LATAR BELAKANG PENDIDIKAN
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kota Kuala Muda, Kedah (SKKKM) pada tahun 1977 sehingga tahun 1982. Seterusnya melanjutkan pelajaran ke Maktab Mahmud , Alor Setar, Kedah dari tahun 1983 hingga tahun 1989. Banyak ilmu yang ditimba di Maktab Mahmud dan berkat ketabahan dapat meneruskan pengajian ke Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa selama 2 tahun. Mengambil jurusan Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences sesi 1989/1991 . Tahun pertama ditempatkan di Pusat Matrikulasi UIAM di Subang Jaya, Selangor dan tahun kedua pula di Pusat Matrikulasi UIAM di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Perasaan takut dan gembira bercampur-baur ketika mula-mula menerima tawaran untuk menyambung pelajaran di UIAM maklumlah latar belakang Bahasa Inggeris yang agak lemah. Namun dengan semangat dan dorongan daripada keluarga teruntamanya daripada ayahanda Haji Marzukhi bin Shafie yang ketika itu masih seorang guru, bonda Ghayah Mohamed (suri rumah) dan juga abang sulung iaitu Muhammad Fuad b. Marzukhi, juga seorang guru, perasaan yang rencam itu dapat ditangani.
Alhamdulillah, rasa syukur yang amat mendalam kerana berjaya menghabiskan pelajaran di pusat matrikulasi dengan cemerlang dan seterusnya dapat menyambung pengajian di Kampus Induk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor pada Jun 1991. Mengambil jurusan Human Sciences , major dalam Sosiology and Ahthropology dan minor dalam Islamic Revealed Knowledge and Heritage. Selama 3 tahun setengah (Jun 1991-Disember 1994 berada di perantauan mencari ilmu untuk bekalan pada hari mendatang. Hasil penat lelah membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Atas (B.A (Hons) Human Sciences).
Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada mak, ayah , abang dan adik-adik kerana banyak berkorban masa dan wang ringgit untuk membantu kejayaan saya. Begitu juga kawan-kawan yang banyak membantu diri ini , antaranya Nor Aisah Ariff (kini menjadi pensyarah di UIAM), Aniza Abdullah (Anne) dan Roslina Abdul Hamid (Lin), kedua-duanya guru.
Sokongan kuat daripada ayah dan abang yang merupakan guru sedikit sebanyak telah memberi inspirasi kepada diri ini agar berusaha menjadi pendidik seperti mereka. Alhamdulillah , berjaya melanjutkan pengajian di Institut Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak , mengikuti Program KPLI-Kursus Perguruan Lepasan Ijazah , opsyen Sejarah.
Di sinilah minat untuk menjadi seorang guru bercambah. Setahun menimba ilmu di IPSI, rasa seronok dan teruja untuk menjadi guru makin membara. Melaksanakan Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) di SMK Panglima Perang Kiri, Tapah Road dan praktikum seterusnya di SMK Sultan Abdullah , Chenderung Balai, Telok Intan, Perak.
Setahun berkelana di tempat orang, akhirnya diri ini dihantar berkhidmat di SMK Serdang , Kedah pada tanggal 7 Januari 1997. Hanya setahun berkhidmat di situ, seterusnya perlu bertukar ke Pulau Pinang kerana mengikut suami yang bekerja di sana. SMJK (C) Convent Datuk Keramat yang terletak di hadapan Padang Brown merupakan sekolah kedua selepas SMK Serdang, Kedah. Selama 4 tahun di sana dari Januari 1998 hingga Disember 2001. Mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. Memohon untuk bertukar kembali ke negeri kelahiran , Kedah dan permohonan berjaya, Alhamdulillah. SMK Jalam Paya Besar ialah sekolah ketiga saya berkhidmat sebagai guru. Sekolah ini mula beroperasi pada Januari 2002, bermakna saya antara 'pemugar', bersama-sama Cikgu Wahab, Cikgu Rosliza, Cikgu Zurini, Cikgu Vejey, Cikgu Halim, Cikgu Ashat, Cikgu Haslina, Cikgu Ayob Khan, Cikgu Hawariah, Cikgu Gobi, Cikgu Zaiton Taib, Cikgu Saripah, Cikgu Mat Ropi , Cikgu Amir , Cikgu Sobah, Cikgu Halijah , Cikgu Suriani , Cikgu Lim Ah Tong , Cikgu Subbuletchumi dan beberapa orang guru lagi (hanya yang terlintas di minda), berada di bawah pimpinan Allahyarham Cikgu Mohd Nor Othman.
2020 - tahun ke-23 menjadi guru. Semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi pahit getir mendidik anak-anak bangsa ...kerana Allah Taala. Keseronokan menjadi pendidik makin menebal di dalam jiwa. Rasa teruja apabila anak-anak didik berjaya dalam hidup mereka tidak kira sebagai ahli akademik atau apa-apa jua bidang yang diceburi. Tidak semua orang dilahirkan bijak namun semua insan yang dilahirkan ada kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Wallahu a'lam.
Ahli Keluarga
Allahyarham Haji Marzukhi Bin Shafie (1937-2003)
Bonda Ghayah Binti Mahamed (83 tahun)
Kakak Zakiyah Binti Marzuki (1960 - 1962)
Mazura binti Marzukhi (50 tahun -17/10/1970)
Abang Muhammad Fuad Bin Marzuki (1963 - 2008)
Adik Mahfudzoh Binti Marzuki (43 tahun)
Adik Mahanim Binti Khalip (adik sepupu - 39 tahun)