Dengan Nama Allah, Yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.
Drive In Zikr adalah satu usaha kecil untuk menggalakkan dan cuba mengingatkan diri kita untuk berzikir semasa kita memandu.
Tempoh masa sewaktu kita memandu adalah aset tak ternilai kita sebenarnya. Waktu tersebut walaupun hanya beberapa minit adalah satu tempoh waktu secara separa-sedar kita akan berfikir dan mengingati perkara-perkara penting yang berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari sambil kita berhati-hati dan fokus dalam pemanduan.
Waktu tersebut juga adalah satu waktu me-time berkualiti tanpa gangguan yang boleh dimanfaatkan bagi mengisi (dan juga menyucikan) hati dan mengetuk minda kita bagi mengingati Allah SWT.
Sesungguhnya mengingati Allah adalah satu-satunya perkara yang seharusnya kita lakukan dalam kehidupan kita yang sementara ini. Dan ia akan membawa kita kepada ketenangan yang sangat didambakan di dunia ini, bersama kemenangan dan keuntungan berkekalan di akhirat abadi insyaAllah.
Tiada yang kebetulan, firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ ٢٨
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ طُوبَىٰ لَهُمْ وَحُسْنُ مَـَٔابٍۢ ٢٩
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.
Surah Ar-Ra'd 13 : Ayat 28-29