Sejarah Penubuhan Koperasi Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu Berhad (KIPGKKBB)
Koperasi Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu Berhad (KIPGKKBB) merupakan sebuah entiti ekonomi dan sosial yang ditubuhkan atas kesedaran kolektif dalam kalangan warga kerja institut untuk menjaga kebajikan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi anggotanya. Penubuhannya berakar umbi daripada semangat kerjasama dan hasrat untuk mewujudkan satu platform yang mampu menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan secara bersama.
Gagasan untuk menubuhkan koperasi ini mula dibincangkan secara tidak rasmi oleh sekumpulan pensyarah dan staf sokongan pada era awal institut ini masih dikenali sebagai Maktab Perguruan Kota Bharu. Mereka melihat keperluan untuk sebuah badan yang boleh mengendalikan aktiviti perniagaan asas seperti kedai runcit yang menjual barangan keperluan harian, alat tulis, dan makanan kepada warga kampus pada harga yang berpatutan. Selain itu, penubuhan koperasi dilihat sebagai satu cara untuk menyediakan kemudahan tabungan dan pinjaman kewangan dengan syarat yang lebih mudah dan fleksibel bagi membantu anggota ketika berdepan dengan keperluan mendesak.
Setelah melalui beberapa siri perbincangan dan mesyuarat protem oleh barisan jawatankuasa yang dipimpin oleh Tn. Hj. Zohari bin Muda, Tn. Hj. Yaacob bin Ismail, Dr. Hjh. Faridah binti Darus dan beberapa orang dari kalangan pensyarah, staf dan guru pelatih. Koperasi ini telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri Kelantan pada 25 Julai 2007 dan berjaya didaftarkan secara rasmi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 25 Oktober 2007 atas nama Koperasi Institut Perguruan Kota Bharu Berhad. Pendaftaran rasmi ini menandakan satu detik bersejarah, mengubah aspirasi menjadi sebuah badan yang sah di sisi undang-undang. Modal permulaan koperasi ini dijana sepenuhnya melalui kutipan yuran pendaftaran dan langganan syer daripada anggota-anggota pengasas yang terdiri daripada pensyarah dan kakitangan pentadbiran. Kemudian pada 27 Januari 2012 nama koperasi ditukarkan kepada Koperasi Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu Berhad berikutan nama IPKB telah ditukarkan kepada Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu.
Bermula dengan sebuah kedai kecil yang telah mendapat kebenaran daripada pengarah IPKB, KIPGKKBB telah berkembang maju seiring dengan peredaran masa. Kini, aktivitinya telah dipelbagaikan merangkumi perkhidmatan peruncitan, pelawaan eperolehan, dan pelbagai projek perniagaan lain. Berlandaskan prinsip "daripada anggota, untuk anggota", koperasi ini terus kekal relevan dan memainkan peranan penting sebagai tonggak sokongan ekonomi kepada seluruh warga Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu sehingga hari ini.
Koperasi melalui detik-detik kejatuhan bermula tahun 2017 setelah diumumkan IPGKKB akan ditukar fungsi. Kesan daripada pengumuman tersebut IPGM tidak lagi menghantar pelajar ke IPGKKB menjadikan kuasa membeli barangan di Koperasi semakin berkurang. Keadaan ini menjadi lebih parah, apabila kerajaan memperkenalkan sistem baharu untuk berurusan tender dengan kerajaan iaitu e-perolehan. Pihak koperasi mengambil langkah drastik untuk mendaftar sistem e-perolehan agar dapat meneruskan operasi dalam menyediakan bekalan kepada program-program di IPGKKB. Alhamdulillah dengan e-operasi yang berdaftar, Koperasi dapat menjalankan khidmat dobi dengan pihak luar disamping beberapa perkhidmatan lain bagi IPGKKB.
Pada penghujung tahun 2018, Koperasi IPGKKB mendapat sinar kembali apabila IPGKKB telah diumumkan kekal beroperasi sebagai IPG CPD. Pengumuman ini memberi nafas baru untuk Koperasi beroperasi kembali. Walau bagaimanapun, dalam tempoh ini koperasi terpaksa beroperasi dengan kekuatan kewangan yang ada, mengurangkan kos tanggungan agar dapat mengimbangi dengan pendapatan yang diperolehi, sehinggalah kemasukan pelajar baharu ke IPGKKB nanti.
Pada tahun 2020, dunia dikejutkan dengan serangan virus yang merbahaya dinamakan sebagai Covid-19. Rentetan daripada itu, negara telah mengenakan perintah berkurung Peritah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap setiap individu bagi mengelakkan penyebaran virus berleluasa. Hal ini menjadikan segala aktiviti tidak dapat dilaksanakan seperti biasa. Walaupun IPGKKB telah menerima pelajar baharu, akan tetapi pelajar ini tidak dapat hadir ke kampus secara fizikal, menjadikan pengoperasian koperasi menjadi perlahan sepanjang tempoh 2020 hingga 2022. Bermula tahun 2023, pelajar telah menjalani pengajian secara fizikal dan perlu berada di IPGKKB untuk mengikuti pengajian secara fizikal. Keadaan ini memberi nafas baharu kepada koperasi untuk hidup kembali setelah lama berada dalam PKP.
Matlamat Penubuhan
Matlamat Koperasi ini ditubuhkan adalah untuk meningkatkan kepentingan ekonomi anggotanya mengikut prinsip koperasi.
Visi dan Misi
VISI
Menjadi sebuah koperasi pengguna yang unggul, berdaya saing, dan menjadi pilihan utama dalam memperkasa kesejahteraan sosio-ekonomi serta kebajikan anggota Koperasi IPG Kampus Kota Bharu Berhad.
MISI
Bagi merealisasikan visi ini, kami komited untuk:
Menjalankan Aktiviti Perniagaan: Menguruskan dan mempelbagaikan aktiviti perniagaan yang relevan, patuh syariah, dan berdaya saing untuk memberikan produk serta perkhidmatan berkualiti kepada anggota pada harga yang berpatutan.
Mengamalkan Tadbir Urus Terbaik: Melaksanakan tadbir urus korporat yang cekap, telus, dan profesional berlandaskan undang-undang, prinsip serta nilai-nilai koperasi demi menjaga kepentingan semua anggota.
Memberi Pulangan Mampan: Berusaha untuk menjana keuntungan yang mampan bagi memastikan pemberian dividen dan manfaat lain yang maksimum dan saksama kepada anggota.
Memperkasa Kebajikan Sosial: Menganjurkan aktiviti-aktiviti sosial dan program kebajikan yang mengeratkan semangat kekitaan serta menyumbang kepada pembangunan komuniti kampus.
Aktiviti Yang Dijalankan
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan
menjalankan aktiviti pengguna termasuklah pasar mini dan kedai fotostat;
menjalankan aktiviti kontrak termasuklah kontrak perbekalan;
menjalankan aktiviti kebajikan dan pendidikan anggota;
membeli, menjual, memindahkan hak milik, mendirikan, menyewa, mencagar, memajak, menggadai dan memiliki harta alih dan harta tak alih;
melalurkan wang berlebihan dalam perkara yang dibenarkan menurut seksyen 54 Akta;
mengadakan subsidiari menurut seksyen 19 Akta dengan kelulusan Suruhanjaya; dan
menyertai usahasama dan menjadi anggota kepada koperasi lain.