. Pejabat KPDN Kedah 04-7001745




Unit Media KPDN Kedah