Kaum Rungus merupakan antara etnik di Sabah yang dikenali sebagai salah satu kumpulan etnik yang memiliki identiti budaya yang tersendiri. Kaum ini merupakan cabang daripada rumpun Etnik Kadazan Dusun di mana berdasarkan data banci tahun 1970, jumlah penduduk Rungus direkodkan seramai 10,881 orang dengan majoritinya menetap di kawasan utara Sabah, khususnya daerah Kudat. Menurut kepercayaan masyarakat tempatan di Kudat, penempatan awal etnik ini di kawasan tersebut dikatakan berpunca daripada petunjuk dan kuasa spiritual yang diberikan oleh tokoh Bobolizan atau Bobohizan, iaitu pemimpin ritual yang dihormati. Kawasan itu dinamakan 'Dila Tana' yang bermaksud 'Lidah Tanah' berdasarkan ramalan Bobolizan.
Mereka juga turut dikenali sebagai Momogun dan disenaraikan dalam perlembagaan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun berikutan persamaan dalam bahasa, amalan budaya dan kepercayaan antara kedua-dua etnik ini. Dari segi keagamaan, kebanyakan masyarakat Rungus pada masa kini menganut agama Kristian, walaupun pada awalnya mereka dikenali dengan kepercayaan pagan dan mengamallkan kepercayaan animisme. Keistimewaan kaum Rungus dapat dilihat dalam pelbagai aspek seperti sistem kepercayaan, adat resam, bahasa, pakaian tradisional serta asal-usul mereka yang unik. Etnik Rungus juga terdiri daripada beberapa subkumpulan kecil seperti Rungus Lingkabau, Nulu, Gonsomon, Sindapak, Garo Maringang dan beberapa lagi etnik kecil Rungus.
Kaum Rungus mempunyai amalan budaya yang kaya dan unik, terutamanya dalam adat istiadat dan upacara tradisi yang diwarisi turun-temurun. Salah satu contoh utamanya ialah adat perkahwinan tradisonal yang sangat menekankan penglibatan keluarga besar, pantang larang dan simbolisme spiritual. Prosesnya bermula dengan pemilihan pasangan oleh ibu bapa, diikuti dengan adat merisik dan majlis pertunangan yang dikenali sebagai 'Manamong', di mana pelbagai barang simbolik seperti sirih pinang dan sigup dibawa sebagai tanda rasmi ikatan. Dalam tempoh pertunangan, pasangan dilarang berjalan berdua-duaan dan sekiranya dilanggar, denda 'sogit' akan dikenakan sebagai simbol menjaga kehormatan keluarga. Majlis perkahwinan pula diadakan secara kecil atau besar-besaran dan dimulakan dengan upacara menyikat rambut pengantin lelaki di kaki tangga rumah panjang, melambangkan permulaan kehidupan baru yang suci. Elemen kepercayaan animisme turut dihayati melalui ritual mohon restu daripada roh nenek moyang, dipimpin oleh Bobolizan atau dukun wanita yang berperanan penting dalam memastikan kelancaran majlis.
Selain perkahwinan, kaum Rungus juga mengadakan ritual pertanian seperti 'Mangatod', iaitu upacara memohon keberkatan sebelum membuka tanah pertanian, khususnya penanaman padi. Upacara ini merupakan tanda penghormatan kepada semangat padi (Bambazon) agar hasil tanaman dilindungi dan diberkati. Perayaan 'Magahau' pula merupakan satu tradisi penting bagi masyarakat Rungus yang bertujuan menghormati roh nenek moyang dan alam semesta, diiringi makanan tradisi, minuman seperti kinomol, serta tarian dan nyanyian sebagai simbol kesyukuran terhadap hasil tuaian. Sebelum pengaruh agama luar, animisme sangat kuat dalam kehidupan seharian, di mana setiap unsur alam seperti sungai, batu dan tumbuhan dipercayai mempunyai roh dan perlu dihormati melalui upacara khusus.
Secara keseluruhannya, nilai-nilai utama yang menjadi teras kepada masyarakat Rungus termasuklah keharmonian dengan alam semula jadi, kepercayaan terhadap tradisi dan spiritual nenek moyang, peneguhan identiti melalui adat resam, serta amalan syukur yang dizahirkan melalui persembahan dan ritual. Kesemua unsur ini membentuk jati diri kaum Rungus yang kukuh walaupun berhadapan dengan perubahan zaman dan pengaruh luar.
Ritual Bobolizan
'Miloput' - Acara kemuncak dalam majlis perkahwinan dan penerimaan menantu dalam keluarga
Ritual 'bumbu ikan'
Kaum Rungus di Sabah berdepan dengan pelbagai cabaran semasa yang berkait rapat dengan pemeliharaan budaya dan penyesuaian terhadap perubahan sosial serta politik moden. Antara isu utama yang dikenal pasti ialah usaha memelihara adat istiadat, seni dan warisan budaya mereka yang semakin terancam akibat arus kemodenan. Walaupun kerajaan negeri Sabah menunjukkan komitmen melalui sokongan terhadap festival kebudayaan, bantuan kepada pertubuhan etnik dan pelan pelestarian budaya, ancaman terhadap kesinambungan tradisi tetap wujud.
Selain itu, identiti budaya Rungus turut diiktiraf sebagai aset penting dalam pembangunan sosioekonomi, terutamanya dalam sektor pelancongan dan pemerkasaan komuniti luar bandar. Usaha menaik taraf infrastruktur di kawasan seperti Matunggong termasuk cadangan menjadikannya daerah penuh merupakan contoh inisiatif pembangunan yang mempertimbang kesejahteraan masyarakat Rungus.
Dari sudut politik dan perpaduan, masyarakat ini turut berhadapan risiko pengaruh politik perkauman yang wujud di Semenanjung, namun mereka berusaha mempertahankan keharmonian kaum dan agama yang telah lama terjalin di Sabah. Hubungan baik antara etnik Rungus dengan komuniti lain seperti Kadazan, Dusun dan Murut diteruskan melalui nilai saling menghormati serta penganjuran perayaan kebudayaan seperti Pesta Kaamatan.
Walau bagaimanapun, pengaruh gaya hidup moden dan kurangnya minat generasi muda terhadap bahasa serta adat tradisi menimbulkan kebimbangan terhadap jati diri etnik ini. Di samping itu, pembangunan ekonomi yang tidak seimbang turut menjejaskan komuniti Rungus yang masih bergantung kepada sektor pertanian tradisional.
Pelbagai pihak termasuk kerajaan Sabah dan persatuan etnik Rungus kini giat melaksanakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan budaya, perpaduan dan kemajuan masyarakat ini dalam kerangka pembangunan negeri yang lebih inklusif.
Festival Kebudayaan Rungus Sabah 2025
Kaum Rungus memainkan peranan penting dalam membentuk kepelbagaian identiti budaya Malaysia, khususnya di Sabah, melalui sumbangan dalam pelbagai aspek seperti budaya, ekonomi, dan perpaduan sosial. Mereka dikenali sebagai pemelihara warisan tradisi yang masih diamalkan secara aktif, termasuk adat resam, pakaian tradisional, tenunan, tarian dan muzik seperti alunan Gong yang menjadi lambang kebudayaan mereka. Usaha ini turut diperkukuhkan melalui penganjuran festival kebudayaan yang menyemai rasa jati diri dan kebanggaan dalam kalangan rakyat Sabah. Selain itu, warisan budaya Rungus seperti rumah panjang, seni pertanian tradisi dan upacara 'Mangatod' menjadi tarikan pelancongan budaya, sekali gus menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan tempatan. Dalam bidang ekonomi kreatif, penghasilan tenunan tangan, manik-manik dan alat muzik tradisional telah menjana pendapatan kepada ramai pengrajin tempatan, khususnya golongan wanita, dan mendorong pertumbuhan ekonomi komuniti setempat. Kaum Rungus juga memainkan peranan sebagai ejen perpaduan di Sabah melalui keterlibatan aktif dalam acara kebudayaan bersama etnik lain, yang menggalakkan semangat toleransi, keharmonian, dan kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Tambahan pula, mereka turut memartabatkan alat muzik tradisional seperti Gong yang menjadi warisan penting dalam majlis rasmi dan adat. Secara keseluruhannya, kaum Rungus bukan sahaja berjaya mengekalkan identiti dan warisan budaya mereka, tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pembangunan pelancongan, ekonomi kreatif, dan pengukuhan perpaduan sosial di Malaysia.
Pinakol - Aksesori tradisional dalam pakaian wanita Rungus
Tarian tradisional Rungus
Mesej atau nilai yang boleh diperolehi daripada kehidupan masyarakat Rungus di Sabah ialah pentingnya pemeliharaan identiti budaya dalam memperkukuh perpaduan dalam masyarakat majmuk. Keunikan adat, bahasa dan tradisi mereka membuktikan bahawa warisan budaya bukanlah penghalang kepada keharmonian, malah menjadi asas pembentukan jati diri yang kukuh dalam kalangan rakyat yang berbeza latar belakang. Masyarakat Rungus juga menunjukkan contoh hidup bersama etnik dan agama lain dengan penuh hormat dan toleransi, menggambarkan bahawa perpaduan boleh dicapai melalui saling menghargai perbezaan. Tambahan pula, nilai menghormati alam dan mengamalkan kehidupan yang seimbang yang diamalkan oleh masyarakat ini memberi pengajaran penting agar manusia hidup selaras dengan alam sekitar demi kelangsungan generasi akan datang. Secara keseluruhan, masyarakat Rungus memperlihatkan bahawa perpaduan lahir daripada penghormatan terhadap budaya sendiri dan budaya orang lain, nilai tanggungjawab, keharmonian, dan hubungan yang seimbang antara manusia dengan alam serta nilai-nilai yang amat relevan dalam pembinaan sebuah negara Malaysia yang bersatu dan harmoni.
DISEDIAKAN OLEH: SITI NABILAH IZZATI