APA ITU EDU SASEM?

BERFOKUS. BERKUALITI. BERKESAN.

Pembelajaran luar bilik darjah dengan menggunakan medium teknologi merupakan tuntutan pendidikan masa kini. Walaubagaimanapun, lambakan maklumat di internet menyebabkan pembelajaran kendiri tidak lagi efektif. Bahan pembelajaran yang tidak dikawal selia oleh sebarang institusi pendidikan dan juga pengaruh berterusan dari media massa menyebabkan kemudahan internet tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk pendidikan, sebaliknya hanya tertumpu kepada hiburan semata.


Edu SASEM merupakan sebuah platform e-learning yang dibina dengan tujuan menyediakan sebuah persekitaran khusus untuk pendidikan. Berbeza dengan laman platform perkongsian video yang lain, Edu SASEM dikawal selia oleh warga pendidik dan dibantu oleh pelajar-pelajar yang terlatih. Video-video yang dikongsikan di platform ini adalah yang berbentuk ilmiah, kualiti setiap video dipelihara, dan maklumat yang dikongsikan adalah tepat. Ini untuk memastikan setiap saat yang dihabiskan oleh pelajar di platform ini adalah bermakna.


Selain itu, Edu SASEM juga berfungsi untuk memaksimakan impak pengajaran guru-guru di dalam kelas. Video yang disediakan disini boleh digunakan sebagai pengukuhan untuk pembelajaran yang telah berlangsung di dalam kelas atau sebagai sebahagian bahan bantu mengajar semasa di dalam kelas. SM Sains Sembrong (SASEM) memiliki guru-guru berjiwa pendidik yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara, dan Edu SASEM bercita-cita menjadi salah satu wadah untuk mencapai misi tersebut.