Program Jualan Rahmah Bantu Ringankan Kos Sara Hidup Warga Langkawi

  23 Mei 2023 

Perkarangan Pasaraya Borong KH Nizam, Lot 698 Batu Hampar, Sungai Menghulu, Langkawi 



LANGKAWI, 23 MEI 2023 – Yang Berhormat Senator Puan Hajjah Fuziah Binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini telah merasmikan dan melakukan sesi walkabout di Program Jualan Rahmah yang diadakan di Perkarangan Pasaraya Borong KH Nizam, Lot 698 Batu Hampar, Sungai Menghulu, Langkawi, Kedah. Turut hadir bersama Tuan Affendi Rajini Kanth, Pengarah KPDN Negeri Kedah.


2. Program Jualan Rahmah ini merupakan salah satu program KPDN di bawah Inisiatif Payung Rahmah yang bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. Program Jualan Rahmah ini merupakan kolaborasi bersama pemain industri sektor peruncitan seperti pasar raya dan hypermarket yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian di antara 10 % hingga 30% lebih murah daripada harga biasa setempat.


3. Program Jualan Rahmah di Langkawi ini akan di laksanakan bermula jam 9.30 pagi hingga 1.00 petang. Antara barang-barang yang dijual semasa program ini adalah:

i. Ayam Segar; ii. Telur Ayam; iii. Minyak Masak Paket 1KG; iv. Gula; v. Tepung Gandum; vi. Beras; vii. Milo; viii. Bawang Besar; ix. Susu Pekat; x. Bihun; xi. Maggi; xii. Sardin; xiii. Kicap Manis; xiv. Cecair Pencuci Pinggan; xv. Beras Pulut, dan; xvi. Sos Cili


4. Pada masa yang sama, YB Timbalan Menteri turut memberikan sumbangan Bakul RAHMAH kepada 30 orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf bagi meringankan beban kos sara hidup. Bantuan Bakul RAHMAH ini merupakan salah satu daripada empat elemen melalui Program Payung RAHMAH yang bertujuan untuk membantu golongan B40 dan miskin tegar untuk mendepani isu kos sara hidup.


5. KPDN mengajak dan menggalakkan lebih ramai lagi pemain industri khususnya hypermarket dan pasar raya supaya dapat bersama-sama menjayakan aspirasi ini dalam mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.


6. KPDN Negeri Kedah merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di atas komitmen yang mampan sepanjang menjayakan Program Jualan Rahmah ini  bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Negeri Kedah di samping meningkatkan pendapatan para peniaga di sini.



Unit Media KPDN Kedah