Teknik Menulis Pendahuluan Karangan
Ayat Definisi
Ayat Tokoh (Menurut ... / Perdama Menteri menyatakan ...)
Ayat Sejarah (Pada masa dahulu.../Sejak dahulu lagi.../Dahulu ...)
Ayat Semasa (Kini.../ Pada masa ini.../Dasawarsa ini.../Dunia sekarang ini/...dalam marcapada)
Ayat Soalan (Persoalannya...)
Contoh Pendahuluan (Manfaat Penghayatan Rukun Negara)
Rukun Negara merupakan ideologi kebangsaan yang digubal untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Setiap rakyat di negara ini perlulah menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara bagi memastikan masyarakat Malaysia dapat hidup aman dan harmoni. (ayat definisi)
Menurut mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Rukun Negara yang telah digubal merupakan sebuah ideologi yang mampu menjadi asbab penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini. (ayat tokoh)
Jika suatu ketika dahulu pernah berlaku rusuhan kaum iaitu pada tanggal 13 Mei 1969 yang telah mencacatkan coretan sejarah negara, kita amat berharap peristiwa seperti itu tidak akan berlaku lagi di Malaysia. (ayat sejarah)
Kini, masyarakat majmuk di negara ini hidup aman sejahtera dengan mengamalkan nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bertolak ansur, hormat-menghormati dan sentiasa bekerjasama dalam pelbagai perkara. (ayat semasa) Keharmonian ini perlu dikekalkan kerana jika berlaku lagi pergaduhan sesama kaum maka kedaulatan negara juga sukar dipertahankan.
Persoalannya, apakah manfaat penghayatan prinsip Rukun Negara kepada masyarakat di Malaysia? (ayat soalan).
Teknik Mengembangkan Isi/Huraian
Ayat penyata bagi isi utama
Ayat Huraian 1 - (Mengapa - Hal ini demikian kerana...)
Ayat Huraian 2 - (Bagaimana atau Kesan)
Ayat Huraian 3 - (Ayat contoh - Sebagai contoh,.../ ...contohnya...)
Ayat Penegasan - (Olah semula ayat isi utama dengan menegaskan isi tersebut - Jelaslah bahawa.../Izharlah...)
...bersambung.
Kesihatan dari segi fizikal, mental, rohani dan emosi amat penting dalam kehidupan remaja.
Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan amalan-amalan remaja yang sihat.
Kesihatan bukan sahaja berkaitan dengan bebas daripada penyakit tetapi juga memiliki pemikiran yang cerdas bersama-sama emosi yang stabil. Pemilikan kesihatan yang baik penting buat remaja kerana tahap kesihatan ketika usia mudalah yang akan menentukan tahap kesihatan mereka pada masa tua kelak. Malah, penting untuk remaja sentiasa membesar dengan sihat kerana negara ini bergantung harap kepada generasi muda untuk kemajuan masa hadapan bak kata pepatah “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Mantan Presiden Indonesia pernah berkata, “Berikan aku sepuluh orang remaja waja, pasti aku biasa goncangkan dunia” jelas membuktikan bahawa remaja yang waja sihat mental dan fizikal mampu mengorak kemajuan sesebuah negara. Untuk mendapatkan kesihatan yang baik, remaja harus melakukan amalan yang baik untuk perkembangan fizikal, mental dan emosi.
Antara amalan yang harus dilakukan ialah remaja perlu mempunyai disiplin diri yang baik. Maksud disiplin dalam aspek ini ialah remaja itu mematuhi jadual belajar, menghormati orang tua, guru, rakan-rakan dan peraturan budaya serta undang-undang negara. Remaja yang berdisiplin sebegini pasti tidak akan terjebak dalam sebarang aktiviti yang tidak sihat dalam kehidupan mereka lalu mampu memiliki tahap kesihatan yang baik. Maka, amalan disiplin yang baik menjadikan seseorang remaja itu mempunyai kesihatan yang baik. Sesuai dengan pendapat ahli falsafah Hamka yang mengatakan bahawa, “Di dalam medan hidup, ada beberapa undang-undang yang harus dijaga dan diperhatikan. Ada yang berhubungan dengan kesihatan tubuh, dengan kebersihan akal dan yang berhubung dengan kemuliaan adab dan budi”.
Selain itu, remaja juga perlulah mengamalkan cara hidup yang sihat.Konsep cara hidup yang sihat ini meliputi makanan yang seimbang, melakukan riadah dan aktiviti kemasyarakatan seperti melakukan kebajikan di rumah anak-anak yatim dan melawat rumah orang-orang tua. Aktiviti tersebut akan membantu kecerdasan fizikal dan mental remaja kerana badan cergas, otak cerdas. Sudah banyak kajian yang membuktikan bahawa amalan cara hidup yang sihat menjadikan diri seseorang itu lebih positif dan mampu menjalani kehidupan mereka dengan lebih baik lagi. Terdapat sebuah al-Hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang termasuk orang yang baik-baik ialah orang yang paling baik akhlak dan adab sopannya”. Sesungguhnya, cara hidup yang sihat menjamin kesihatan yang seimbang kepada remaja di negara ini.
Malahan, amalan mempelajari dan mematuhi ajaran agama merupakan satu lagi amalan yang turut mampu menguatkan kesihatan seseorang itu. Semua ajaran agama menekankan aspek keseimbangan kehidupan seseorang supaya mampu menjalani satu kehidupan yang baik di dunia dan akhirat kelak. Sikap mematuhi amalan agama memberikan remaja satu matlamat hidup yang mampu meninggikan tahap kesihatan mereka pada masa yang serupa pula. Ahli falsafah Hamka pernah mengatakan bahawa “Agama tidak melarang sesuatu perbuatan kalau perbuatan itu tidak merosak jiwa. Agama tidak menyuruh, kalau suruhan tidak membawa selamat dan bahagia jiwa”.Jadi, sikap mematuhi ajaran keagamaan boleh memberi remaja satu kepuasan dalam hidupnya yang berupaya juga meningkatkan tahap kesihatan.
Remaja juga perlu bersikap tegas terhadap tindakan-tindakan negatif yang wujud dalam kehidupan mereka. Sikap suka merokok, melepak, dadah dan jenayah haruslah dikikis dalam minda remaja. Ketegasan remaja dalam semua aspek di atas itu mampu menjauhi remaja daripada sebarang kemelut sosial yang melanda negara ini lalu memberikan kesihatan yang baik kepada remaja juga. Bukan sahaja remaja sihat tetapi mereka seolah-olah sedar keperluan atau kepentingan hidup mereka di dunia ini.
Amalan murni yang penting diamalkan seterusnya ialah remaja hendaklah mampu mengawal emosinya apabila berhadapan dengan sesuatu masalah.Ketenangan inilah yang memberikan remaja satu pemikiran yang rasional dan rela berbincang apabila mengalami sesuatu kemelut dalam hidup mereka. Semua tindakan yang diambil ketika berfikir rasional mampu memberikan satu persepi baru yang boleh menunjukkan jalan keluar terhadap masalah yang dihadapi itu. Pujangga pernah mengatakan bahawa tiada satu kejahatan pun yang dapat dinilai sebagai baik, meskipun melakukan kejahatan itu dikatakan bertujuan baik. Oleh itu, sikap rasional ketika melakukan sesuatu tindakan boleh menjadikan kesihatan seseorang itu lebih baik.
Kesimpulannya, semua amalan yang positif ini perlu dilaksanakan oleh remaja. Kesihatan remaja yang mengamalkan semua amalan ini pasti baik kerana bukan sahaja tubuh mereka sihat tetapi emosi serta pemikiran mereka turut menerima impak positifnya. Ingatlah bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.Remaja yang sihat sebeginilah yang diperlukan oleh negara dalam mengharungi cabaran kehidupan moden kini. Sekiranya remaja benar-benar sedar tentang kepentingan amalan hidup yang sihat, pasti remaja akan berusaha untuk mencapainya kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Pelancongan dianggap sebagai satu industri yang menguntungkan negara. Kemukakan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menggalakkan kedatangan para pelancong ke
Pelancongan dianggap sebagai satu industri yang menguntungkan negara. Kemukakan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menggalakkan kedatangan para pelancong ke Malaysia.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa sektor pelancongan telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara Malaysia. Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik, menjelaskan bahawa sektor pelancongan akan terus menawarkan sejumlah RM 15.2 billion menjelang tahun 2000 melebihi daripada jumlah yang dijangkakan. Berdasarkan hakikat itu, usaha-usaha perlu ditingkatkan lagi oleh semua pihak supaya setiap perancangan yang diatur terhadap industri pelancongan dapat berjalan dengan lancar.
Keistimewaan Malaysia dapat diperhatikan melalui budaya dan etika kerja penduduknya, bangunan dan perusahaannya, tempat-tempat sejarah yang unik, dan keindahan alam semulajadinya seperti bukit-bukau yang menghijau, rangkaian pulau yang cantik, air terjun yang bertingkat-tingkat, dan pantainya yang putih bersih. Keistimewaan-keistimewaan tersebut menjadi faktor pendorong kepada kedatangan pelancong ke negara kita. Untuk menggalakkan lagi kedatangan mereka, langkah-langkah yang wajar dan program terancang harus dilaksanakan, seperti membuka tempat-tempat rekreasi yang baru dan berpotensi, dan melaksanakan pembangunan di kawasan pelancongan. Ini termasuklah menyediakan prasarana dan kemudahan penginapan untuk kegiatan pelancongan, serta mengekalkan tempat-tempat bersejarah. Projek pembangunan semula jadi juga dapat mendatangkan pulangan yang besar kepada ekonomi negara.
Kita juga dapat mengembangkan aktiviti pelancongan melalui usaha-usaha politik seperti menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara luar yang boleh dilakukan melalui misi-misi lawatan rasmi. Di samping itu, pihak Perbadanan Pelancongan Malaysia boleh memajukan industri pelancongan dengan cara mengedarkan risalah tentang keistimewaan-keistimewaan yang terdapat di Malaysia, misalnya tempat-tempat pelancongan yang menarik, tempat-tempat yng bersejarah, pelbagai kebudayaan kaum, makanan masyarakat setempat, dan sebagainya. Usaha-usaha promosi boleh dijalankan menerusi penayangan filem-filem rencana tentang keindahan negara Malaysia.
Agensi-agensi pelancongan juga boleh memainkan peranan dengan cara menawarkan pakej pelancongan yang berpatutan agar pelancong mudah tertarik dan tidak menghadapi masalah untuk berkunjung ke negara kita.
Di samping kestabilan politik, pihak kerajaan juga harus memastikan perkembangan ekonomi negara terus meningkat. Oleh itu, pengeluaran pelbagai barangan tempatan dan industri desa seperti kraf tangan, batik, dan barangan makanan perlu ditingkatkan. Seterusnya, kemudahan tempat membeli-belah dan kawasan bebas cukai harus disediakan untuk menampung keperluan pelancong. Dengan itu, kemudahan-kemudahan tersebut akan menjadikan tarikan kepada pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Satu perkara lagi ialah pihak kerajaan perlu memastikan nilai mata wang negara terus berkeadaan stabil.
Masyarakat atau penduduk tempatan juga boleh berusaha untuk menarik minat pelancong. Mereka boleh mengamalkan corak hidup yang harmoni, beramah mesra, bersopan santun, dan bertoleransi dengan para pelancong. Sikap biadab dan karenah buruk penduduk tempatan akan memberikan persepsi negatif kepada pelancong. Para pelancong akan bertindak lebih drastik dengan melaporkan kepada mana-mana media yang akhirnya menjatuhkan imej negara. Oleh itu, untuk meningkatkan lagi imej negara, kebersihan setempat juga harus dijaga.
Kesimpulannya, industri pelancongan merupakan satu projek atau program pembangunan yang menguntungkan negara daripada pelbagai sudut. Sebagai satu industri yang menguntungkan, faktor-faktor semula jadi yang menarik dalam negara harus dikekalkan. Manakala semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung hendaklah mengambil tahu tentang industri ini. Orang awam sekurang-kurangnya boleh memainkan peranan dengan cara bertegur sapa dengan para pelancong atau sekadar mengukir senyuman sebagai tanda persahabatan.
(ihsan daripada blog Cikgu Razak)