PENGENALAN
Pelaksanaan aktiviti PPI memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari, mengalami dan melihat sendiri amalan dan sistem kerja di organisasi/industri, suasana pekerjaan, persekitaran organisasi/industri, teknologi terkini serta prosedur kerja yang sebenar. Aktiviti ini memberi pengalaman pembelajaran baharu yang mengaitkan teori di dalam bilik kuliah dengan amalan organisasi di industri. Lawatan pembelajaran berasaskan pengalaman ke industri mengembangkan orientasi mental pelajar dengan memberi gambaran sebenar apa yang berlaku di industri di samping dapat memotivasikan pembelajaran, menerapkan nilai - nilai murni, pengurusan masa, personaliti dan kepimpinan. Aktiviti PPI perlu dipelbagaikan untuk memberi ruang dan peluang kepada pelajar mengadaptasi segala ilmu dan pengalaman dari aktiviti yang dijalankan. Aktiviti PPI yang dilaksanakan mampu melahirkan pelajar yang berkualiti melalui pendedahan bersama industri.
MATLAMAT
Tujuan pelaksanaan aktiviti PPI ini adalah bagi membantu institusi membuat persediaan terhadap proses pelaksanaan aktiviti dari sebelum, semasa dan selepas berdasarkan keperluan program pengajian serta peruntukan yang disalurkan untuk menjayakan setiap aktiviti PPI di institusi.