Honey ialah seorang wanita autistik dari Malaysia Timur yang mengenal pasti dirinya sebagai autistik. Beliau berumur awal 20-an. Kajian kes ini menceritakan pengalamannya dalam menavigasi ruang digital sebagai seorang belia queer yang neurodivergen, yang tidak dapat memperoleh diagnosis rasmi disebabkan oleh pelbagai halangan. Antara halangan tersebut termasuk laluan diagnosis yang tidak mudah diakses bagi wanita dan gadis apabila mencapai usia dewasa, serta pengkelasan autisme yang kini hanya sebagai subkategori di bawah Kecacatan Pembelajaran di Malaysia, yang menimbulkan lagi rintangan struktur dan institusi untuk pengiktirafan rasmi kecacatan beliau.
Kisahnya mencerminkan kedua-dua cabaran dan ketabahan dalam hidup sebagai seorang individu neurodivergen yang menghidapi gangguan tekanan akut dan sindrom keletihan kronik, keadaan yang timbul daripada ketidakmampuan sistemik persekitarannya, bukannya kekangan peribadi semulajadi. Dalam masyarakat yang didominasi oleh dunia dalam talian yang pantas, terpilih rapi, dan penuh dengan rangsangan visual, beliau menghadapi cabaran harian yang meningkatkan lagi beban deria dan keletihan. Walaupun demikian, beliau telah menemui cara untuk mendapatkan kembali dan menavigasi ruang digital demi mencapai kegembiraan dan keseronokan melalui bentuk ekspresi diri serta sebagai ruang untuk memperoleh pemberdayaan, khususnya berkaitan dengan persepsi beliau terhadap imej badan dan sikap positif.
Di Malaysia, masih terdapat kekurangan kesedaran tentang neurodivergen dan autisme. Autisme sering dilihat melalui lensa perubatan dan berasaskan kekurangan, dengan definisi tegar yang merangka ketidakupayaan sebagai sesuatu yang perlu diperbaiki dan bukannya ditampung. Bagi individu autistik seperti Honey, ini bermakna mengemudi kecurigaan masyarakat yang sama ada melihat perjuangan dan cabarannya sebagai tidak kelihatan atau mentakrifkannya semata-mata melalui lensa disfungsi dan ketidakupayaan.
Membesar dalam budaya yang melihatnya seperti ini menyukarkan Honey untuk memahami perjuangannya sendiri dan mengembangkan identiti dirinya sebagai seorang autistik yang memiliki penentuan nasib sendiri. Dengan sejarah keluarga yang mempunyai keadaan kesihatan mental yang tidak didiagnosis dan tidak diiktiraf serta stigma budaya yang melabelkan seseorang sebagai “kurang upaya” dalam masyarakat, beliau telah dibentuk untuk mendorong dirinya melebihi hadnya dan diajar bahawa beliau hanyalah “seperti orang lain”, bahawa sebarang cabaran yang dihadapinya adalah disebabkan oleh kelemahan peribadinya sendiri, bukannya halangan sistemik atau pengaruh budaya.
Ini mencerminkan bagaimana sikap ableisme tertanam dalam struktur budaya dan institusi—memaksa individu autistik seperti Honey untuk menavigasi dunia tanpa dapat membangunkan identiti dirinya sendiri dan pengiktirafan terhadap ketidakupayaannya sendiri akibat penginternalisasian sikap ableis secara tidak sedar.
Hanya semasa pandemik, apabila kehidupan menjadi perlahan dan segala-galanya beralih ke dalam talian, Honey mula meneroka dan benar-benar memahami pengalamannya.
“Saya terserempak dengan kandungan di TikTok daripada individu lain yang neurodivergen, terutamanya mereka yang didiagnosis lewat dalam hidup,” ujarnya. “Mendengar cerita mereka, saya benar-benar merasai kaitan dengan mereka, dan saya sedar bahawa saya tidak keseorangan. Saya bukan satu-satunya ‘anak berbakat’ yang terbakar habis sehingga sekadar melalui hari terasa mustahil sekarang.”
Untuk pertama kalinya, Honey merasa benar-benar dilihat dengan cara yang tidak pernah dialaminya dalam kehidupan seharian, dan ini memberinya ruang untuk tidak hanya memahami dirinya sebagai individu dengan lebih baik tetapi juga menerima neurodivergence-nya dan melihat dirinya dengan penuh belas kasihan, mempelajari bahawa menjadi berbeza tidak bermakna kurang. Melalui kandungan dalam talian ini, kini beliau mempunyai perkataan dan kosa kata untuk menamakan apa yang dialaminya dalam kehidupan dan apa yang mungkin berlaku.
Semasa Honey mengharungi tahun-tahun pembentukannya, platform digital seperti YouTube menjadi lebih daripada sekadar hiburan; ia menjadi sumber bimbingan, jaminan, hubungan, dan keselesaan yang penting untuknya. Tanpa adik-beradik dalam kehidupan sebenar untuk mendapatkan nasihat, beliau menemui teladan dalam pencipta kandungan dalam talian di mana mereka menawarkan petua praktikal tentang segala-galanya daripada membina persahabatan dan mengemudi dinamika sosial kepada mempelajari cara solekan dan persembahan diri. Selain daripada nasihat, mereka juga memberikan rasa kekitaan dan pengesahan, membantunya berasa kurang keseorangan dalam kejanggalan dan ketidakpastiannya.
Pempengaruh-pempengaruh dalam talian ini telah menjadi seperti kakak mayanya, menawarkan pandangan tentang soalan yang dia terlalu malu atau tidak pasti untuk bertanya di ruang di luar dunia digital. Walaupun terdapat sedikit interaksi langsung, kandungan mereka mempunyai ruang yang selamat di mana dia boleh meneroka identitinya dan belajar tentang keperempuanan tanpa penghakiman, terutama apabila terdapat gadis-gadis lain dalam talian yang bertanya soalan yang sama.
Platform digital juga menjadi ruang di mana Honey boleh mencari komuniti. Beliau menemui rasa kekitaan sebenar pertamanya dalam dunia cosplay, di mana beliau berhubung dengan individu yang berfikiran serupa yang berkongsi minat yang sama. Banyak persahabatannya bermula dalam talian, melalui tutorial tentang cara solekan dan penciptaan kostum, sebelum diterjemahkan kepada hubungan bersemuka di acara cosplay. Semangat komuniti ini membuatkan beliau berasa kurang "aneh" dan menunjukkan kepadanya bahawa terdapat ruang untuk semua orang, tidak kira betapa berbezanya mereka dalam situasi lain.
Ia juga membantunya berkembang secara sosial, menggalakkannya untuk melangkah keluar dari zon selesanya dan membentuk hubungan baharu mengikut syaratnya sendiri. Pengalaman-pengalaman ini bersifat transformatif, mengajarnya bukan sahaja cara untuk bertemu orang baharu tetapi juga cara untuk memahami dirinya dengan lebih baik. Berinteraksi dengan orang lain dalam komuniti-komuniti ini membuatkan beliau sedar bagaimana untuk menetapkan sempadan diri dan mengenali apa yang dihargainya dalam persahabatan dan interaksi sosial.
Platform digital, didorong oleh algoritma yang menghubungkannya dengan mereka yang berkongsi minat yang sama, menyediakan ruang untuk wanita autistik seperti beliau mengemudi interaksi sosial yang dirasai selamat dan mengiktiraf mereka. Dalam dunia yang sering menuntut agar dia memenuhi jangkaan neurotipikal dan normatif, ruang digital ini, sekali lagi, memberi kebebasan kepadanya untuk wujud seperti dirinya sendiri.
Standard kecantikan masyarakat dan keluarga membentuk setiap aspek imej diri Honey. Sejak kecil, beliau belajar bahawa kecantikan adalah bersyarat - terikat kepada norma ableis yang menyanjung kelangsingan, kulit cerah, dan keperempuanan konvensional.
Neurodivergennya, yang membolehkannya melihat kecantikan dengan cara yang pelbagai dan tidak konvensional, sering bercanggah dengan jangkaan ini. "Ia seperti teka-teki," jelasnya. "Kepingan teka-teki boleh disusun untuk membentuk gambar yang berbeza, tetapi masyarakat berkeras cuma hanya ada satu gambar yang betul, dan mereka tidak akan membenarkan anda menyusunnya mengikut cara anda."
Orang neurodivergen sering tertarik kepada gaya alternatif—goth, punk dan estetika lain yang menolak piawaian kecantikan normatif arus perdana dan menawarkan spektrum kecantikan dan ekspresi diri yang lebih luas. Ini sama dengan Honey yang mempunyai minat mendalam terhadap pakaian dan bereksperimen dengan solekan, walaupun ia sering disalahfahami sebagai satu bentuk pemberontakan. Ekspresi dirinya sering dipandang serong dan dikawal dalam kalangan keluarga dan masyarakat sekeliling. Minatnya terhadap fesyen dan solekan unik bukan sahaja dikritik keras, tetapi juga sering dijadikan senjata terhadapnya melalui ejekan yang menjelekkan dan memalukan. Intinya jelas: dia hanya boleh dilihat sebagai "cantik" jika dia mematuhi norma dan standard kecantikan masyarakat, dan sebarang percubaan untuk mengekspresikan cinta terhadap diri sendiri di luar batas tersebut dianggap sebagai mementingkan diri sendiri atau tidak wajar.
Di Malaysia, di mana nilai-nilai konservatif Asia yang sangat menekankan kesopanan, kepatuhan dan harapan keluarga, subkultur yang menerima ekspresi diri yang lebih berani sering dilihat sebagai mencabar atau tidak sesuai dengan budaya. Jurang ini semakin mendalamkan rasa keterasingan dalam diri Honey, menjadikan lebih sukar baginya untuk menjelaskan atau mempertahankan pilihannya. Ketidaksejajaran antara perspektif neurodivergen dan norma sosial di persekitarannya membuatnya sering merasa disalahertikan—bukan sahaja oleh keluarganya tetapi juga oleh masyarakat secara keseluruhan.
Kritikan ini sangat memberi kesan kepada beliau. Di satu sisi, utisme memberikannya perspektif unik untuk menghargai keunikan dalam kecantikan, membolehkannya melihat nilai dan daya tarikan dalam gaya yang mungkin dipandang remeh oleh orang lain. Namun, di sisi lain, penolakan berterusan daripada keluarga dan masyarakat mencipta jurang yang semakin melebar. "Dalam dunia di mana saya sudah bergelut untuk menyesuaikan diri, mencintai diri saya mengikut syarat saya sendiri terasa seperti melanggar peraturan."
Beliau juga berkongsi "Saya baru-baru ini didiagnosis dengan gangguan makan, tetapi saya telah hidup dengannya sejak saya masih muda," kongsinya. "Walaupun saya tidak makan selama berhari-hari, hampir tidak berfungsi, dan sentiasa tertidur di dalam kelas, tumpuan adalah pada berapa banyak berat badan yang saya turunkan. Kepada keluarga saya, saya akhirnya mematuhi standard kecantikan masyarakat. Pada masa itu, tiada siapa yang melihatnya sebagai masalah. Malah ia diraikan seolah-olah diet melampau saya adalah tanda disiplin diri yang tinggi."
Melalui kandungan digital daripada individu neurodivergen yang lain dan pencipta kandungan wanita kulit berwarna, Honey mula menyedari kemudaratan yang disebabkan oleh jangkaan kecantikan yang tidak realistik ini. Honey mula menyedari kesan buruk yang disebabkan oleh standard kecantikan yang tidak realistik ini. Kisah mereka membantunya menyahpelajari kepercayaan dalaman yang telah lama tertanam dalam dirinya serta membentuk hubungan yang lebih penuh belas kasihan terhadap dirinya sendiri dan tubuhnya..
Apabila Honey berhubung dengan individu neurodivergen lain dalam talian, dia mengalami apa yang digambarkan oleh penyelidik autisme Dr. Damian Milton sebagai "masalah empati berganda"— idea di mana bahawa salah faham antara individu autistik dan bukan autistik adalah sesuatu yang bersifat dua hala, bukannya kekurangan sosial di pihak individu autistik. Walaupun orang autistik sering dianggap menghadapi kesukaran dalam kemahiran sosial, teori ini menunjukkan bahawa orang bukan autistik juga gagal memahami perspektif autistik, yang akhirnya membawa kepada pengecualian dan salah faham.
Bagi Honey, mencari komuniti dalam kalangan kelompok neurodivergen lain bermakna dia tidak lagi perlu menjelaskan dirinya—dia akhirnya difahami.
Ia merupakan ruang selamat di mana dia dapat meneroka identiti, hubungan, dan emosi mengikut syarat dan kosa katanya sendiri. Sebagai seorang remaja yang canggung secara sosial, beliau beralih kepada platform penulisan seperti Wattpad, di mana fanfiksyen bukan sekadar hobi kreatif. Menulis menjadi cara untuknya memproses tema-tema kompleks dan persimpangan identiti yang dihadapinya, serta menyediakan ruang untuk bereksperimen dengan idea dan meneroka emosinya. Melalui penceritaan, beliau juga dapat menyusun semula pengalaman yang pernah dialaminya dalam kehidupan sebenar, membantunya memahami dirinya serta persekitarannya dengan lebih baik.
Sebagai seorang penulis yang berpandukan kajian, proses ini bukan sahaja menyokong kreativiti Honey, tetapi juga mengasah keupayaannya untuk mengartikulasikan idea, berfikir secara kritikal terhadap topik yang kompleks, serta meneroka pelbagai perspektif dalam medium yang dirasakannya selamat. Ia memberinya rasa mandiri, kerana dia boleh mencipta naratif yang tulen dan bermakna, terutamanya apabila ia berkaitan dengan representasi queer dan neurodivergen.
Platform digital itu juga mendedahkan beliau kepada pergerakan pencipta kandungan yang semakin meningkat yang memperjuangkan perwakilan yang tepat dan bernuansa bagi komuniti terpinggir dan kurang diwakili, terutamanya wanita dan gadis kurang upaya yang turut beridentiti dengan pelbagai persimpangan lain. Melihat usaha ini menginspirasinya untuk lebih kritikal terhadap penulisan dan naratifnya sendiri, serta impaknya kepada pembaca. Rasa pemberdayaan dan dorongan daripada platform serta rakan-rakan dalam taliannya memotivasinya untuk terus menulis—bukan sekadar sebagai bentuk ekspresi diri, tetapi juga sebagai cara untuk berhubung dengan orang lain dan memperjuangkan perwakilan melalui fiksyen.
Di Malaysia, perbincangan mengenai seks, keseronokan, dan tubuh masih sangat distigmakan, sering kali disambut dengan ketidakselesaan, ketakutan, atau penolakan secara langsung. Membesar dalam persekitaran sebegini, Honey menginternalisasikan kepercayaan bahawa keseronokan adalah "perkara lelaki" dan wanita tidak layak menerimanya. Namun, beliau kemudiannya menyedari bahawa perspektif ini berakar dalam misogini yang terinternalisasi, diperkuat oleh norma budaya dan sosial yang menghalang perbincangan terbuka mengenai seksualiti dan autonomi tubuh.
Titik perubahan berlaku semasa zaman remajanya apabila ruang digital mula memperkenalkan perbincangan tentang seks positif, citra tubuh, dan hak autonomi tubuh. Pada awalnya, perbincangan ini terasa mengelirukan, terutama kerana kaitan umum antara seks dan kandungan eksploitasi seperti pornografi arus perdana. Namun, setelah meneroka lebih dalam, beliau menemui sisi yang lebih positif, berasaskan hak, dan mengesahkan isu-isu ini—perbincangan yang menumpukan kepada keizinan, sempadan, hubungan yang sihat, serta pemberdayaan wanita untuk menuntut hak mereka terhadap keseronokan.
Salah satu penemuan yang membuka matanya ialah konsep pornografi beretika, yang diperkenalkan melalui sebuah kumpulan produksi yang diketuai oleh wanita yang ditemuinya di TikTok. Mereka menekankan kepentingan kesejahteraan dan keizinan pelakon, memastikan bayaran yang adil, serta mencipta kandungan keseronokan yang beretika dan menggembirakan—mencabar norma eksploitasi industri serta merangka semula pornografi di luar lensa pandangan lelaki. Perspektif ini mengubah pemahamannya tentang pornografi, mencabar tanggapan awalnya bahawa ia secara asasnya merosakkan. Honey menyedari bahawa pornografi boleh dihasilkan secara beretika dengan menghormati autonomi dan keselesaan semua yang terlibat, serta bahawa mengakses kandungan sebegini tidak bercanggah dengan prinsip feminisme atau menunjukkan kepercayaan yang berbahaya, bertentangan dengan apa yang diajarkan kepadanya sejak kecil.
Bagi seseorang yang neurodivergen seperti Honey, mengemudi norma masyarakat mengenai keintiman dan keseronokan sering terasa mengelirukan, terutamanya disebabkan kurangnya peluang bagi wanita sepertinya untuk berkongsi pengalaman dengan rakan sebaya atau belajar melalui perbandingan. Ramai wanita autistik menghadapi pengasingan sosial, menjadikannya lebih sukar untuk mengakses perbincangan yang biasanya berlaku secara tidak formal dalam kalangan rakan. Namun, platform digital memberinya kejelasan dan pengesahan dengan menawarkan pelbagai perspektif serta membuka ruang perbincangan mengenai seksualiti. Berinteraksi dengan perspektif ini bukan sahaja memperluaskan pemahamannya tentang seks positif tetapi juga mengukuhkan keupayaannya untuk menilai secara kritikal media yang dikonsumsinya.
Perubahan pemikiran ini juga melangkaui seksualiti—ia membentuk pendekatannya terhadap penggunaan media secara kritikal. Sama ada meneroka fiksyen percintaan gelap yang sering mengandungi tema penderaan atau menyertai perbincangan mengenai media beretika, platform digital mengajarnya cara membezakan antara menikmati senario fiksyen dengan nilai kehidupan sebenar. Pemahaman ini membantunya menyedari kepentingan pemikiran kritis dalam menavigasi topik-topik yang bernuansa seperti keseronokan, etika, dan keterwakilan.
Walaupun platform digital menyediakan peluang untuk berhubung, mengekspresikan diri, dan belajar, ia juga hadir dengan pelbagai halangan—terutamanya bagi individu neurodivergen yang mengemudi ruang digital ini. Honey masih mengingati perasaan cemas yang dialaminya semasa remaja apabila seorang rakan sekelasnya, yang baru berusia 12 tahun, mula memuat naik gambar dirinya mencederakan diri sendiri di Facebook. Pada waktu itu, garis panduan keselamatan di platform tersebut hampir tidak wujud, meninggalkan Honey dalam keadaan tertekan dan tidak pasti bagaimana untuk memproses apa yang dilihatnya. Tanpa perlindungan atau mekanisme sokongan yang terbina dalam platform, akhirnya beliau terpaksa menjauhkan diri daripada media sosial.
Sifat terbuka ruang digital juga bermaksud bahawa walaupun terdapat suara yang menyokong, ia sering tenggelam oleh wacana yang meremehkan atau menyakitkan, yang bukan sahaja menafikan pengalaman peribadi tetapi juga memburukkan lagi keraguan diri—terutamanya bagi komuniti kurang upaya dan terpinggir. Bagi Honey, pendedahan berterusan kepada aspek negatif dan penolakan ini sangat memenatkan dari segi emosi, terutama apabila cuba membezakan kandungan berbahaya yang berselindung di sebalik nasihat yang kelihatan positif. Beliau sering bergelut untuk membezakan antara sarkasme dan mesej yang benar-benar bermasalah, seperti pengaruh media sosial yang secara halus mempromosikan gangguan pemakanan melalui kandungan yang bertopengkan “nasihat diet.” Kekaburan dalam ruang digital ini, ditambah dengan ketiadaan akauntabiliti, menjadikannya terdedah kepada naratif yang mengelirukan—lebih-lebih lagi dengan perbezaannya dalam menyerap dan memproses maklumat.
Cabaran ini diperburuk oleh masalah maklumat yang salah serta keterwakilan yang terhad bagi komuniti Asia TenggaraTenggara dan Hitam, Orang Asli dan Orang Kulit Berwarna (BIPOC) dalam wacana digital. Mencari maklumat yang tepat dan relevan sering terasa seperti perjuangan yang sukar, dengan algoritma platform digital lebih mengutamakan kandungan berpusatkan Barat atau mempromosikan bahan yang sensasi dan dangkal berbanding perbincangan yang bermakna. Honey kerap mendapati dirinya menyelidik tanpa henti untuk mendapatkan sumber maklumat yang sahih, hanya untuk menyedari bahawa suara-suara penting daripada komuniti terpinggir telah disekat melalui shadow banning atau dipinggirkan oleh platform dalam talian.
Harapan Honey terhadap ruang digital adalah agar ia benar-benar inklusif dan meraikan kepelbagaian dalam kalangan komuniti terpinggir, terutamanya golongan kurang upaya. Beliau membayangkan sebuah dunia digital di mana setiap individu dapat wujud sebagai diri mereka sendiri, tanpa penghakiman, diskriminasi, atau jangkaan yang merosakkan—sebuah ruang di mana perbezaan diraikan dan dihormati.
“Seperti Barbie Land dalam filem Barbie, di mana setiap orang bebas menjadi diri mereka sendiri tanpa perlu berubah atau menyesuaikan diri dengan acuan orang lain. Itulah impian saya, bukan hanya untuk wanita tetapi untuk sesiapa sahaja yang berjuang demi ruang yang selamat—untuk diterima dan hanya wujud sebagaimana adanya."
Send us an email or DM us on Instagram!
If you'd like to learn more about us and explore additional samples of our work, we're more than happy to provide further details, including our CVs.
Instagram: @canainckt