Program Kayuhan Santai Pengguna Sempena Hari Sukan Negara Peringkat KPDNHEP Kedah

8 Oktober 2022 | Kompleks Belia, Pekan Kuah, Langkawi


LANGKAWI, 8 Oktober 2022 – YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pelepasan bagi Program Kayuhan Santai Pengguna yang diadakan di Kompleks Belia, Pekan Kuah Langkawi.

Program ini anjuran KPDNHEP Kedah dengan kerjasama erat Gerakan Pengguna Daerah (GPD) Langkawi diadakan bersempena sambutan Hari Sukan Negara dan mempergiatkan program advokasi kepenggunaan di Langkawi.

Melalui program ini, edaran risalah kepenggunaan dan penerangan tentang peranan pengguna dalam menghadapi situasi ekonomi dunia yang tidak menentu yang secara langsung memberi kesan kepada pengguna dapat ditingkatkan. Program ini juga dapat mewujudkan pengguna yang mempunyai kesedaran dan memainkan peranan sebagai seorang pengguna yang bijak di samping tidak melupakan tanggungjawab sosial sebagai anggota masyarakat. Program ini juga dapat memberi pendedahan kepada pengguna mengenai wujudnya agensi yang memberi perkhidmatan kepada semua lapisan pengguna di Malaysia.

Program Kayuhan Santai Pengguna ini disertai oleh 100 orang peserta yang terdiri daripada golongan belia, penjawat awam dan masyarakat setempat dari pelbagai lapisan. Kayuhan ini bermula dari Kompleks Belia menuju ke Sekolah Kebangsaan Bayas melalui Jalan Padang Matsirat dan berpatah balik ke Kompleks Belia. Kayuhan ini juga akan berhenti di 3 lokasi iaitu Sungai Menghulu Corner, Kg Mata Ayer dan Pasar Awam Kuah untuk edaran risalah kepenggunaan. Kerajaan akan terus memperkasa advokasi kepenggunaan khususnya berhubung hak-hak pengguna.

Turut hadir, Dato Abdul Gafar bin Yahya-Pegawai Daerah Langkawi, Tuan Azman Adam-Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP dan Tuan AFFENDI Rajini Kanth-Pengarah KPDNHEP Kedah.