SEJARAH BORANG KAJIAN TINDAKAN 12 LANGKAH
Borang Kajian Tindakan 12 Langkah merupakan himpunan 12 soalan yang memandu rakan-rakan guru dalam merancang Kajian Tindakan. Idea mengenai borang ini tercetus melalui sesi perbincangan yang dilaksanakan antara Suriani Oxley (SISC+) dengan guru-guru di bawah bimbingan beliau pada tahun 2017. Semasa sesi perbincangan ini, Suriani Oxley telah mengemukakan beberapa soalan bagi membantu guru-guru merancang Kajian Tindakan mereka seperti ‘Apakah masalah yang cikgu hadapi?’, ‘Mengapakah masalah itu berlaku?’, ‘Mengapakah cikgu perlu menyelesaikan masalah ini?’, ‘Bagaimanakah cikgu hendak menyelesaikan masalah tersebut?’ dan lain-lain soalan yang berkaitan. Jawapan kepada soalan-soalan inilah yang akan menjawab kepada isi penulisan, perancangan dan pelaksanaan Kajian Tindakan mereka.
Pada tahun 2018, Suriani Oxley telah mengumpul dan menyalin semula semua soalan yang beliau pernah kemukakan kepada guru-guru bimbingannya semasa bimbingan perancangan dan pelaksanaan Kajian Tindakan. Soalan-soalan ini digarap semula berdasarkan kesesuaian jawapan-jawapan kepada soalan-soalan berkenaan mengikut format penulisan Kajian Tindakan yang dicadangkan di dalam Buku Manual Kajian Tindakan 2008, terbitan Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia. Contohnya, bagi soalan pertama ialah ‘Apakah masalah saya?’, jawapan bagi soalan ini sesuai untuk dijadikan sebagai isi penulisan bagi tajuk pertama dalam format penulisan Kajian Tindakan iaitu Refleksi. Jawapan bagi soalan kedua pula iaitu ‘Mengapakah masalah itu berlaku?’ sesuai untuk dijadikan sebagai isi penulisan bagi Isu Keprihatinan manakala soalan seperti ‘Mengapakah cikgu perlu menyelesaikan masalah ini?’ dan ‘Bagaimanakah cikgu hendak menyelesaikan masalah tersebut?’ sesuai untuk dijadikan sebagai isi penulisan bagi aspek Objektif dan Tindakan Pelaksanaan. Semua soalan ini disusun menjadi satu borang perancangan Kajian Tindakan.
Penggunaan Borang Kajian Tindakan 12 Langkah ini telah meningkatkan bilangan guru yang melaksanakan Kajian Tindakan di WP Labuan. Bilangan guru yang membentang di Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri juga semakin meningkat. Pada tahun 2017, hanya seramai 7 orang guru bimbingan yang membentang kajian mereka di Seminar Kajian Tindakan namun bilangan ini telah meningkat pada 17 orang pada tahun 2018, 27 orang pada tahun 2019 dan 34 orang pada tahun 2020. Bilangan yang menyertai bengkel Kajian Tindakan, merancang dan melaksanakan Kajian Tindakan tetapi tidak membentang juga saban tahun menunjukkan peningkatan iaitu 7 orang pada tahun 2017, 17 orang pada tahun 2018, 40 orang pada tahun 2019 dan 58 orang pada tahun 2020.
Peningkatan ini menunjukkan bahawa Borang Kajian Tindakan 12 Langkah merupakan wadah terbaik dalam membantu guru-guru untuk membuat refleksi mengenai amalan mereka. Borang ini juga membantu mereka dari segi merancang, melaksanakan dan menulis idea-idea mereka dalam menambah baik amalan mereka mengikut format Kajian Tindakan. Borang 12 Langkah ini setiap tahun telah ditambah baik mengikut kerelevanan dan kesesuaian soalan-soalannya. Proses penggunaan borang ini juga diadaptasi dari semasa ke semasa agar guru boleh menjawab soalan-soalan ini secara kendiri dengan cepat dan mudah.