Selari dengan perkembangan pesat Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sekolah Menengah Sains Sembrong selangkah ke hadapan dengan memperkenalkan sebuah laman interaktif untuk menyebarluaskan maklumat berkaitan sekolah dan warganya secara pantas dan menyeluruh. Edu SASEM merupakan sebuah inovasi sekolah yang bukan sahaja menjadi hab pembelajaran kendiri, malah turut menjadi wahana penyebaran maklumat kepada warga sekolah mahupun komuniti luar. Kewujudan laman interaktif ini memudahkan lagi usaha pihak sekolah untuk memasyarakatkan Sekolah Menengah Sains Sembrong agar mesra pelanggan dan dikenali ramai.
Melalui Edu SASEM, murid-murid boleh belajar secara kendiri berpandukan bahan-bahan pembelajaran yang dimuat naik oleh guru-guru mata pelajaran. Selain itu, murid-murid dan ibu bapa juga boleh menyemak keputusan ujian dan peperiksaan serta pencapaian Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara dalam talian. Aktiviti dan maklumat terkini berkaitan sekolah juga akan sentiasa dikemaskinikan agar warga sekolah dan komuniti luar mendapat maklumat yang tepat dan sahih.
Oleh itu, laman Edu SASEM ini seharusnya dimanfaatkan secara maksimum oleh semua pihak. Pendek kata, semua maklumat berkaitan Sekolah Menengah Sains Sembrong kini tersedia di hujung jari anda.