Sayyidul Istighfar
(Penghulu Istighfar)
(Penghulu Istighfar)
Tekan link di bawah untuk download Poster SAYYIDUL ISTIGHFAR bagi sebaran am atau kegunaan sendiri. TQ
Dalam kehidupan yang penuh dosa dan alpa ini, kita perlulah banyak beristighfar kepada Allah SWT iaitu memohon ampun kepada-Nya di atas segala dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan. Ini kerana, Nabi SAW yang telah mengetahui bahawa Allah SWT mengampunkan dosa baginda yang telah lalu dan akan datang pun tidak pernah meninggalkan istighfar ini.
Dalam sebuah hadith, diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”.
[Riwayat al-Bukhari (6307)]
Terdapat banyak manfaat yang diperolehi melalui zikr istighfar ini, pertamanya ianya akan memadamkan dosa-dosa yang dilakukan oleh kita sebagai hambaNya yang lemah dan lalai sebagaimana maksudnya yang paling ringkas adalah kita meminta ampun kepadaNya atas dosa-dosa kita. Selain itu zikir istighfar ini terdapat janji-janji Allah yang nyata bagi mereka yang mengamalkannya seperti yang terdapat dalam al-Quran Surah Nuh ayat 10-12.
فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًا ١٠
يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ١١
وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّـٰتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَـٰرًا ١٢
Maksudnya:
"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.
"(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
"Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).
Surah Nuh 71 : Ayat 10-12
Seperti yang tertulis dalam ayat Surah Nuh tersebut, nyata bahawa Allah menjanjikan beberapa manfaat yang jelas iaitu, hujan lebat yang mencurah-curah, harta kekayaan dan rezeki yang melimpah ruah serta zuriat keturunan kepada mereka yang mengamalkan istighar dan meminta ampun kepadaNya. Dengan ayat ini sahaja memang jelas akan janji Allah kepada mereka yang mengamalkan, hanya dengan meminta ampun atas kesalahan-kesalahan yang sememangnya kita yang melakukannya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang.
Demikian menunjukkan akan pentingnya istighfar di dalam kehidupan seharian kita. Namun, ada perkara yang lebih hebat daripada istighfar itu sendiri, iaitu Penghulu Istighfar atau ia dinamakan sebagai Sayyid al-Istighfar.
Daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. [Riwayat al-Bukhari (6306)]
Di dalam Fath al-Bari, Imam Ibn Hajar menaqalkan perkataan Ibn Jamrah yang mengatakan bahawa di dalam hadith ini, Nabi SAW telah menghimpunkan seni makna-makna serta lafaz-lafaz yang indah dan dengan itu melayakkan ia digelar sebagai penghulu segala istighfar. Di samping itu juga, terdapat padanya ikrar kepada Allah yang Esa akan keEsaan-Nya dan juga Ubudiyyah kepada-Nya (yang hanya berhak disembah). Tambahan pula, di dalamnya terdapat pengiktirafan (daripada hamba) bahawa Allah adalah pencipta dan beriqrar dengan janji yang diambil oleh Allah ke atasnya.
Selain itu, berserah dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya serta memohon perlindungan (daripada Allah) dari segala kejahatan yang dilakukan oleh seseorang hamba itu terhadap dirinya. Di dalamnya juga terdapat sandaran kesenangan kepada pencipta-Nya dan juga sandaran dosa kepada diri pelakunya serta keinginannya untuk memohon ampun dan pengiktirafan akan dosa yang telah dilakukannya bahawa tiada yang mampu untuk mengampunkan dosa-dosa tersebut melainkan Allah SWT. [Lihat: Fath al-Bari, 100/11]
Di dalam hadith ini juga, Nabi SAW menyatakan akan kelebihan bagi sesiapa yang beramal dengan Sayyid al-Istighfar.
Sabda Baginda SAW lagi di dalam hadith yang sama:
وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyid al-Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”.
Kesimpulannya, istighfar sangat penting kerana padanya terdapat banyak kelebihan. Selain itu juga, kita sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan perlulah melazimi istighfar di dalam kehidupan seharian kita. Tambahan lagi, mengatahui akan janji-janji Allah kepada hamba-hambaNya yang mengamalkan, dan juga diberikan Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar) yang mana hamba-hambaNya dijanjikan syurga kepada sesiapa yang mangamalkannya, adakah kita akan masih lagi leka dan tidak mahu mengamalkan?
Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa melazimi istighfar serta menggolongkan kita dalam kalangan penghuni syurga. Aamiin.