Pengenalan

Apakah Itu Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA)?

EKSA mula diperkenalkan pada bulan Januari 2014. MAMPU telah mengambil inisiatif untuk menambahbaik pelaksanaan Amalan 5S yang kini dijenamakan semula kepada Ekosistem Kondusif Sektor Awam. Langkah ini selaras dengan usaha memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif dalam kalangan agensi-agensi sektor awam melalui penyediaan persekitaran, budaya kerja serta nilai yang menjadi amalan seluruh warga agensi sektor awam.

Penjenamaan Semula 5S

Kompenen utama dalam pelaksanaan EKSA masih berteraskan Amalan 5S yang ditambahbaik disamping penambahan beberapa elemen baharu. EKSA bukan bertujuan untuk menggantikan konsep 5S yang diamalkan sebelum ini, sebaliknya menambahbaik elemen 5S tersebut dengan menyokong kepada pewujudan persekitaran kerja yang lebih kondusif iaitu:

  • Imej korporat - identiti atau persepsi pelanggan/pihak berkepentingan
  • Kreativiti dan inovasi - berfikir di luar kotak untuk menghasilkan persekitaran kerja kondusif
  • Amalan hijau - program kitar semula dan kecekapan penggunaan tenaga ke arah penjimatan
  • Persekitaran kondusif - penekanan kepada sistem perkhidmatan, mesra pelanggan
  • Kepelbagaian agensi - model penilaian dan pengauditan kepelbagaian premis

Tujuan Pelaksanaan

  • memperluaskan pelaksanaan di agensi-agensi kerajaan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif;
  • meningkatkan imej korporat;
  • menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi selaras dengan tuntutan pihak berkepentingan;
  • menggalakkan aktiviti ke arah mewujudkan persekitaran hijau melalui pembudayaan Amalan Hijau; dan
  • memastikan elemen pengauditan memenuhi keperluan kepelbagaian agensi kerajaan.

Apakah Itu 5S?

5S merupakan satu amalan budaya daripada masyarakat Jepun, dengan memberi fokus dalam mewujudkan satu keadaan persekitaran yang berkualiti di dalam sesebuah organisasi yang mampu memastikan standard yang ditetapkan serta menerapkan semangat untuk penambahbaikan berterusan. 5S merupakan singkatan kepada perkataan Jepun iaitu Seiri (Sisih), Seiton (Susun), Seiso (Sapu), Seiketsu (Seragam) dan Shitsuke (Sentiasa Amal).

Konsep Amalan 5S (QE)

Konsep asas Amalan 5S adalah seperti berikut:

  1. SISIH (SEIRI)

Mengasingkan barang-barang yang tidak diperlukan di tempat kerja dan membuangkannya.

  • SUSUN (SEITON)

Susun barang-barang yang diperlukan dengan teratur supaya ianya mudah diambil untuk digunakan.

  • SAPU (SEISO)

Bersihkan tempat kerja anda dengan rapi supaya tiada habuk di atas lantai, mesin dan perkakas.

  • SERAGAM (SEIKETSU)

Memelihara taraf penjagaan kebersihan dan penyusunan tempat kerja yang tinggi pada setiap masa.

  • SENTIASA AMAL (SHITSUKE)

Melatih pekerja mematuhi peraturan penjagaan kebersihan yang baik dengan sendirinya.

Objektif

a) Meningkatkan kecekapan bekerja melalui amalan dan budaya yang berkualiti dan bersistematik;

b) Meningkatkan mutu perkhidmatan melalui penerapan budaya kaizen (inovasi);

b) Membantu dalam memastikan kos operasi dapat dikurangkan secara optimum; dan

c) Membantu dalam menyediakan persekitaran yang kondusif, selamat dan penggunaan ruang yang efisien secara total

Faedah Pelaksanaan 5S

a) Meningkatkan imej korporat Jabatan/Agensi

b) Peluang mengurangkan rungutan dan aduan pelanggan

c) Penggunaan ruang kerja yang optimum

d) Memudahkan pengurusan stor dan dokumen yang lebih teratur

e) Meningkatkan semangat kerja berpasukan

f) Mengurangkan kos operasi dan menghapuskan pembaziran di tempat kerja

g) Memudahkan kawalan stok/inventori secara lebih berkesan

h) Persekitaran tempat kerja lebih bersih, selamat dan kondusif