Honey** membuka komputernya ketika hari bermula di Sarawak, negeri terbesar di Malaysia. Bagi golongan muda queer dan neurodivergen, tindakan log masuk ke peranti dan menyambung ke talian internet bukan sekadar rutin harian. Ia adalah pintu masuk ke dunia yang memahaminya dengan cara yang tidak dapat diberikan oleh persekitaran sekelilingnya.
Sementelah, di seberang lautan, di Filipina, Mary**, seorang wanita cisgender buta yang queer, memulakan harinya dengan penuh keselesaan. Beliau menggunakan telefonnya yang dilengkapi dengan perisian pembaca skrin yang berfungsi sebagai mata dan pintu gerbangnya ke dunia di luar lingkungannya.
Bagi Honey dan Mary, teknologi dan internet bukan sekadar alat yang memudahkan tugas harian. Ia menjadi talian hayat, kanvas untuk ekspresi diri, dan ruang untuk komuniti serta hubungan.
Kisah mereka adalah sebahagian daripada projek "Memetakan Kegembiraan, Kenikmatan dan Komuniti: Suara Internet Feminis di Malaysia dan Filipina", yang bertujuan untuk mengkaji persilangan antara ketidakupayaan, gender, dan seksualiti. Ia meneroka bagaimana individu kurang upaya (OKU) mengemudi platform digital dan bagaimana inovasi teknologi memberdayakan mereka untuk mencabar stigma, menuntut autonomi, dan mengekspresikan kegembiraan mereka.
Teras eksplorasi ini adalah pengiktirafan terhadap kenikmatan – sama ada seksual mahupun dalam bentuk lain – sebagai hak asasi manusia yang sering dinafikan kepada OKU oleh naratif sosial yang berakar dalam ableisme dan patriarki.
Dengan mengangkat suara-suara dari Malaysia dan Filipina, projek ini memfokuskan kepada bagaimana ruang digital memberikan kuasa kepada OKU untuk merebut kembali naratif mereka dan membayangkan masa depan yang penuh dengan kegembiraan dan penuh autonomi.
Menuntut Autonomi OKU
Bagi ramai OKU, keputusan tentang tubuh mereka sendiri sering dipenuhi dengan andaian sosial dan halangan sistemik. Namun, dengan perkembangan platform digital, peluang untuk mereka meneroka dan menuntut autonomi badan juga semakin berkembang.
Sejak kecil, Honey berhadapan dengan kesukaran untuk memahami apa ertinya "menyesuaikan diri" dengan keadaannya sebagai seorang autistik.
"Saya tidak dibenarkan untuk mempunyai definisi sendiri tentang kecantikan," katanya. "Saya tidak dibenarkan untuk menentukan apa yang saya rasa indah, dan ia sangat menyakitkan kerana saya rasa tidak kira apa yang saya lakukan, saya tetap tidak akan diterima."
Pendedahan kepada internet telah membolehkannya mencari dan berhubung dengan komuniti yang berkongsi nilai, autonomi, dan minatnya sebagai seorang queer neurodivergen. Beliau mengimbau kembali bagaimana dia pertama kali merasakan erti sebenar kebersamaan melalui komuniti cosplay dalam talian.
Walaupun kini beliau telah terputus hubungan dengan ramai daripada mereka, pengalaman berkenalan dengan mereka membentuk pemahamannya tentang dirinya sendiri.
"Saya belajar tentang sempadan diri saya, dan ia membantu saya mengemudi masyarakat ini; memahami apa yang saya tidak boleh berkompromi dan apa yang sebenarnya saya cari dalam persahabatan serta hubungan dengan orang lain," katanya.
Honey mengalami tahap penerimaan dalam talian yang tidak pernah beliau sangka. Autisme dalam kalangan orang dewasa, terutamanya wanita dan kanak-kanak perempuan, sering kali tidak dikenali, dan tanpa diagnosis formal, ketidakupayaannya sering diketepikan di Malaysia—baik oleh keluarganya sendiri mahupun komuniti sekelilingnya. Di Malaysia, dominasi lensa perubatan dan pemahaman autisme serta kecacatan sebagai sesuatu yang perlu dipatologikan masih menjadi pandangan arus perdana. Namun, buat pertama kalinya, beliau tidak perlu lagi menjelaskan kepada orang sejauh mana ketidakupayaannya hanya sekadar untuk mendapatkan sokongan yang beliau perlukan. Mendengar kisah individu lain seperti dirinya dalam talian membuatkan beliau sedar bahawa dia tidak keseorangan.
"Jika anda mempunyai isu, maka anda memang ada isu, tidak kira besar atau kecil, kami semua ada di sini untuk anda, dan itu sangat merangkul serta menenangkan bagi saya," katanya. "Ia tentang mencari komuniti, mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam, belajar tentang perkara seperti cinta, hubungan, dan cara membina persahabatan—sesuatu yang mungkin tidak dapat diperoleh dalam kehidupan sebenar."
Hubungan yang beliau perolehi dan bina ini menjadi asas untuk penerokaannya terhadap ekspresi seksual dan gender—ruang yang sebelum ini dirasakannya tidak dapat diakses oleh individu seperti dirinya. TikTok dan komuniti pencipta kandungan neurodivergen yang dinamik menjadi ruang di mana Honey dapat meneroka identitinya tanpa rasa bersalah atau perlu meminta maaf. Ruang dalam talian juga menjadi tempat untuknya "memadamkan" tanggapan meluas bahawa keseronokan dan seks hanya untuk lelaki.
"Kegembiraan bagi saya sangat emosional," katanya. "Keseronokan boleh menjadi sesuatu yang sangat intim secara emosi."
Mary, seorang wanita cisgender queer berusia 37 tahun dari Filipina, juga menemui kebebasan dan pembebasannya melalui platform digital. Ia memberikannya rasa keupayaan dan autonomi yang lebih kuat dalam berinteraksi dengan orang lain, sesuatu yang menjadi cabaran dalam ruang fizikal di mana beliau sering merasa tersisih. Perisian pembaca skrin, sebagai contoh, membolehkannya berinteraksi di media sosial dan berhubung dengan rakan-rakan dengan lebih mudah.
Apa yang baik tentang ruang digital, menurut Mary, adalah bagaimana beliau diberikan keupayaan untuk menentukan bila dan bagaimana beliau ingin berinteraksi. Ini penting baginya sebagai seseorang yang melihat kegembiraan sebagai sesuatu yang berkait rapat dengan hubungan dan emosi yang dikongsi bersama orang dalam hidupnya.
"Kegembiraan lebih berkaitan dengan emosi. Anda mengalami kegembiraan kerana anda berbual dengan rakan, anda mengalami kegembiraan kerana anda mempunyai hubungan yang baik dengan pasangan atau pasangan-pasangan anda," katanya.
Teknologi digital juga membuka peluang untuk Mary meneroka seksualitinya dengan selamat dan mengikut kehendaknya sendiri. Di dunia nyata, hal ini lebih mencabar kerana stigma terhadap individu kurang upaya (OKU) di mana mereka sering dinilai berdasarkan kecacatan mereka sejak pertemuan pertama. Mereka juga sering dianggap sebagai aseksual atau tidak mempunyai keupayaan dan kehendak seksual hanya kerana kecacatan mereka. Walaupun ruang digital membuka peluang ini, cabaran ketidakbolehcapaian masih wujud. Sebagai contoh, aplikasi temu janji seperti Tinder dan Bumble masih menghadapi isu kebolehcapaian, meninggalkan pengguna kurang upaya yang ingin berkenalan atau berhubung dalam keadaan penuh harapan yang tidak berbalas.
Penemuan audio erotika semasa pandemik menjadi satu penemuan baru bagi Mary. Medium ini, yang menggabungkan penceritaan dan lakonan suara tanpa elemen visual, memberikan peluang yang lebih adil dalam dunia temu janji dan hubungan. Ia menawarkan jalan alternatif di mana keintiman dan keseronokan seksual tidak bergantung sepenuhnya pada penglihatan, tetapi pada naratif yang disampaikan melalui bunyi dan landskap audio—sebagaimana beliau sendiri mengalami dunia menerusi kecacatannya. Kini, Mary sedang mempertimbangkan untuk menjadi narator audio erotika, mengisi jurang untuk memenuhi keperluan bagi mereka yang mungkin tidak mempunyai akses kepada bentuk eksplorasi keseronokan dan seksualiti sebegini. Hasrat ini lahir daripada impian untuk membantu individu buta lain meneroka keinginan dan identiti mereka, serta menegaskan bahawa keseronokan dan kegembiraan juga merupakan hak komuniti mereka.
Bagi Jayce*, seorang ahli akademik lelaki cisgender pekak queer dari Malaysia, platform digital memainkan peranan penting dalam perjalanan identiti dirinya sebagai individu queer. Internet menjadi tempat perlindungan baginya, terutamanya dalam sebuah negara di mana individu LGBTQ+ berhadapan dengan diskriminasi dan penjenayahan. Dalam era awal internet di Malaysia, Jayce pertama kali menemui identiti queernya. Beliau teringat bagaimana beliau menemui bahan pornografi dalam talian serta sebuah buletin yang memperkenalkan kepelbagaian seksualiti di luar norma heteroseksual yang beliau telah dibesarkan.
Momen-momen tersebut mencetuskan kesedaran tentang orientasi seksualnya, meskipun stigma sosial dan kurangnya sumber maklumat menjadikan pemahamannya kabur. Namun, pengalaman dalam talian ini membangkitkan rasa ingin tahu untuk meneroka dan memahami dirinya dengan lebih mendalam. Sumber maklumat dalam talian dan perbualan dengan rakan-rakan dari luar negara mengisi jurang ketara dalam pengetahuannya serta menyediakan ruang selamat untuk beliau meneroka identitinya.
"Ia sangat sukar bagi saya, jadi internet membantu saya mencari lebih banyak maklumat," katanya. "Ia memberi saya ruang untuk bercakap dengan rakan-rakan... dan kami dapat berkongsi maklumat tentang [menjadi] gay, tentang identiti kami, tentang LGBTQ+."
Hubungan dalam talian membantu Jayce menerima seksualitinya dan membina keyakinannya dalam menegaskan serta mendapatkan kembali keupayaannya. Kini, beliau telah menubuhkan pelbagai organisasi yang bertujuan menangani kekurangan ruang selamat dan mengiktiraf identiti bagi individu pekak.
Advokasinya juga tertumpu pada persilangan antara keseronokan, identiti, dan kebolehcapaian. Menerusi kerja-kerjanya, Jayce mencabar norma individu pekak dikecualikan daripada perbincangan tentang ekspresi seksual dan keintiman. Mewujudkan ruang di mana individu pekak boleh meneroka aspek ini dalam kehidupan mereka adalah satu bentuk aktivisme yang melawan halangan ableisme dan heteronormatif.
"Dalam media sosial, mungkin keseronokan saya adalah mengetahui tentang kehidupan orang lain, bagaimana mereka berubah, peristiwa yang mengubah kehidupan mereka," katanya.
Seorang wanita trans pekak berusia 39 tahun dari Filipina, yang mengetuai organisasi advokasi LGBTQ+ pekaknya sendiri, memandang kehadiran dirinya dalam platform digital sebagai cara untuk mentakrifkan semula naratif tentang apa yang membentuk keseronokan, kegembiraan, dan identiti. Dunia menjadi lebih terbuka baginya apabila beliau dapat mengakses kandungan dengan sarikata tertutup. Ruang digital juga membolehkan beliau dan individu-individu kurang upaya dalam komuniti ketidakupayaan pendengaran mendapat lebih banyak keterlihatan, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Namun, beliau menjelaskan bahawa masih terdapat perbezaan antara kegembiraan dan keseronokan yang diperolehi daripada interaksi dalam talian dan secara fizikal. Interaksi secara langsung, katanya, memberikan pengalaman yang lebih kaya kerana individu pekak sering bergantung kepada bahasa tubuh untuk komunikasi yang lebih baik.
"Kebanyakan masa, apabila anda berada dalam ruang dalam talian, ia seolah-olah anda hanya menikmati keseronokan itu tetapi tidak benar-benar dapat menzahirkannya," ujar beliau. "Perbualan secara bersemuka sangat berbeza."
Namun begitu, dia mengakui kesan positif ruang digital, terutamanya dalam memperjuangkan advokasi berkaitan hak LGBTQ+. Internet telah menjadi alat yang penting dalam kempen kesedaran serta menyediakan ruang selamat untuk anggota komuniti ini—di mana perbezaan mereka hanya dilihat sebagai perbezaan semata-mata, bukan sebagai satu kekurangan peribadi atau kecacatan.
Memahami Keseronokan di Luar Konteks Seks
Kenikmatan seksual, yang merupakan elemen penting dalam kewujudan manusia, sering kali dipinggirkan, tidak diberi perhatian, atau dianggap sebagai topik tabu untuk dibincangkan dari perspektif ketidakupayaan. Projek ini cuba menyoroti bagaimana individu kurang upaya (OKU) mengemudi dan mentakrifkan semula naratif arus perdana ini dengan menggunakan ruang digital sebagai alat untuk advokasi dan pemberdayaan. Seperti yang ditunjukkan oleh mereka yang kami wawancara, kenikmatan tidak terhad kepada pengalaman fizikal dalam tubuh semata-mata. Ia juga boleh bermaksud perhubungan, menggerakkan autonomi diri, serta kegembiraan menjadi diri sendiri yang sebenar.
Hemz, seorang wanita India-Malaysia berusia 41 tahun yang hidup dengan penyakit Wilson, menggambarkan situasi ini dengan jelas. Pada tahun 2002, masalah kesihatan yang mengancam nyawanya menyebabkan beliau tidak dapat menamatkan pengajian di universiti. Sejak itu, penyakit genetik yang jarang ditemui ini telah menjejaskan keadaan fizikalnya, mengakibatkan beliau perlu bergantung kepada kerusi roda. Hidup di sebuah negara yang tidak mesra terhadap golongan kurang upaya menjadikan beliau terpaksa menghadapi pelbagai cabaran sejak kecil.
"Setiap kali saya keluar, orang selalu merenung saya, dan itu membuatkan saya sangat awas tentang diri saya. Saya tidak begitu gemar keluar rumah atau berjumpa dengan orang lain," katanya. "Saya lebih selesa menjadi ‘wallflower’ dalam mana-mana acara atau majlis."
Laman media sosial feminisnya, yang bermula sebagai blog pada tahun 2012, menjadi wadah untuk mencabar budaya misogini serta memperkasakan suara yang sering dibisukan oleh norma sosial. Blog itu lahir daripada kemarahannya terhadap budaya slut-shaming yang berulang kali dikenakan terhadap wanita India-Malaysia, khususnya berkaitan cara mereka berpakaian dan pilihan hidup yang mereka buat.
Bagi Hemz, kesedaran seksual dan keseronokan bukan sekadar pengalaman peribadi, tetapi juga satu bentuk pemerkasaan serta penentangan terhadap struktur patriarki yang berusaha mengawal tubuh wanita.
"Saya yang menentukan sama ada saya mahu membuka pintu atau meletakkan penghalang dalam talian," katanya, menjelaskan bagaimana dia lebih lantang bersuara di ruang digital berbanding dalam kehidupan sebenar.
Namun, kerja-kerjanya di media sosial turut menerima reaksi balas, terutama daripada golongan lelaki. Beliau sering menjadi sasaran mesej tidak diingini, termasuk gangguan dalam talian. Namun, Hemz tidak berdiam diri—sebaliknya, beliau menggunakan kuasa internet untuk melawan kembali.
"Saya mempunyai kawalan sepenuhnya di sini [dalam talian], dan saya memperoleh keseronokan serta kepuasan dengan doxing lelaki yang enggan menerima jawapan 'tidak' daripada wanita," katanya.
Kini, Hemz melihat ruang digital terutamanya sebagai alat untuk bekerja dan memudahkan kehidupannya. Ia menjadi tempat di mana beliau membayar bil, membeli keperluan, serta berhubung dengan orang tersayang.
"Bekerja dan menjalankan tugas adalah sumber keseronokan dan kegembiraan bagi saya. Saya mendapat keseronokan apabila saya mendalami kerja saya, dan saya mendapat kegembiraan daripada hasilnya," katanya.
Keseronokan ini turut tercermin dalam penulisannya serta kerja-kerja advokasinya. Halaman feminisnya berfungsi sebagai wadah peribadi dan platform awam untuk mencabar norma masyarakat, termasuk bagaimana komuniti India-Malaysia begitu terikat dengan budaya dan agama, mempercayai bahawa pematuhan ketat adalah kunci kepada kegembiraan dan kepuasan hidup. Dengan membincangkan isu seperti slut-shaming dan fenomena menyalahkan mangsa, Hemz bukan sahaja merebut kembali suaranya, malah turut mencetuskan kesan berantai yang memberdayakan individu lain untuk melakukan perkara yang sama.
"Keadaan saya membolehkan saya membentuk perspektif yang tidak konvensional. Saya tidak pasti bagaimana saya 'diajarkan' untuk memahami keseronokan dan kegembiraan, tetapi kini saya faham bahawa keseronokan dan kegembiraan adalah sesuatu yang kita cipta sendiri, bukan sesuatu yang kita dipaksa untuk percaya," katanya.
Julia, seorang ibu tunggal berusia 33 tahun dari Filipina, turut berkongsi pandangan yang sama dengan cara tersendiri. Beliau beralih kepada platform kerja bebas dalam talian demi mendapatkan kebebasan ekonomi selepas didiagnosis dengan arteriovenous malformation otak, yang menjejaskan pergerakan fizikal dan keseimbangannya. Perjalanannya tidak mudah, katanya, dan mengambil masa bertahun-tahun untuk menerima keadaannya. Beliau merasa kesepian dan terasing, tetapi keadaan berubah apabila beliau menyedari peluang yang boleh diterokai.
"Sebenarnya, saya tidak perlu berjalan pun… kerana teknologi… saya telah mencapai lebih banyak kejayaan sekarang," katanya.
Julia merupakan antara individu yang telah bekerja dalam talian sebelum ia menjadi norma kerja semasa perintah berkurung akibat pandemik COVID-19 pada tahun 2020. Ketika segalanya beralih ke dunia digital, beliau sudah pun menguasainya. Kerjanya sebagai penulis dan dalam projek masyarakat sivil menjadi sumber kebanggaan dan keseronokan, kerana ia mengingatkan beliau tentang keupayaan dan kemampuan beliau, meskipun berdepan dengan stigma masyarakat terhadap ketidakupayaannya.
"Anda tidak boleh mengalami keseronokan jika anda tidak pernah mengalami kegembiraan," katanya.
Platform digital membuka ruang untuk Julia meneroka bentuk keseronokan yang sering dianggap mustahil bagi individu kurang upaya. Kali pertama beliau melihat potensi ini adalah ketika beliau masih pelajar, menggunakan Yahoo Messenger—platform mesej dalam talian yang amat popular ketika itu.
Namun, dalam dunia temu janji dalam talian, Julia menyedari bahawa ramai dalam komuniti kurang upaya berhati-hati untuk terlibat dalamnya kerana stigma. Beliau memahami kebimbangan mereka, berdasarkan pengalaman peribadinya sendiri di mana beliau pernah bertemu lelaki yang melihat individu kurang upaya sebagai objek fetish dan bukannya sebagai individu yang mempunyai keinginan dan perasaan yang tulus dan jujur.
Terdapat masa di mana beliau telah dieksploitasi dan dipaksa untuk berada dalam situasi yang tidak selesa oleh individu yang ditemuinya dalam talian. Walaupun ini sebahagiannya berpunca daripada kekurangan kawal selia oleh platform teknologi, pengalaman itu membuatkan Julia lebih berhati-hati ketika berinteraksi di internet. Namun, pengalaman negatif ini tidak menghalangnya daripada melihat potensi positif ruang digital dalam membina perhubungan dan jaringan sosial. Beliau percaya bahawa seseorang itu hanya perlu menerima diri sendiri dan perbezaan mereka, tidak kira sama ada mereka seorang individu kurang upaya atau tidak.
"Berhubung dengan pelbagai jenis individu telah menjadi sumber keseronokan bagi saya," katanya, menekankan bahawa keseronokan tidak semestinya terhad kepada keintiman fizikal. Ia juga merangkumi harga diri, pencapaian, dan keupayaan untuk menyara diri sendiri serta orang yang disayangi.
Membina Masa Depan Digital yang Inklusif
Melalui naratif-naratif ini, satu visi tentang internet feminis semakin jelas—sebuah dunia digital di mana aksesibiliti atau kebolehcapaian menjadi prinsip asas dalam reka bentuknya, dan bukan sekadar satu perkara sampingan. Individu kurang upaya (OKU) yang ditemu bual dalam kajian ini membayangkan sebuah landskap digital di mana platform digital dilengkapi dengan ciri-ciri aksesibiliti seperti mesra pembaca skrin, sarikata tertutup, serta navigasi yang lebih inklusif dan intuitif. Platform dan ruang digital ini harus menghormati serta mematuhi Garis Panduan Aksesibiliti Kandungan Web (WCAG). Mereka mengimpikan ruang di mana suara yang pelbagai bukan sahaja diambil kira tetapi juga membolehkan mereka melibatkan diri di dalamnya secara bermakna dan setara.
Jayce membayangkan masa depan di mana halangan bahasa dapat dihapuskan bagi memudahkan komunikasi antara komuniti pekak dan komuniti upaya pendengaran. Beliau menceritakan kembali pelbagai situasi di mana ketiadaan aksesibiliti begitu ketara, termasuk terpaksa menunggu dalam barisan panjang selama berjam-jam untuk berurusan dengan pegawai kerajaan tanpa sebarang keutamaan khas untuk individu kurang upaya.
"Masalahnya timbul apabila mereka lupa saya seorang individu pekak dan mereka memanggil nama atau nombor saya berulang kali. Akhirnya, saya perlu menunggu selama berjam-jam tanpa sebarang petunjuk bahawa saya sebenarnya telah dipanggil," katanya.
Jayce menekankan peranan internet dalam mencabar sistem yang mengabaikan aksesibiliti. Baginya, membangunkan alat dan platform digital yang memenuhi keperluan pelbagai komuniti bukan sekadar soal inklusiviti, tetapi soal keadilan. Keseronokan dan aksesibiliti atau kebolehcapaian saling berkait rapat—menangani salah satunya bererti perlu menangani yang lain juga secara bersama.
"Ruang digital memberi impak besar kepada kerja yang saya lakukan serta kehidupan saya sebagai seorang individu pekak yang tidak dapat memperoleh maklumat melalui audio. Saya tidak boleh mendengar. Ini memberi kesan kepada cara saya memahami dunia dan mencabar saya untuk berinteraksi dengan anggota masyarakat yang lain. Saya banyak bergantung pada mata untuk memahami sesuatu, untuk memerhati," katanya.
Sementara itu, Mary membayangkan sebuah dunia digital di mana platform untuk membina hubungan romantik atau platonik memberikan akses yang setara kepada individu kurang upaya. Hal ini boleh dicapai dengan membangunkan ciri-ciri yang memudahkan navigasi dunia dalam talian, contohnya aplikasi temu janji inklusif yang menumpukan kepada mesej audio sebagai medium utama dan bukan sekadar bergantung pada imej. Platform sebegini harus dibina dengan mengambil kira masyarakat neurodivergen dan cara yang berbeza-beza dalam membentuk perhubungan sosial.
Namun, Mary juga menekankan kepentingan pendidikan seks yang menyeluruh dan holistik, bukan hanya berfokus kepada konsep persetujuan, tetapi juga memastikan autonomi tubuh individu kurang upaya dihormati dan dilindungi.
"Apabila persetujuan tidak diajarkan kepada individu kurang upaya, inilah yang menyebabkan mereka sering dieksploitasi," katanya. "Alangkah baiknya jika sejak awal lagi ruang digital menjadi ruang yang selamat."
Kisah Julia pula menambah satu lagi lapisan dalam perbincangan isu ini. Beliau menyedari bagaimana struktur ekonomi dan sistem pekerjaan sering mengecualikan individu kurang upaya daripada pekerjaan tradisional, yang seterusnya mengukuhkan peminggiran mereka. Walaupun kejayaannya dalam dunia digital membuktikan bagaimana teknologi boleh meruntuhkan halangan ini, ia juga menzahirkan keperluan kepada perubahan sistemik bagi memastikan ruang dan peluang terbuka kepada semua.
"Sangat mencabar bagi individu kurang upaya untuk mendapatkan pekerjaan di luar sana... Jika ada perubahan, saya berharap adanya undang-undang yang menjamin peluang yang setara untuk semua orang, termasuk dalam pekerjaan digital," katanya.
Bagi seorang wanita trans pekak dari Filipina, masa depan digital yang mengiktiraf kepelbagaian tubuh dan minda individu kurang upaya haruslah menjadi satu ruang di mana mereka boleh meneroka keseronokan dan membina hubungan tanpa sebarang penghakiman. Kehidupan dan pengalaman individu kurang upaya bukan bersifat monolitik, dan visi masa depannya merangkumi aspirasi peribadi serta harapan yang lebih luas terhadap inklusiviti atau keterangkuman dan penerimaan yakni ke arah persekitaran di mana kegembiraan dan keseronokan boleh diteroka dengan bebas, sama ada di ruang fizikal atau dalam talian.
Namun, beliau juga menyatakan cabaran utama berkaitan aksesibiliti dalam talian, iaitu walaupun ruang digital menawarkan kebebasan dan menjadi alat pemerkasaan dan pemberdayaan, ketidaksaksamaan ekonomi sering menghalang individu kurang upaya daripada menikmati pengalaman penuh dalam dunia digital. Keterbatasan akses internet akibat kekangan kewangan sering menghalang ramai individu kurang upaya daripada menyertai ruang digital, sekali gus mencerminkan perjuangan berterusan untuk memastikan aksesibiliti yang sebenar bagi komuniti ini.
Kisah Honey, Mary, Jayce dan lain-lain dalam Memetakan Kegembiraan, Keseronokan dan Komuniti menyerlahkan kuasa transformatif ruang digital untuk orang kurang upaya (OKU) di Malaysia dan Filipina. Bagi mereka, internet bukan sekadar alat—ia adalah ruang untuk penemuan diri, hubungan dan pemerkasaan dalam masyarakat yang sering meminggirkan mereka. Melalui platform dalam talian, mereka telah dapat menuntut semula agensi atas identiti mereka, mencabar stigma masyarakat, dan meneroka aspek keseronokan dan kegembiraan yang sering dinafikan kepada OKU. Pengalaman mereka menggambarkan bagaimana kebolehcapaian dan keterangkuman digital boleh memupuk autonomi, sama ada dalam menavigasi seksualiti, membina hubungan atau menjamin kebebasan ekonomi. Walau bagaimanapun, cabaran ketidakbolehcapaian, stigma dan eksploitasi kekal, menekankan keperluan untuk ruang digital yang lebih inklusif dan saksama. Projek ini menekankan keperluan untuk mengintegrasikan kebolehcapaian ke dalam reka bentuk digital, menyokong internet feminis di mana suara yang pelbagai bukan sahaja disertakan tetapi terlibat secara bermakna. Akhirnya, naratif mereka membayangkan masa depan di mana platform digital benar-benar memperkasa, memupuk agensi, ekuiti dan kegembiraan untuk semua.
Send us an email or DM us on Instagram!
If you'd like to learn more about us and explore additional samples of our work, we're more than happy to provide further details, including our CVs.
Instagram: @canainckt