SEJARAH DAN ASAL-USUL ETNIK SULUK
Etnik Suluk atau lebih dikenali sebagai Tausūg berasal daripada Kepulauan Sulu di selatan Filipina. Awal penempatan mereka di Malaysia, khususnya di pesisir pantai timur Sabah, bermula seawal era Kesultanan Sulu lagi. Mereka diiktiraf sebagai salah satu daripada kelompok peribumi Sabah dan telah wujud jauh sebelum pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Suluk berasal daripada Kepulauan Sulu di selatan Filipina, dan telah mempunyai hubungan rapat dengan Sabah sejak berabad lamanya melalui aktiviti perdagangan dan hubungan maritim. Sejak abad ke-15, masyarakat Suluk telah berhijrah ke pantai timur Sabah, terutamanya di kawasan Semporna, Lahad Datu, dan Sandakan, hasil daripada hubungan dengan Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei. Mereka terlibat dalam perdagangan laut seperti hasil laut dan barangan dagangan, menjadikan mereka sebagai komuniti yang mahir dalam ilmu pelayaran dan perikanan. Melalui migrasi secara berperingkat, masyarakat Suluk telah menjadi sebahagian daripada kepelbagaian etnik di Sabah, membawa bersama budaya, bahasa, dan nilai yang unik serta memperkayakan mozaik masyarakat Malaysia sehingga hari ini. Secara etimologi, "Suluk" bererti “menempuh jalan” (spiritual atau kerohanian) dalam konteks Sufisme Islam. Gelaran ini diberikan oleh pemerintah terdahulu kepada satu suku kaum peribumi Sabah yang terkenal dengan ketaatan beribadat.
AMALAN BUDAYA DAN NILAI UTAMA
AGAMA DAN BAHASA
Kaum Suluk adalah beragama Islam dan mereka juga bertutur dalam bahasa Tausūg sebagai bahasa utama. Mereka juga mahir dalam beberapa bahasa lain seperti Melayu. Masyarakat Suluk terkenal dengan amalan budaya dan nilai yang diwarisi sejak turun-temurun.
ADAT PERKAHWINAN
Upacara perkahwinan tradisional Suluk menjadi lambang identiti dan perpaduan masyarakat mereka. Ia merangkumi pelbagai adat unik yang masih diamalkan, walau telah melalui perubahan mengikut arus zaman.
PAKAIAN TRADISIONAL
Antara pakaian tradisi etnik Suluk ialah kupot, sablay, samrah dan batawi. Dari segi pakaian, wanita Suluk memakai badju sampit bersama kain sarong berwarna terang, manakala lelaki memakai pakaian tradisional yang sesuai dengan aktiviti laut mereka. Pakaian tradisional ini juga digunakan ketika ada pertandingan Perahu Lepa dimana kebiasaannya akan dipakai oleh penari yang dipanggil Ratu Lepa.
KESENIAN
Kaum Suluk sangat terkenal dengan tarian Pangalay (juga dikenali sebagai Daling-Daling di Sabah), serta pembuatan perahu tradisi yang dipanggil Perahu Lepa-Lepa. Tarian Pangalay yang terkenal dengan pergerakan tangan yang lembut merupakan salah satu seni tari unik mereka, sering dipersembahkan pada majlis perkahwinan dan sambutan budaya
MAKANAN TRADISIONAL
Masyarakat Suluk menikmati makanan seperti latok (rumpai laut), ikan bakar, dan kuih tradisional seperti kuih jala. Hal ini kerana ia melambangkan keakraban kaum mereka dengan laut.
NILAI
Dari segi nilai, masyarakat Suluk amat menekankan rasa hormat kepada orang tua, ikatan kekeluargaan yang erat, semangat bergotong-royong serta saling membantu dalam komuniti. Nilai-nilai ini kekal menjadi asas perpaduan dalaman yang membolehkan mereka terus bertahan dalam arus perubahan zaman. Nilai kekeluargaan, saling menghormati, kerjasama komuniti, dan kecekalan merupakan tunjang penting dalam budaya Suluk. Mereka juga dikenali sangat menyantuni tetamu dan menjunjung persaudaraan.
ISU SEMASA YANG DIHADAPI
Walaupun masyarakat Suluk telah lama menjadi sebahagian daripada landskap budaya di Sabah, mereka tidak terlepas daripada cabaran semasa. Antara isu yang sering diketengahkan ialah masalah dokumentasi kewarganegaraan, yang masih menjejaskan sebahagian kecil komuniti Suluk sehingga menyulitkan akses kepada pendidikan, kesihatan dan pekerjaan. Hal ini kerana, tragedi berdarah Lahad Datu (2013), terdapat sentimen negatif dan salah tanggapan masyarakat terhadap etnik Suluk, terutama berkaitan isu pendatang asing tanpa izin (PATI). Oleh itu, pandangan orang luar tehadap kaum Suluk telah menyebabkan rasa tidak adil kerana mereka melabelkan semua Suluk di Sabah sebagai PATI kerana etnik Suluk tempatan telah diiktiraf sebagai anak negeri Sabah dan warganegara Malaysia . Tambahan pula, terdapat segelintir remaja yang mempunyai masa depan dalam pendidikan terganggu akibat daripada mereka yang tidak mempunyai dokumen diri yang sah.
Selain itu, masyarakat Suluk ini juga turut mengalami cabaran dalam keterpinggiran sosial dan ekonomi. Dalam hal ini, terdapat laporan tentang peluang pekerjaan dan perkhidmatan awam yang terjejas akibat stereotaip terhadap etnik Suluk, menyebabkan mereka berasa dipinggirkan daripada arus perdana pembangunan sosial. Namun begitu, masyarakat Suluk kini semakin maju ke hadapan dengan generasi muda yang menuntut di universiti, menceburi bidang profesional dan berusaha memecahkan tembok persepsi silam.
SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT MALAYSIA
Di sebalik cabaran yang dihadapi, masyarakat Suluk memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya. Sektor perikanan, terutamanya di pantai timur Sabah, banyak digerakkan oleh nelayan Suluk yang terkenal dengan kepakaran menangkap ikan dan hasil laut. Masayarkat Suluk juga merupakan pemerkayaan budaya Sabah kerana dengan kehadiran masyarakat Suluk, mereka telah menjadikan Sabah dan Malaysia lebih berwarna-warni dari aspek budaya, gastronomi, serta seni. Tarian, kesenian, dan adat Suluk juga memperkaya warisan budaya tempatan sehingga menjadi tarikan dalam kalangan masyarakat yang lain.
Selain itu, warisan budaya Suluk seperti tarian Pangalay, makanan tradisi dan perahu lepa turut memeriahkan industri pelancongan Sabah, menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa. Generasi muda Suluk juga semakin ramai yang menjadi tenaga profesional dalam bidang pendidikan, keusahawanan kecil, pentadbiran awam dan aktiviti sosial. Kesemua ini membuktikan bahawa masyarakat Suluk bukan sahaja mengekalkan identiti warisan mereka tetapi turut menyumbang kepada kepelbagaian dan kemajuan negara. Perpaduan dan integrasi turut dapat dipupukkan melalui perkahwinan campur dan hubungan baik dengan etnik lain di Sabah, komuniti Suluk membantu menyemai perpaduan dan keharmonian antara pelbagai kaum di Malaysia.
MESEJ PERPADUAN ATAU NILAI BERSAMA
Dalam sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, mesej perpaduan dan nilai bersama amat penting dalam memastikan seluruh rakyat dapat hidup dalam keadaan aman, harmoni dan saling menghormati. Menerusi kisah etnik Suluk, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana kepelbagaian budaya bukan sahaja memperkaya identiti negara, malah berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat pelbagai latar belakang. Perpaduan dapat dicapai apabila wujud rasa saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Masyarakat perlu sedar bahawa setiap etnik, termasuklah etnik Suluk, membawa warisan budaya, nilai, dan amalan tradisi yang unik serta menyumbang kepada warna-warni Malaysia. Sikap prejudis atau stereotaip terhadap mana-mana komuniti hanya akan meretakkan hubungan yang telah terjalin sekian lama. Peristiwa sejarah, seperti tragedi Lahad Datu, tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mendiskriminasi seluruh etnik Suluk yang sememangnya telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada warga Malaysia. Sebaliknya, pengalaman pahit sedemikian harus dijadikan pengajaran untuk memperkukuh persefahaman dan kerjasama antara semua pihak.
Nilai bersama seperti muhibah, tolak ansur, saling membantu dan solidariti perlu dipupuk secara berterusan. Etnik Suluk sendiri menekankan nilai kekeluargaan serta kepentingan menegakkan persaudaraan sesama manusia. Apabila nilai murni ini diamalkan secara menyeluruh, segala perbezaan dapat diatasi dan digantikan dengan semangat kemanusiaan yang tinggi. Kepelbagaian etnik sebenarnya adalah kekuatan, bukannya kelemahan. Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira asal-usul berhak merasa dihargai serta dijamin keselamatan dan keharmonian hidup. Prinsip “A place in the sun for everyone” wajar menjadi pegangan masyarakat agar tidak timbul rasa terpinggir atau penindasan kepada sesiapa. Kerjasama dan dialog antara kaum adalah kunci utama dalam mengekalkan perpaduan yang telah dinikmati selama ini.
DISEDIAKAN OLEH: NUR HAYA NATASHA BINTI MOHD AZHAWADI