KPDN Laksana Ops 516 Sempena Langkawi International Maritime And Aerospace Exhibition (LIMA 2023)
23 Mei 2023
Langkawi
LANGKAWI, 23 MEI 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan pelaksanaan OPS 516 sempena Langkawi International Maritime And Aerospace Exibition (LIMA 2023).
2. Tempoh pelaksanaan OPS 516 adalah selama 14 hari iaitu bermula pada 16 Mei sehingga 30 Mei 2023 yang memfokuskan kepada aspek harga dan catut, bekalan, alat timbang dan sukat, barang tiruan dan cetak rompak serta berkaitan halal. Penguatkuasaan di bawah OPS 516 akan dijalankan ke atas premis-premis berikut:
I. Restoran dan kedai makan;
II. Pasar raya dan kedai runcit;
III. Pasar awam, pasar basah, pasar pagi dan pasar malam;
IV. Perkhidmatan sewa kenderaan;
V. Perkhidmatan hotel dan rumah penginapan;
VI. Stesen minyak, dan;
VII. Lokasi tumpuan orang ramai dan pelancong.
3. Mekanisme pelaksanaan OPS 516 adalah seperti berikut;
3.1 Omnipresence:
Meningkatkan keberadaan (omnipresence) pegawai-pegawai penguat kuasa di lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung sebagaimana di para 4 (Lokasi Sasaran) termasuk penggunaan kenderaan berlogo Kementerian dan Jata Negara bagi mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika.
3.2 Penguatkuasaan Berimbang:
Pelaksanaan Penguatkuasaan Berimbang (Balance Enforcement) dan menguatkuasakan perundangan berdasarkan polisi sedia ada yang mana kesalahan ringan mengikut Dasar Penguatkuasaan Prihatin dan bagi kesalahan berat seperti penjualan barang tiruan dibuat secara tegas (hard enforcement).
3.3 Tindakan Proaktif:
Tindakan proaktif adalah ke atas jenama-jenama yang berdaftar di bawah program Basket of Brands (BOB). Sejak BOB diperkenalkan pada 2011, pemeriksaan barang tiruan tidak lagi dibuat berasaskan kepada semua jenama secara rambang, tetapi berasaskan kepada jenama yang tersenarai di dalam BOB. Kesemua barang yang berdaftar dengan BOB hendaklah diambil tindakan serta merta.
3.4 Penyelesaian Aduan 24 jam:
Menangani pertanyaan dan penyelesaian aduan pengguna dalam masa 24 jam membabitkan pengunjung asing dan aduan berbentuk penipuan dan penyelewengan. Tindakan pantas diperlukan bagi memastikan kesalahan diambil tindakan semasa pengadu dan pengunjung masih berada di Langkawi dan aduan tersebut dapat diselesaikan.
4. Sehingga 22 Mei 2023 sebanyak 432 pemeriksaan telah dibuat ke atas premis – premis yang terlibat dan sebanyak 39 Notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat lanjut daripada peniaga. Satu (1) tindakan kes di bawah Akta Timbang Sukat 1972 telah diambil ke atas peniaga kerana menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan.
5. KPDN komited dalam melaksanakan penguatkuasaan OPS 516 secara konsisten dan berimbang oleh pegawai-pegawai penguatkuasa KPDN bagi memastikan pematuhan peniaga terhadap undang-undang dan supaya tiada sebarang implikasi negatif kepada imej negara dari aspek perdagangan domestik sepanjang pelaksanaan LIMA 2023.
6. Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian melalui:
I. Whatsapp ke 019- 279 4317 / 019-848 8000;
II. Portal Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my;
III. Pusat Panggilan 1800 886 800;
IV. E-mel e-aduan@kpdn.gov.my;
V. Aplikasi telefon pintar Ez ADU, dan;
VI. Pusat Arahan Penguat Kuasa (ECC) 03-8882 6245 / 6088.
YB DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB,
MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP, LANGKAWI, 23 MEI 2023.
Unit Media KPDN Kedah