PERBANDINGAN ANTARA CANVA DENGAN POWER POINT
PERBANDINGAN ANTARA CANVA DAN POWER POINT.
Canva merupakan alat untuk membuat pelbagai reka bentuk grafik termasuklah poster, risalah, infografik, sepanduk dan banyak lagi. Canva mempunyai fungsi yang hampir sama dengan Power Point. Namun, setiap aplikasi sudah pasti mempunyai perbezaan yang ketara yang menjadikan setiap aplikasi tersebut mampu digunakan dengan baik oleh setiap pengguna. Terdapat beberapa perbandingan antara aplikasi Canva dan Power Point yang menjadikan kedua platform ini terlihat sedikit berbeza antara satu sama lain.
Antara perbandingan yang paling ketara antara Canva dan Power Point adalah dari segi ‘template’ yang disediakan. Di dalam aplikasi Canva ini, para pengguna hanya perlu memilih setiap ‘design’ atau reka bentuk ‘template’ yang telah disediakan. Terdapat beribu-ribu ‘template’ yang disedikan yang bertujuan untuk memudahkan para pengguna. Kita tidak perlu bersusah payah untuk memuat turun atau membeli ‘template’ pembentangan lagi kerana kita hanya perlu melakukan sedikit suntingan untuk menjadikan persembahan slaid kita lebih menarik. Berbeza pula dengan Power Point. Aplikasi ini hanya menyediakan sedikit sahaja ‘template’ sedia ada untuk para pengguna. ‘Template’ yang disediakan juga sangat ringkas dan tidak terlalu menarik untuk digunakan. Oleh hal yang demikian, pengguna perlu mencari gambar-gambar yang sesuai untuk dijadikan sebagai latar belakang persembahan slaid. Hal ini bertujuan untuk menjadikan slaid kelihatan lebih menarik dan mampu menarik minat orang yang melihat. Sekiranya kita menggunakan ‘template’ Power Point yang sedia ada, sejujurnya ‘template’ tersebut kurang menarik dan akan membuatkan orang yang melihat terasa bosan.
Selain itu, dalam menggunakan aplikasi Canva juga, kita tidak perlu bersusah payah untuk menggunakan laptop atau PC kerana Canva juga boleh digunakan di dalam telefon pintar. Hal ini sangat membantu kerana, sekiranya seseorang itu ingin melakukan sebarang penambahan ataupun ingin membetulkan kesilapan yang berlaku di dalam persembahan slaid, mereka hanya perlu melayari aplikasi tersebut di dalam peranti mudah alih mereka. Selepas itu, mereka bebas untuk melakukan sebarang penambahbaikan terhadap slaid tersebut. Hal ini sedikit sebanyak dapat menjimatkan masa pengguna kerana mereka boleh menghasilkan persembahan slaid tidak kira dimanapun mereka berada. Berbeza pula dengan Power Point. Aplikasi ini hanya boleh dilayari menggunakan laptop atau PC sahaja. Perkara ini sedikit rumit sekiranya pengguna ingin melakukan penambahbaikan dengan segera. Penghasilan slaid melalui aplikasi ini juga akan sedikit terbatas memandangkan hanya laptop dan PC sahaja yang boleh digunakan. Hal ini bermakna, sekiranya pengguna ingin menghasilkan persembahan slaid menggunakan aplikasi ini, maka, mereka perlu mencari tempat yang sesuai untuk menggunakan laptop atau PC bagi melayari aplikasi ini.
Seterusnya, perbezaan yang ketara juga terlihat apabila aplikasi Canva ini menawarkan pelbagai jenis kemudahan untuk para pengguna. Di dalam aplikasi ini, para pengguna boleh menghasilkan persembahan slaid, logo, kad perniagaan, resume, siaran media sosial dan banyak lagi. Hal ini dapat membantu memudahkan pengguna kerana mereka tidak perlu memuatnaik pelbagai aplikasi. Cukup dengan menggunakan Canva sahaja, pengguna boleh menghasilkan pelbagai perkara. Berbeza pula dengan Power Point, aplikasi ini merupakan pilihan yang ideal sekiranya para pengguna ingin menghasilkan slaid sahaja.
Disamping itu, Canva juga merupakan alatan reka bentuk grafik yang terbaik untuk pengguna yang bukan dari dalam kalangan pereka. Hal ini kerana, aplikasi ini amat mudah digunakan dan sangat ringkas. Alatan yang disediakan di dalam aplikasi ini juga tidak terlalu banyak sehingga mampu memeningkan pengguna. Oleh sebab itu, aplikasi ini juga sangat sesuai untuk para pelajar mahupun tenaga kerja mahir. Namun berbeza pula dengan Power Point. Power Point merupakan program reka bentuk persembahan khas untuk mencipta persembahan slaid yang tampak profesional. Aplikasi ini sesuai untuk para pengguna yang ingin mencari perisian yang mudah digunakan untuk mencipta persembahan slaid, tetapi bukan untuk visual grafik yang lain.
Perbezaan seterusnya adalah dari segi harga. Para pengguna boleh menggunakan ‘template’ yang disediakan di dalam Canva secara percuma. Satu-satunya perkara yang perlu dibayar adalah apabila para pengguna ingin menggunakan salah satu imej premium yang ditawarkan di dalam aplikasi tersebut. Sekiranya para pengguna tidak mahu membayar walau sedikitpun, maka mereka boleh menggunakan ‘template’ yang telah disediakan secara percuma dan pengguna tidak perlu menggunakan ‘template’ premium. Canva juga mempunyai model harga premium untuk beberapa ciri tambahan yang membawa kita ke titik seterusnya. Misalnya, ‘Canva For Work’ ditawarkan dengan harga $12.95 sebulan. Dengan ini, para pengguna boleh mendapatkan akses kepada ‘Canva For Work’ yang membolehkan para pengguna dan ahli kumpulan mencipta grafik yang selaras dengan penjenamaan visual tanpa memerlukan latihan reka bentuk yang meluas. Penggunaan ‘Canva For Work’ juga dapat menjimatkan masa pengguna dan memastikan grafik yang dicipta kelihatan hebat. Namun, bagi Microsoft Power Point pula, ianya sememangnya tidak percuma. Kebanyakan pengguna akan membeli keseluruhan program Office 365 yang termasuk dengan keperluan lain seperti Word dan Excel untuk pembelian sekali gus iaitu sebanyak $149 atau kos tahunan sebanyak $100 ataupun $70 bergantung kepada fungsi dan program yang pengguna inginkan. Harga ini boleh menjadi terlalu mahal kepada sesetengah pengguna. Oleh hal yang demikian, pengguna boleh membeli Microsoft Power Point secara berasingan dengan harga $109 sahaja. Namun begitu, jikalau hendak dibandingkan dengan harga yang ditawarkan oleh Canva, sudah pasti ramai pengguna yang akan memilih aplikasi tersebut memandangkan Canva juga banyak menyediakan ‘template’ percuma.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai perbezaan antara Canva dan Microsoft Power Point yang terlihat ketara. Namun, segala alatan yang disediakan di dalam setiap aplikasi sudah pasti dapat membantu para pengguna untuk menyedikan persembahan slaid yang lebih menarik.