Jambatan gantung Langkawi atau Langkawi Skybridge terletak di puncak Gunung Mat Cincang adalah contoh aplikasi keseimbangan daya. Rentang jambatan sepanjang 125-meter digantung menggunakan lapan utas kabel pada satu pilon sahaja. Walaupun pilon ketinggian dengan ketinggian 8.15 meter dalam keadaan condong dan rentang jambatan itu melengkung, Langkawi Skybridge sentiasa berada dalam keadaan stabil.
Reka bentuk struktur jambatan ini telah mengambil kira tindakan daya luar seperti tiupan angin, pergerakan pelancong dan pengagihan beban. Semua daya yang dikenakan ke atas jambatan haruslah mencapai suatu keseimbangan bagi menjamin keteguhan struktur jambatan dan keselamatan penggunanya.
Pembinaan jambatan ini mengaplikasikan konsep asas fizik seperti daya paduan, leraian daya dan keseimbangan daya semasa membentuk struktur yang unik.
Konsep dan prinsip Daya dan Gerakan dalam Fizik Tingkatan 5 ini merupakan asas kepada seni bina futuristik yang menggabungkan pengetahuan dan kemahiran bidang fizik, kejuruteraan, sains bahan dan pemikiran kreatif.